Latar Belakang Projek
Projek Masjid Bahagian Bintulu adalah hasil ilham dari cita-cita YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud, untuk mewujudkan sebuah tempat ibadat yang boleh dibanggakan oleh penduduk Islam tempatan. Di samping itu masjid baru ini dibina untuk mengurangkan kesesakan yang terdapat di Masjid Bintulu. (Sekarang dikenali sebagai Masjid Daerah) Masjid Bintulu yang terletak di sebuah kampung berdekatan bandar Bintulu, tidak boleh lagi menampung penduduk yang ramai akibat dari kepesatan pembangunan.
Cita-cita Ketua Menteri itu telah dijadikan kenyataan oleh Lembaga Amanah dan Kebajikan Islam Bintulu. Lembaga yang pada masa itu dipimpin oleh Abang Nawawi bin Abang Drahman telah membentuk sebua jawatankuasa penyelaras pada 11 Jun 1984. Jawatankuasa itu dianggotai oleh pemimpin-pemimpin masyarakat Islam tempatan. Di antara tugasnya ialah memilih lokasi dan tapak yang sesuai.
Pada 28 Ogos, 1985 sebuah jawatankuasa telah dibentuk dan diberi tanggungjawab melaksanakan projek ini. Jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bintulu. YAB Ketua Menteri selaku pengerusi jawatankuasa tersebut telah melantik BDA(Bintulu Development Authority) sebagai agensi mengendalikan pembinaan masjid ini.
Jawatankuasa Pembinaan Masjid Bintulu telah juga ditugaskan mengurus hal-hal kewangan bagi membiayai kos membina projek ini. Setakat ini sebahagian besar kos pembinaan dibiayai oleh BDA. Bakinya dibiayai oleh sumbangan Kerajaan Negeri, Petronas, Malaysia LNG Sdn. Bhd. dan penduduk tempatan. Pada hari ini pula, Lembaga Pelabuhan Bintulu turut menyumbang kepada Tabung Pembinaan Masjid.
Sejarah Masjid-Masjid di Bintulu
Masjid Bahagian Bintulu ialah bangunan masjid yang ketiga pernah dibina di Bintulu. Bangunan masjid yang pertama telah dibina oleh kaum muslimin tempatan pada tahun 1917 di Kampung Masjid di tapak yang sama seperti yang terdapat pada hari ini. Al-marhum Datu Abang Haji Abdullah bin Ishak atau lebih dikenali sengan nama "Suvau", seorang "Native Officer" semasa Pemerintahan Brooke, telah memimpin penduduk tempatan membina masjid tersebut. Beliau telah menjadi Imamnya pertama.
Pada tahun 1950-an, masjid yang pertama itu telah dirobohkan dan diganti dengan bangunan baru seperti yang masih ada pada hari ini. [Klik sini untuk gambar Masjid Daerah yg asal.]
Masjid Bahagian Bintulu
Keputusan untuk mendirikan masjid baru di Bintulu bertujuan untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan kaum Muslimin dengan menyediakan tempat ibadat dan beberapa kemudahan lain. Kemudahan perpustakaan dan sebuah dewan serbaguna yang terdapat di masjid ini menambah lagi peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadat tetapi juga sebagai tempat untuk menambah ilmu dan mempereratkan perhubungan antara kaum Muslimin tempatan.
Tapaknya yang seluas 10 ekar itu terletak di salah satu persimpangan utama di bandar Bintulu; bentuk persimpangan tiga segi yang terdapat di situ hampir-hampir menuju ke arah Kaabah. Tapaknya yang tinggi membolehkan seseorang menikmati pemandangan yang indah ke arah lurah berhampiran. Keadaan itu membuat masjid baru ini salah satu bangunan utama di bandar Bintulu. Rekabentuk teknologi tinggi telah diambilkira dalam mereka massjid ini untuk mencerminkan kekayaan Bintulu yang berdasarkan kepada industri minyak dan gas. Di samping itu, keindahan rekabentuk Islam tidak dilupakan.
Rekabentuk masjid yang berharga RM 6.5 juta itu berdasarkan kepada bentuk empat persegi. Misalnya, dua bentuk empat persegi disatukan di kubah masjid ini. bentuk yang sama digunakan di tiang-tiang serta pintu gerbang yang banyak terdapat dalam masjid. Kubah yang terletak di atas ruang sembahyang utama menjadi fokus pendekatan teknologi tinggi. Struktur besi yang digunakan menyerupai urat-urat sehelai daun yang disaluti dengan aluminium berwarna biru. Kubah masjid ini menjadi lawan kepada menara kecil yang terdapat di luar bangunan.
Air terjun yang terdapat di taman menjadi penghubung kubah dengan menara di luar. Air terjun itu direka mengikut lorong bukit dan taman yang menghiasi dekitar bangunan. Berbagai pokok dan bunga akan menghiasi kawasan masjid untuk mengingatkan kita kepada hutan yang terdapat di tapak masjid sebelum ini.
Struktur garis datar yang ada pada bangunan terjadi dari teres-teres yang dibuat dan tanah bertingkat-tingkat. Garisan yang terbentuk dari kubah dan menara di luar menguatkan lagi lagi pertemuan garis datar yang banyak.
Dari segi lain, Masjid Bahagian Bintulu ini tidakjauh berbeza dengan mana-mana masjid. Berbagai pintu masuk menuju ke arah ruang sembahyang utama ataupun dewan serbaguna. Setelah kita berada di dalam masjid, kesemua kemudahan disatukan dengan jalan yang tertutup di antara halaman dan kolam kecil. Halaman bunga dan kolam kecil itu memisahkan ruang-ruang beribadat dan ruang serbaguna. Tempat yang bertingkat-tingkat memang di sengajakan. Tempat berbasuh terletak setingkat di bawah tempat sembahyang. Ruang tangga yang luas pula memudahkan orang berlalu dengan licin. Tambahan tempat menguruskan mayat terletak setingkat lagi di bawah dan laluan dimudahkan dengan adanya jalan yang melandai.
Pemasangan lampu pada waktu malam akanmenyerikan bangunan masjid ini. Pemasangan lampu yang dipasang dari bawah akan menyinari pintu-pintu gerbang dan lampu-lampu yang dinyalakan dari dalam kubah akan mewujudkan sebuah mahkota lampu di atas struktur bangunan masjid yang bertingkat-tingkat.
Laman-Laman Islam di Sarawak