Anda adalah pelawat yang ke:
Laman 2
KERUGIAN BAGI WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN
Assalammualaikum....
Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.
Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.
Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana
hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula
tentang kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita
yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada
jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan
kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat
wanita yang ada peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana
yang saya sebutkan di atas tadi.
Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin
bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku
di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan
dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan
tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi
manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian
manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama
lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan
negatif untuk melahirkan cahaya.
Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat.
Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita,
adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum
wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga,
suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam
salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah
amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah:
“Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki.”
Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia
tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat
mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang
tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan
kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita,
sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha
suami.
Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang
berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah
di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu
akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi
pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana
terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada
neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan diberi 1000 pahala
dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal
di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal
bersama-sama Rasulullah saw di syurga kelak.
Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid. Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi.
Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah saw:
“Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau ia telah berkahwin?” Jawab baginda, “Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).”
Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin.
Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau
berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah
sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala. Kalau
suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu
maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak
akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah
menolak untuk menjadi calon wanita salehah yang berada di
bawah naungan suami.
PERTUNANGAN YANG MENGIKUT SYARIAT
Assalammualaikum…..
Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.
Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok utama.
Pertama; adakah fardhu ain si lelaki benar-benar
beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk mengajar anak-anak dan isteri
bila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan perlaksanaan ibadah
lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan
secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan
dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan lelaki berkenaan.
Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama sejahteranya rumahtangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja syarat yang akan mensejahterakan dan mengukuhkan rumahtangga.
Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak-anak
dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya
anak-anak tidak taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’ kepada
suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir
rumahtangga menurut hukum Islam.
Ibubapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki
itu semata-mata kerana darjat yang rendah. Sebaliknya, mestilah menolak
pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan
berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya,
berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai
harta.
Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya:
“Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”
Rasulullah saw bersabda lagi:
“Jika datang kepada kamu pinangan daripada seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima. Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan samada mahu menerimanya atau tidak, cuma secara beradapnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.
Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan,
eloklah memberi keputusan kepada walinya dalam membuat keputusan. Sebab
pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi
anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan
berakhlak mulia.
Akan tetapi kalau si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya dari pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.
Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti jaga iaitu tidak berlakunya percampuran di antara lelaki perempuan. Keberkatan Allah ini tidak dapat hendak kita gambarkan sebab hati yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu dua tetapi sampai ke hari tua.
Contohnya, orang di zaman salafusaleh, rumahtangga mereka berkat sebab dari awal peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.
Tetapi kalau dalam majlis peminangan itu, awal-awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan peradapan menurut Islam. Sampai akhir hayat pun mungkin rumahtangga itu nampak tak cantik, tak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di rumah dan inilah yang banyak berlaku hari ini.
Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik.
Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang mahal-mahal. Contohnya pakaian, makanan, buah-buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dngan sebentuk cincin saja sudahlah.
Malah ajaran Islam tidak pernah menyusahkan umat Islam dengan cara demikian. Bila hantaran terlalu tinggi hilang keberkatan rumahtangga.
Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan
mas kahwin ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang
haknya. Walau bagaimanapun sekarang ini semua negeri sudah menetapkan berapa
mas kahwin untuk wanita tersebut bila berkahwin, boleh kita terima, tetapi
sekiranya diri wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya,
kita perlu hormati.
Begitulah kehendak syariat.
Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik yang terendah. Sabda Rasulullah saw:
“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya.”
Sabda Rasulullah saw lagi:
“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sediki mas kahwinnya.”
Bersabda Baginda lagi:
“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”
Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah saw itu hanya sepuluh dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji bantal di rumahnya.
Setengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham)
Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.
Sayidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:
“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”
Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat Al Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya ayat dalam surah Al Fatihah atau Al Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki.
Akan tetapi apa yang dinamakan sebagai hantaran
tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah
lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan
oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan.
Kalau begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta
kepada bakal menantunya. Kecuali bakal menantu hendak memberi hantaran,
boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada hikmahnya.
Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan
tunangnya agar memperluatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia,
tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam
di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang
telah ada tanpa rasa tamak.
Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak lama jaraknya dengan penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari berbagai fitnah manusia.
Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan bergaul selepas meminang kerana menjaga maruah wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang dibuat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua-duaan dengan bakal isterinya.
Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang aman daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang diharuskan sekiranya mengikut syariat.
Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua pergelangan tangannya sahaja dan tidak melihat bahagian aurat tunang.
Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat. Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.
Pergaulan yang melibatkan tunang samada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama muhrimnya. Di larang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah saw telah mengingatkan kita di dalam sabdanya:
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian maka jangnlah sekali-kali menyendiri dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan”
Rasulullah saw bersabda lagi yang maksudnya:
“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri
dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti
adalah syaitan, kecuali kalau ada muhramnya.”
ADAT WALIMATUL URUS YANG HARAM
Assalammualaikum....
Pengamalan adat nikah gantung adalah orang yang
bertanggungjawab mengharamkan yang halal. Mengikut apa yang telah ditetapkan
oleh syariat Islam bila mana ijabkabul dilafaskan dan disahkan, maka jadilah
lelaki dan perempuan itu sebagai suami isteri yang sah, maka
halallah bagi mereka apa yang diharamkan sebelum
ini seperti persetubuhan dan sebagainya dan masing-masing mempunyai kewajipan
dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan seperti nafkah dan sebagainya
termasuk nafkah batin. Ketahuilah bahawa mengharamkan yang
halal sama dengan syirik.
Dalam soal upacara bersanding, telah sepakat ulama mutaakhirin bahawa hukum bersanding itu adalah “HARAM”. Walau bagaimanapun para ulama berbeza-beza di dalam mengutarakan sebab atau mengapa bersanding itu haram.
Ada ulama mengatakan sebab bersanding itu haram kerana pekerjaan tersebut adalah merupakan satu pekerjaan bidaah (satu perkara yang diada-adakan) iaitu pekerjaan yang tidak pernah dilakukan di zaman Rasulullah saw mahupun di zaman para sahabat. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Dan kerjakanlah segala apa yang didatang Rasul, serta hentikanlah segala apa yang dilarangnya.”
Dalam pada itu, ada juga pendapat ulama mengatakan bahawa bersanding itu haram disebabkan terdapat beberapa perbuatan yang melanggar batas-batas syarak seperti pakaian yang mendedahkan aurat, percampuran antara lelaki dan wanita yang bukan muhram, pembaziran, memakai bau-bauan dan sebagainya.
Perbelanjaan untuk membuat pelamin sekurang-kurangnya ratusan ringgit, bahkan adakalanya sehingga ribuan ringgit dihabiskan. Ini merupakan pekerjaan yang membazir. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.”
Pendedahan aurat berlaku berleluasa di majlis tersebut, terutamanya pengantin perempuan. Rasulullah saw bersabda:
“Ada empat golongan perempuan di dalam neraka; Perempuan
yang tidak menutup dirinya (auratnya)
daripada lelaki bukan muhram dan keluar daripada
rumahnya dengan melawa-lawa;…… perempuan yang bersifat dengan sifat-sifat
demikian ini adalah dilaknat, menjadi ahli neraka kecuali mereka bertaubat.”
Sebuah hadis Rasulullah saw lagi:
“Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian
ia keluar lantas melintasi suatu kaum lelaki (bukan muhram) agar mereka
tercium bau harumnya, maka ia
adalah penzina, dan tiap-tiap mata yang memandang
itu zina.”
Manakala ulama lain pula berpendapat bersanding
merupakan satu yang jelas haram kerana ia adalah warisan, ikutan dari amalan
masyarakat Hindu dari zaman berzaman. Sedangkan kita umat Islam adalah
dilarang untuk mengikut amalan orang kafir. Islam menyuruh umatnya menjadi
satu umat yang berbeza dari lain-lain umat samada dalam adatnya, dalam
iktiqadnya,
dalam pakaiannya dan lain-lain.
Rasulullah saw bersabda:
“Barangsiap menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah dari golongan mereka.”
Rasulullah saw. bersabda:
“Bukan dari golongan kita umat Islam barangsiapa menyerupai kaum yang lain daripada kita.”