Anda adalah pelawat yang ke:
 

Laman 3

TANGGUNGJAWAB SUAMI
 

Assalammualaikum.....

Sebelum saya memberi peringatan kepada semua para-para suami, saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih atas maklum balas dari bab poligami dan kerana isteri suami sakit jiwa. Saya sudah menduga dari awal lagi apakah tindakan para-para
isteri atau wanita tentang bab tersebut, sebab itu saya hanya tersenyum membaca maklum balas anda semua. Saya doakan semoga anda semua beroleh kefahaman dan taufik serta hidayah dari Allah swt.

Untuk pengetahuan semua grup Relexjap ini, sudah sampai masanya saya mengajak anda semua baik lelaki mahupun wanita kembali menghayati ajaran Islam secara menyeluruh. Islam bukan untuk para-para Nabi, para sahabat-sahabat Rasulullah saw atau untuk zaman dahulu kala. Islam sesuai diamalkan untuk setiap zaman, cuma kita sekarang ini sudah jauh meninggalkan ajaran Islam yang sebenarnya walaupun kita mengaku kita orang Islam, tapi Islam kita bagaimana penghayatannya.

Saya tidak akan menjawab beberapa maklum balas anda buat ketika ini (bukan saya hendak sombong), cuma saya meminta anda semua memahami secara lebih mendalam apa
maksud dan tujuan saya memberi pandangan atau pendapat tersebut samada pendapat itu telah atau yang akan diutarakan di masa hadapan.

Saya juga sibuk dengan tugas saya sebagai seorang doktor dan masa saya bertugas dari 9.00 pagi hingga 9.00 malam. Semoga Allah izinkan saya menyumbangkan tenaga untuk mengajak umat Islam kembali menghayati Islam sepertimana zaman Rasulullah saw. Kepada semua umat Islam yang membaca pandangan atau pendapat saya yang telah atau akan diutarakan di masa hadapan, yang mana ada kebaikan atau kebenarannya anggaplah ianya datang dari Allah swt. dan sama- samalah kita menerima walaupun pahit dan janganlah kita menjadi orang yang membangkang atau orang yang cepat melenting. Mana yang tidak benar itu anggaplah dari kelemahan diri saya sendiri dan tegurlah atau nasihatlah saya kembali dengan membawa hadis nabi.

Oklah bagaimana tanggungjawab suami.

Rumahtangga yang aman damai itu terbina di antara gabungan kegagahan seorang lelaki dan kelembutan seorang wanita. Lelaki berusaha mencari nafkah sementara wanita menguruskan rumahtangga. Tentu tidak akan wujud sebuah rumahtangga yang bahagia jika suami sahaja yang gagah atau kelumbutan isteri semata-mata.

Syariat Islam telah memuliakan wanita dengan memberi satu jaminan bagi kehidupan mereka. Disebabkan fitrah dan peraturan hidup itulah maka suami berperanan memimpin isteri ke arah mencari keredhaan Allah swt. pada keseluruhannya, suamilah yang bertanggungjawab di atas segala masalah anak isterinya tetapi tidaklah sampai membiarkan mereka lalai daripada tanggungjawab dalam ibadah yang khusus (fardhu ain). Firman Allah
swt bermaksud:

"Peliharalah dirimu dan keluargamu dari seksa neraka."

Setelah kita mengetahui sifat-sifat seorang suami, perlu juga diketahui tugas dan tanggungjawabnya iaitu:
1. Menjadi pemimpin keluarga
2. Mengajarkan ahli keluarga ilmu-ilmu fardhu ain
(wajib) iaitu tauhid, feqah dan tasauf.

Ilmu tauhid: Diajarkan supaya beriktiqad ahli Sunnah Wal Jamaah. Mengajar sifat-sifat yang wajib, mustahil, harus bagi Allah dan Rasulullah saw. Rukun Iman, Islam
dan lain-lainnya.

Ilmu feqah: Mengajarkan mereka supaya ibadah yang tunaikan itu menepati syariat Islam, seperti soal-soal kerukunan dalam sembahyang dan puasa. Mengenai perkara yang halal, haram, harus, makruh dan sunat.

Menerangkan kepada isteri mengenai haid, nifas dan wiladah malah perkara-perkara yang berkaitan dengannya serta hukum hakam menyucikan najis (mughallazah,
mukhaffafah dan mutawassitah).

Contoh bagi mandi hadas besar (haid kering): Apabila darah haid itu kering menjelang waktu maghrib, hendaklah ia segera mengangkat hadas besar dan menggantikan dua waktu sembahyang fardhu yang tertinggal iaitu zuhur dan asar. Jika suci pada waktu Isyak maka hendaklah diqadhakan sembahyang asar dan maghrib. Begitulah seterusnya jika di waktu yang lain.

Ilmu Tasauf: Mendidik ahli keluarga supaya sentiasa berakhlak dalam beramal dan dapat menjaga segala amalannya dari dirosakkan oleh riak, sombong, bangga dan menunjuk-nunjuk serta mengadu domba. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

"Tidak mendapati akan Allah oleh seorang dengan dosa yang terlebih besar daripada dosa yang jahil akan segala isi rumahnya."

Ini bermakna suami yang tidak mengajar isteri-isterinya mengenai perkara-perkara yang fardhu
ain dan membiarkan mereka di dalam kejahilan.

3. Memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal dari sumber dan usaha yang halal. Ingatlah para suami, kewajipan kita terhadap mereka ialah melayani dengan baik dalam hal di atas. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

"Kewajipan seorang suami terhadap isterinya ialah suami harus memberi makanan kepadanya jika ia berpakaian dan tidak boleh memukul mukanya dan tidak boleh memperolok-olokkan dia dan juga tidak boleh meninggalkannya kecuali dalam tempat tidur (ketika
isterinya membangkang)."

Berkata setengah ulama:

"Sesungguhnya sekali membeli pakaian anak isteri yang menyukakan hati mereka maka suami akan mendapat pahala selama 70tahun."

4. Tidak menzalimi anak isteri iaitu dengan
 -  memberi didikan agama secukupnya.
 -  Memberi nafkah zahir dan batin secukupnya
 -  Menegur, menasihati dan menunjuk ajar jika
mereka melakukan maksiat dan kesalahan.

5. Hendaklah memberi nasihat jika isteri gemar mengumpat, berleter serta melakukan sesuatu yang bersalahan dengan perintah agama. Selalulah ceritakan gambaran-gambaran wanita yang diseksa di atas perbuatan yang sedemikian.

Kaum wanita tidak digalakkan menziarahi ke rumah orang lain. Ini bukanlah bererti tidak boleh berziarah langsung. berziarah itu boleh tetapi biarlah kena pada tempatnya.

Sedangkan lidah tergigit, inikan pula kita manusia biasa. Tambahan pula bila sudah hidup bersuami isteri, kena sabar dengan kerenah suami, kerenah isteri dan anak-anak.

Di antara perkara yang boleh membawa kepada kebinasaan berkahwin apabila suami tidak memberikan nafkah yang halal kepada ahli keluarganya. memandang ringan akan hak-hak keahlian mereka apatah lagi jika membiarkan mereka susah dan menderita. Rasulullah saw telah mengingatkan dengan sabda yang bermaksud:

"Memadailah seorang itu derhaka dan dosa bahawa menghilangkan ia akan hak orang yang wajib dinafkahinya."

Dosa yang paling berat sekali apabila suami tidak menunaikan mas kahwin kepada isterinya sepertimana yang dijanjikan. hal ini telah diperjelaskan oleh baginda dengan maksudnya:

"Siapa sahaja seorang lelaki yang mengahwini perempuan dengan mas kahwin sedikit atau banyak, sedangkan dalam hatinya ia tidak berniat untuk memberikan hak kepada
perempuan tersebut (mas kahwin) kepadanya. maka ia meninggal dunia sedang ia belum memberi hak perempuan tadi kepadanya maka ia akan menjumpai Allah di hari kiamat nanti dalam keadaan berzina."

Berkata pula Imam Ghazali: Kebinasaan berkahwin ini umumnya tiada sejahtera daripadanya melainkan orang yang alim akan ilmunya yang dapat memberi manfaat di hari akhirat. Mempunyai akal yang sempurna dan baik akhlaknya malah mengetahui dengan mata hatinya akan adat dan sikap seorang wanita itu. Sabar ia di atas segala kejahatan lidah isterinya dan tidak mengikut segala kehendak hawa nafsunya melainkan bermuafakat dengan perkara yang bertepatan dengan syariat.

Secara ringkas di sini dapatlah diertikan, seorang suami yang alim (mengetahui) akan ilmu-ilmu keagamaan itu mestilah mendidik isterinya dengan penuh berhikmah. Tidak mengambil sesuatu tindakan yang melulu sebaliknya bukanlah bermaksud tunduk dan patuh di bawah telunjuk isteri. Malah bersikap lapang dada dalam menghadapi sesuatu masalah sebab Allah menguji
seseorang itu mengikut kemampuannya.

Sikap kita di alam bujang dan alam rumahtangga akan jauh bezanya baik yang lelaki mahupun perempuan. Apa yang lebih membimbangkan bila seorang lelaki itu telah memasuki gerbang rumahtangga di mana sikapnya di zaman bujang yang terkenal dengan kuat bersembahyang sunat, puasa sunat, bezikir dan bersedekah telah berubah. Berubah menjadi seorang yang leka dan selalu menyibukkan diri dengan anak isteri. Bekerja keras untuk mengumpul harta dan kemewahan semata-mata untuk keluarga. lebih buruk lagi bila sifatnya yang pemurah
tiba-tiba menjadi kedekut dan sombong dengan harta yang ada.

Inilah masalah yang perlu kita semua ambil perhatian. Bukan sahaja kepada golongan suami, isteri sendiri mestilah memainkan peranan membantu suami dalam mengatasi masalah tersebut. Bukannya mengungkit, menghasut dan memaksa suami melakukan itu ini yang di
luar batas kemampuannya. Mencari rezeki untuk memudahkan keluarga memanglah digalakkan tetapi biarlah kena pada tempat, masa dan keadaannya, janganlah pula sampai tertinggal ibadah yang wajib! Sebab, telah berkata Abi Sulaiman Ad Darani r.t:

Barang yang membimbangkan akan dikau daripada mengingati Allah swt iaitu daripada ahlinya dan hartanya dan anaknya maka iaitu celaka atasmu.

Kesimpulan, bersikap sederhanalah dalam mengatur dan menyelenggarakan sebuah rumahtangga. Sentiasalah mengadakan perbincangan dengan isteri (tambahan kalau yang beristeri lebih dari satu) terutama dalam mujahadah mengikis nafsu mazmumah yang masih lagi
berkarat di hati-hati kita. Seorang suami mestilah bersikap tegas di atas sikap anak isteri bila
mengerjakan perkara mungkar yang berlawanan dengan syariat samada yang haram, makruh, harus ataupun perangai yang kurang beradab. Dayuslah seorang suami jika dia sama-sama menjadi tukang sokong sekaligus bersubahat dengan keluarganya. Allah sentiasa mengingatkan hamba-hambanya supaya bertolong-tolong dalam perkara yang mendatangkan kebajikan bukan
sebaliknya kerana ianya mendatang dosa dan seteru.

Akhir kata dari saya, Allah telah mengingatkan para suami dengan firman yang bermaksud:

"Dan ketahuilah harta dan anakmu itu adalah fitnah."

Maka marilah kita jagai mereka agar selamat dari bala bencana dunia akhirat. Itulah keistemewaan kita sebagai suami, kelebihan satu darjat kaum lelaki itu dari wanita ialah darjat suami yang bertanggungjawab dan berkewajipan dalam mengeluarkan belanja.

TANGGUNGJAWAB SUAMI DALAM NAFKAH HARTA

Assalammualaikum.....
 

Isteri merupakan amanah Allah yang dipertanggungjawabkan ke atas suami untuk memeliharanya. Lazim kejadiannya memang berasal dari kejadian yang lemah atas sifat perempuannya maka sudah semestinyalah suami menjaga isterinya dengan sebaik-baik jagaan. Seorang suami mestilah tahu hak-hak yang dimiliki oleh seorang isteri dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Sabda Rasulullah saw:

“Takutlah kepada Allah tentang wanita (isterimu). Sebab dia engkau ambil (kahwin) dengan amanah daripada Allah.”

“………dan bagi mereka (isteri) mempunyai hak atas kamu (suami) menduduki satu darjat di atas mereka, dan Allah adalah Maha bijiksana. Yakni suami menduduki tempat sebagai pemimpin kehidupan berumahtangga yang bertanggungjawab.”

“Lelaki (Para suami) adalah pelindung dan pembila atas perempuan (isteri) berdasarkan apa-apa yang telah dilebihkan Allah bagi yang satu daripada yang lain. Dan berdasarkan apa-apa yang mereka nafkahkan dengan harta mereka.”

Pemberian nafkah adalah wajib semenjak mula berlakunya akad nikah, meskipun isterinya itu seorang yang kaya raya. hak isteri itu tidak berubah dan kewajipan itu
tetap ke atas suami.

Takrif nafkah, ia adalah suatu bahagian daripada hartanya yang dibelenjakan kepada orang-orang yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Manakala yang dikatakan harta itu pula mestilah dari sumber yang halal, ia bukan hak anak yatim atau bukan hak orang lain yang disimpan kepada kita serta ia bukan dari usaha curi, rasuah, riba dan sebagainya.

Jadi, harta yang dijadikan nafkah untuk perbelanjaan isteri-isteri dan anak-anak, ia mestilah harta yang diperolehi dari jalan yang halal. Harta yang haram, ia tidak boleh dijadikan nafkah. Sabda Rasulullah saw

“Setiap daging yang tumbuh dari harta yang haram, nerakalah yang senang kepadanya kelak.”

Adapun nafkah, ia terbahagi kepada 3 bahagian atau nafkah kepada 3 bahagian. Iaitu yang pertama ialah kepada isteri, yang kedua kepada anak dan yang ketiga kepada usul. Nafkah kepada isteri, mestilah isteri yang sah atau isteri dalam ‘Iddah raj’i atau ‘Iddah yang boleh dirujuk kembali, ertinya ialah ‘Iddah dari talak satu atau dari talak dua. Tetapi ‘Iddah talak
tiga tidak berhak diberi nafkah kerana ia adalah talak yang tidak boleh dirujuk kembali.

Nafkah yang diberi kepada anak, mestilah bagi anak yang sah. Anak yang di luar nikah atau anak zina, tidak wajib diberi nafkah. Takrif wajib nafkah kepada anak juga ialah anak yang bukan akil baligh. Tetapi bagi anak yang sudah akil baligh, tidak wajib lagi bagi ayah untuk memberi nafkah kecuali anak itu tidak boleh mencari nafkahnya sendiri. Katalah seorang anak
itu akil baligh ketika umurnya 15 tahun sedangkan masa itu dia masih belajar di sekolah. Ertinya, anak itu belum berupaya lagi mencari rezeki. Makna, ayahnya wajib memberi nafkah kepada anaknya.

Nafkah usul, ialah nafkah keturunan. Umpamanya, anak memberi nafkah kepada ayahnya. Syaratnya mestilah ibu bapa itu tadi adalah terlalu susah hingga tidak mampu menyara hidupnya. Seorang ayah yang sudah tidak mampu mencari nafkahnya sendiri, adalah berkewajipan bagi anak-anaknya memberi ibu bapa nafkah. Ertinya, seorang anak yang memberi belanja hidup kepada orang tuanya, bukan dibuat suka-suka hati. Ia adalah satu
tangggungjawab yang wajib.

Seorang suami perlulah mengetahui syarat-syarat yang wajib dan berhak diberi nafkah kepada isteri, bukan ikut bagi sesuka hati sahaja. Syarat pertama ialah isteri yang taat kepada suami. Taat dalam ertikata menyerah diri bulat-bulat kepada suami samada jiwa raganya, tenaga dan akal fikirannya. Begitu juga, menyerah diri kepada suami bererti menyerah zahir dan
batinnya pada suami. Isteri yang demikian saja yang wajib diberi nafkah. Isteri yang tidak taat 100% kepada suami atau sentiasa berbalah dengan suami, tidak wajib diberi nafkah.

Syarat yang kedua ialah isteri yang tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami. Seorang isteri itu memang dilarang oleh syariat, keluar rumah tanpa izin dari suami. Namun itu pun, hari ini begitu ramai sekali para isteri yang tidak sedar perintah ini. Mereka bebas keluar rumah sesuaka hati padahal yang dia lakukan itu adalah satu dosa. Cuma para isteri hari ini merasakan apa yang dia lakukan itu tidak apa-apa. Malah, ada setengahnya sampai berani membentak suami,
kalau dia ditanya tentang pemergiannya itu.

Isteri yang keluar tanpa keizinan suami, bererti dia tidak taat dan melanggar syariat. Ketaatan pada suami bererti taat di dalam agama. Apa saja yang dilarang dan diharamkan oleh Allah dan Rasul dalam rumahtangga dan di dalam perhubungan suami isteri, isteri hendaklah taat.

Gugur nafkah bagi isteri-isteri yang tidak taat. Cuma gugur nafkah seorang isteri yang tidak taat itu, sabitnya adalah dengan syarat-syarat yang tertentu. Ertinya, ada beberapa syarat yang mensabitkan gugurnya nafkah isteri apabila dia berlaku tidak taat.

Adapun suami-suami yang wajib memberi nafkah kepada isteri terdiri dari tiga golongan. Pertama, suami yang kaya, kedua ialah suami yang pertengahan dan yang ketiga ialah suami yang miskin atau papa. Ketiga-tiga golongan ini ada peringkat nafkah masing-masing
terhadap isteri. Seorang suami yang kaya lain ukuran nafkahnya dan suami yang sederhana kekayaannya, lain ukuran nafkahnya, seorang suami yang miskin papa, lain
pula ukuran nafkahnya.

Kewajipan nafkah bagi suami yang kaya menurut yang diterangkan dalam pengertian syariat ialah, memiliki harta yang boleh dibelanjakan sehingga umur yang ghalib atau lazimnya dia boleh hidup dan kalau sekiranya dia mati, masih ada baki harta itu. Itulahyang dikatakan kaya.

Umur yang ghalib seorang itu boleh hidup, ia adalah ukuran biasa yang umum berlaku dikalangan satu-satu masyarakat itu. Biasanya bagi orang-orang melayu, disekitar 55 membawa kepada 65 tahun. Itulah sekitar umur yang ghalib seseorang itu boleh hidup. Walau
bagaimanapun, itu adalah ukuran mengikut akal kita. Tetapi di sisi syariat, tidak ada siapa yang boleh mengetahui kecuali Allah swt.

Bagi orang kaya, ada kaedah-kaedah nafkah yang mesti diberikannya kepada isterinya. Pertamanya, suami mesti menyediakan sebuah rumah untuk anak isterinya, sama seperti rumahnya semasa dia berada bersama ibu bapanya dahulu. Ertinya, nafkah orang kaya terhadap isterinya adalah berat. kalau suami tidak menyediakannya, belumlah selesai tanggungjawab nafkahnya terhadap isterinya.

Kemudian, makan dan minum yang mesti disediakan untuk isterinya pula, mestilah jenis makan dan minum yang pernah dia terima semasa dia hidup bersama dengan ibu bapanya dahulu. Katalah semasa dia hidup bersama ibu dan bapanya dahulu, dia makan nasi yang berasnya
bernilai beras terbaik. Maka, suami mestilah menyediakan makan untuk isterinya dengan beras yang terbaik juga. Begitu juga dengan lauk pauknya yang mana kalau sekiranya semasa berada bersama ayah dan ibunya dahulu dia makan lauk yang baik-baik, maka suami mestilah memberi isterinya lauk pauk yang baik-baik juga, seperti daging, ayam dan sebagainya.

Seterusnya dalam lain-lain peralatan rumah serta dapur, semuanya mesti disediakan mengikut keadaan yang baik-baik seperti dapur gas, alat-alat perabut dan lain-lainnya, mesti juga dari barang yang baik-baik.

Sekiranya, dahulunya dia biasa dibantu oleh orang-orang gaji, maka hendaklah suami mengadakan orang gaji untuk isterinya. Dan begitulah seterusnya dalam hal-hal yang lain di dalam rumahtangga suami itu, setiap apa yang pernah ada padanya dahulu, mestilah disediakan untuk isterinya.

Tentulah berat tanggungjawab bagi seorang suami yang kaya apabila diukur dan ditinjau di sudut fekah. Apabila kita tinjau di sudut tasauf iaitu di sudut hendak mendapatkan kewarakan dalam beramal ibadah, perkara-perkara yang demikian bergantung kepada keredhaan isteri. Seandainya isteri redha, tidak mahu segala kesenangan dan kenikmatan duania kerana takut akan hisabnya terlalu berat di akhirat nanti, isteri boleh menolak semua itu dan memilih kehidupan zuhud.
Tetapi harus pula seorang suami itu ingat, suami tidak boleh memaksa isterinya zuhud. Tanggungjawabnya ialah untuk menyediakan tempat tinggal, makan minum dan pakaian untuk isterinya. Ini adalah tuntutan wajib ke atasnya.

Daripada pengertian tentang memberi nafkah kepada isteri bagi suami-suami yang termasuk dalam golongan kaya, dapatlah dijadikan ukuran tentang bagaimana pula tanggungjawab suami-suami yang termasuk dalam golongan pertengahan dan golongan miskin. perlulah diingat
bahawa dalam persoalan memberi nafkah kepada isteri ini, Rasulullah saw pernah bersabda:

“Takutlah kamu kepada Allah dalam urusan perempuan, sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan telah dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimat Allah dan diwajibkan atas kamu memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang
sebaik-baiknya.”

Kemudian Allah swt juga ada berfirman yang maksudnya:

“Hak (nafkah) isteri yang dapat diterimanya dari suaminya seimbang dengan kewajipan terhadap suaminya itu dengan baik.”

Dan di dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksudnya:

“Tempatkanlah mereka (para isteri) dimana kamu bertempat tinggal menurut kemampuan dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka.”

Daripada pertanyaan-pertanyaan di atas jelaslah kepada kita ukuran pemberian nafkah bagi seorang suami itu terhadap isterinya. kalau suami-suami yang termasuk dalam katagori yang kaya tadi, telah digariskan kaedah-kaedah nafkah yang wajib diberikannya kepada isterinya, maka bagi suami-suami yang pertengahan dan miskin, bolehlah kita gariskan tentang banyak mana nafkah yang wajib suami berikan kepada isterinya. Iaitu berdasarkan daripada hadis Rasulullah saw dan dari pertanyaan Allah di atas, suami-suami wajib memberi nafkah kepada isteri-isterinya mengikut kemampuannya serta menurut keadaan dan tempat.

Begitulah tuntutan nafkah zahir kepada para isteri yang wajib bagi suami-suami melaksanakannya. Seandainya para isteri bagi suami yang miskin atau pertengahan kaya meminta lebih dari yang mampu disediakan oleh suami, sabda Nabi saw.:

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya.”

Menganai nafkah dua orang suami isteri yang sama-sama bekerja samada sama-sama menjadi guru, sama-sama bekerja di pejabat atau sama-sama menoreh getah dan sebagainya. Sebenarnya persoalan ini adalah amat berat kerana ia melibatkan harta pusaka yang tidak dapat
ditentukan siapa punyanya. Seandainya, dalam soal kedua-dua mencari nafkah ini ditakdirkan suami meninggal atau ditakdirkan isteri meninggal, bagaimana pula kedudukan harta yang ditinggalkan.

Dalam hal ini, jika meninggallah salah seorang di antara keduanya, harta yang tinggal tidak boleh dipusakakan kerana harta yang tinggal itu tidak tentu siapa yang punya. Harta itu sudah bercampur aduk antara nafkah isteri dengan nafkah suami. Syariat hanya menganggap hasil pencarian suami sahaja yang dijadikan harta pusaka untuk anak isteri tetapi isteri tidak boleh mencari nafkah untuk menjadikannya harta. Setiap wanita hanya boleh memiliki harta melalui
peninggalan ayah ibu atau pun adik beradik atau pengninggalan suami.

Sekiranya seorang itu bekarja serta berusaha dan berikhtiar untuk menambahkan pendapatan keluarga, satu pejanjian antara isteri dan suami mesti ada untuk mengikrarkan harta sama sepencaria itu. Di antara ikrar-ikrar yang boleh dibuat ialah seperti misalnya, suami mengatakan kepada isteri bahawa seluruh harta yang mereka cari bersama itu adalah hak suami, walaupun  bahagian isteri yang mencari ada di dalamnya. Tetapi suami boleh mengikrarkan semuanya
harta dia. Sekiranya suami meninggal, seluruh yang ada pada harta itu, adalah menjadi harta pusaka yang boleh dibahagi-bahagiakan. Begitu juga, suami boleh mengikrarkan kepada isteri tentang harta yang sama-sama dicari itu dengan mengatakan bahawa semuanya adalah hak isterinya. Sekiranya suami meninggal, seluruh harta yang tingga itu adalah hak isterinya.

Boleh juga, di antara suami isteri yang sama-sama mencari nafkah mengasingkan harta masing-masing. Misalnya, kalau isteri membeli pinggan mangkuk hasil pencariannya, isteri boleh menyatakan kepada suaminya bahawa pinggan mangkuk itu adalah hartanya. Dalam soal
ini mesti ada perjanjian bertulis, kerana ia tidak akan menjadi perbalahan apabila meninggal salah seorang antara kedua nanti. Dan yang selebih baiknya ialah dengan memanggil ahli-ahli keluarga waris untuk menjadi saksi. Ini adalah amat mustahak sekali kerana ia melibatkan soal paraid atau pembahagian harta.

Soal suami isteri yang sama-sama bekerja mencari nafkah sudah menjadi perkara biasa hari ini. Kalau sama-sama tidak jelas tentang harta dan faraid harta, takut-takut nanti seluruh isi keluarga memakan harta yang haram. Sedangkan isteri yang pergi bekerja itu pun, isteri mesti hati-hati sungguh kerana takut-takut isteri membawa balik harta yang haram. Hal ini mudah sangat berlaku. Andainya isteri pergi bekerja itu tanpa lafaz izin dari suami atau tidak menutup aurat,
bermakna isteri keluar rumah secara haram. Jadi, suami kenalah melafaskan izin setiap hari kepada isteri serta mensyaratkan kepada isteri setiap kali pergi bekerja dengan menutup aurat. kemudian harta yang jadi sama-sama sepencarian itu pula hendaklah dinyatakan, apakah boleh ia dimakan bersama. Kalau tidak, takut-takut nanti suami memakan harta haram.

    NAFKAH BATIN: BUKAN HANYA KEPERLUAN SEKS

Tidak semua wanita yang tidak mahu berkahwin itu
terlalu memilih suami yang berpangkat dan bergaji
besar. Ada juga dikalangan mereka yang bercita-cita
ingin mencari lalaki yang berilmu dan beramal diatas
segala apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt.

Oleh itu mereka terpaksa bertangguh untuk mendirikan
rumahtangga dan untuk mencari seorang lelaki yang
beramal saleh di akhir zaman ini ibarat payahnya
mencari sebutir mutiara asli. Sebabnya, ramai suami
dewasa ini mencuaikan tanggungjawabnya di dalam
mendidik ahli keluarganya malah tugas itu diserahkan
sepenuhnya kepada isteri dan guru sahaja.

Kita percaya hampir ke semua suami berjaya menunaikan
tanggungjawabnya di dalam memberi nafkah zahir
(seperti makan, minum, pakaian dan tempat tinggal)
kepada ahli keluarganya. Tetapi bagaimana pula dengan
tuntutan nafkah batin? Rata-rata masyarakat sekarang
memahami bahawa tuntutan nafkah batin itu sekadar
untuk melepaskan keperluan seks melalui jalan yang sah
dan tidak lebih dari itu.

Bila sesempit itu pandangan mereka, maka timbullah
berbagai masalah di dalam rumahtangga. Contohnya, ahli
keluarga tidak pandai bersembahyang, tidak pandai
mengaji Al Quran, cuai berpuasa dan tidak tahu hukum
halal dan haram. Isteri dan anak-anak hidup terbiar
tanpa asuhan dan dididkan Islam yang sewajarnya.

Nabi saw telah mengingatkan para suami dengan sabdanya
yang bermaksud:

“Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu,
kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada
di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan
sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan
agama kepadanya, maka ia telah berkhianat kepada Allah
dan Rasul-Nya.”

Menunaikan nafkah batin bererti mengajar isteri dan
anak-anak dengan ilmu serta didikan agama yang
sempurna sehingga terbentuknya sebuah keluarga yang
dianggotai oleh mereka yang soleh dan solehah.
Barangsiapa yang cuai atau lari daripada tanggungjawab
ini bererti dia telah menempah jalan ke neraka. Nabi
saw pernah bercerita menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Tidak ada seseorang yang menjumpai Allah swt dengan
membawa dosa yang lebih besar daripada seorang suami
yang membodohkan ahli keluarganya.”

Apakah ilmu-ilmu dan didikan yang mesti diajarkan oleh
seorang suami kepada ahli keluarga? Setiap suami
bertanggungjawab mengajar anak isterinya ilmu-ilmu
fardhu ain iaitu tauhid, fekah dan tasauf. tujuan
mempelajari ilmu tauhid supaya aqidah mereka
bertepatan dengan fahaman ahli sunnah wal jamaah.
Contohnya, mempelajari sifat yang wajib, mustahil dan
harus bagi Allah dan Rasul. Mempercayai rukun-rukun
Iman dan rukun-rukun Islam.

Kita diwajibkan mempelajari ilmu fekah sebagaimana
penekanan Allah  menerusi firmannya bermaksud:

“Ketahuilah! Bahawa dianjurkan bagi seorang suami
memerintahkan isterinya (dan mengingatkannya dengan
nada yang lembut) dan menafkahinya menurut kadar
kemampuannya dan berlaku tabah (jika disakiti oleh
isterinya) dan bersikap halus kepadanya dan
mengarahkannya ke jalan yang baik dan mengajarnya akan
hukum-hukum agama yang perlu diketahui olehnya iaitu
hukum bersuci, haid dan ibadah-ibadah (yang wajib dan
sunat).”

Justeru itu, suami mesti mengajarkan isterinya
cara-cara mandi hadas dan berwuduk serta masalah haid,
nifas dan wiladah. Juga mengenai cara-cara menyucikan
najis serta pembahagian air yang wajib untuk dibuat
bersuci, hukum halal dan haram serta banyak lagi.

Tujuan mempelajari ilmu tasauf pula supaya setiap
amalan yang dilaksanakan itu benar-benar ikhlas dan
dijauhkan daripada bersifat riyak, ujub (hairan kepada
diri sendiri) sombong dan lain-lain lagi.

Selain daripada perkara-perkara asas tersebut suami
juga bertanggungjawab mendidik isteri, berakhlak mulia
terhadapnya dan terhadap anak-anak, ibubapa, sesama
isterinya  sekiranya ada, rakan-rakan, jiran tetangga
serta masyarakat.

Suami perlu memberitahu isteri tentang adab seorang
isteri bersopan santun dalam segala percakapan dan
tindakannya. Juga tentang akhlak semasa bersama
anak-anak iaitu berbual dengan mereka dengan bahasa
yang baik dan jangan suka memaki-hamun mereka dengan
bahasa yang kesat. Kerana sesungguhnya kata-kata ibu
itu mengandungi doa; jika tercetus dari mulut ibu
kata-kata seumpama “Beruk punya anak1” maka lahirlah
watak beruk pada si anak yang sukar untuk dilentur
perangainya.

Ajarkan juga isteri supaya menghormati dan beradap
sopan ketika berhadapan dengan ibubapa dan mertuanya.
Memuliakan keluarga suami lebih daripada yang lain.
Sentiasa memberi nasihat kepada isteri jika ia suka
mengumpat, berleter atau memfitnah jiran tetangganya.
Ingatkan isteri supaya jangan suka menceritakan
keburukan dan kelemahan suami kepada orang lain.

Selalu ingatkan isteri supaya banyak bersabar dalam
menempuh segala ujian dan perintah-perintah Allah swt.
Ajarkannya batas-batas aurat dan batas-batas pergaulan
seorang wanita. Pastikan auratnya terkawal ketika
pergaulan dengan sanak saudara, sahabat-sahabat
perempuan, dan ketika berhadapan dengan lelaki yang
bukan muhramnya. Dan supaya isteri tidak keluar rumah
tanpa izin daripada suami.

Isteri yang berjaya dididik dengan baik akan menjadi
insan yang patuh kepada Allah dan taat pada suaminya
dikala susah mahupun senang. Dia akan menjadi insan
yang sentiasa menjadi pendorong serta penasihat kepada
suami dalam hal-hal kebaikan, malah sentiasa mendoakan
keselamatan ke atas suaminya pada setiap waktu.

Kesimpulannya, inilah sebahagian daripada
tanggungjawab suami dalam menunaikan nafkah batin
kepada isteri. Kiranya suami jahil dan tidak mampu
untuk mengajar isteri dan anak-anak, dia wajib
berusaha mencari guru yang mampu mengajar. Semoga
dirinya dan ahli keluarganya terselamat daripada seksa
di akhirat kelak.

Ibnu Abbas pernah berkata:  :Berilah pengertian agama
kepada mereka (ahli keluarga) dan berilah pelajaran
budi pekerti yang bagus kepada mereka.”

SUAMI YANG LALAI DALAM TANGGUNGJAWAB

Kemampuan sesorang itu memimpin diri dan ahli
keluarganya ke jalan yang benar akan dapat mengelakkan
dirinya dari kebinasaan (terjun ke dalam neraka).
Jadi, kalau dia dapat mengelakkan dirinya dan ahli
keluarganya dari terjun ke neraka, maka itulah bukti
cintanya yang sebenar. Allah swt. terlah berfirman
yang maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu
pelihara dirimu dan keluargamu dari api neraka, yang
mana bahan pembakarnya adalah terdiri dari
manusia-manusia yang sombong dan engkar kepada Allah
iaitu mereka yang kufur, munafik, musyrikin dan juga
daripada batu-batu berhala……”

Allah swt menyuruh kita memelihara diri kita mentaat
segala peraturan Allah yang telah diperintahkan samada
perintah-perintah yang berbentuk fardhu ain, fardhu
kifayah, sunat-sunat Muakad dan Khair Muakad. Inilah
bentuk-bentuk perintah Allah yang mesti kita taati dan
patuhi. Semua amalan perintah ini hendaklah kita
lakukan dengan ikhlas dan jujur dengan niat
semata-mata kerana Allah dan bukan lain dari Allah.

Maksud ‘Peliharalah diri kamu’ itu bukan sahaja
sekadar mentaati segala perintah Allah tetapi juga
adalah menjauhi segala larangan Allah kepada diri kita
seperti dosa-dosa besar, dosa-dosa kecil dan juga
larangan yang mendatangkan makruh. Contoh-contah dosa
besar seperti berzina, minum arak, makan riba, mencuri
dan lain-lain. Manakala dosa-dosa kecil seperti
melihat sesuatu yang diharamkan oleh Allah atau
bergaul lelaki perempuan yang diharamkan oleh Allah
dan sebagainya. Dalam perkara makruh juga perlulah
dielakkan kalau kita hendak memelihara diri daripada
seksa api neraka.

Allah swt. maksudkan ‘Ahli keluarga kamu’ itu ialah,
isteri-isteri kita, anak-anak, orang-orang gaji dan
sesiapa saja yang di dalam jagaan kita. Tanggungjawab
kita kepada ahli keluarga ialah menjaga, mendidik,
mengajar dan memimpin mereka dalam melakukan
perkara-perkara sepertimana yang Allah tanggungjawab
pada diri kita sendiri. perlulah disuruh anak isteri
melakukan perkara-perkara yang berbentuk fardhu ain,
fardhu kifayah dan perkara-perkara sunat yang lain.
Wajib pula menghalang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang dilarang oleh Allah seperti
berzina, mencuri, dedah aurat, mengumpat, hasad
dengki, takbur, riak dan lain-lain lagi.

Jelaslah di sini bahawa peringatan Allah dalam
memelihara diri lita bukanlah terhad kepada diri kita
sahaja, ia adalah meliputi seluruh keluarga kita serta
mereka-mereka yang berada di dalam jagaan dan keluarga
kita. Kalau kita tidak memimpin dan mendidik ahli
keluarga kita, kita masih lagi belum terlepas dari
seksaan api neraka. Kerana Allah telah perintahkan,
“peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu.”

Sesungguhnya seorang hamba Allah itu diperhatikan
dihadapan mizan atau neraca atau timbangan di hari
kiamat nanti sedangkan bagi seseorang itu mempunyai
amalan yang banyak seperti gunung besarnya. Tetapi
setelah ditanya tentang bagaimana ia mengendalikan
ahli keluarganya dan bagaimana ia mengusahakan harta
yang didapati iaitu dari mana ia mendapatnya dan ke
mana ia belanjakan. Setelah ditanya semunya sehingga
habis semua amalannya yang banyak itu dan yang tinggal
hanyalah dosa-dosanya sahaja.

Daripada hadis Rasulullah saw yang menunjukkan
bagaimana amalan seseorang itu walau sebesar manapun
akan hapus disebabkan ia tidak melaksanakan
tanggungjawabnya terhadap isteri dan anak-anaknya dan
semua mereka yang berada di dalam jagaannya, maka
berkatalah malaikat, bahawa inilah orangnya yang telah
menghapuskan semua amalan kebajikan oleh ahli-ahlinya
dan anak-anaknya semasa di dalam dunia.

Adalah diriwayatkan oleh setengah-setengah ulama
bahawa sesungguhnya pertama-tama yang bergantung
kepada seseorang lelaki itu ialah isteri dan
anak-anaknya. Maka, memberhentikan akan dia itu oleh
mereka di hadapan Allah dan berkata mereka itu kepada
Allah, ‘Wahai Allah! Ambil olehmu bagi kami dengan
hakmu daripada lelaki ini. Iaitu selesaikan dulu hak
kami dan kewajipan lelaki ini terhadap kami, sebab ia
tidak mengajar kepada kami suatu hukum pun. Lelaki ini
tidak menunjuk ajar kepada kami tentang hukum-hukum
syariat dan hukum-hukum agama yang telah Engkau
turunkan ke dunia. Oleh itu kami sekarang hendak
menuntut hak kami. Kerana dialah kami jahil. Kami
tidak kenal apa-apa melainkan makan minum dan
rumahtangga kami sahaja. Hati kami gelap dan akal kami
pun gelap dan hati kami juga buta. Dan lelaki ini
telah memberi kami makanan daripada harta-harta yang
haram. Dia menerima harta riba dan rasuah dan
diberinya kami makan. Dia membeli barang-barang najis
dan menyuruh kami makan. Sedangkan kami mengetahui
pada ketika itu samada barang itu haram atau halal.
baru hari inilah kami sedar. Oleh itu Wahai Tuhan,
tahanlah ia dahulu, dan kami minta segala kesalahan
yang ada pada kami serahkan padanya.

Maka pada ketika itu setelah anak dan isteri mengadu
dan merayu kepada Allah, Allah menerima segala
pengaduan kerana saksi-saksinya telah jelas. Dan
kalaulah pada ketika itu kita masih cuba berbohong,
maka setiap helai rambut kita, semuanya akan menjadi
saksi. Setelah diadili setiap kesalahan yang diadukan
oleh anak isteri itu, maka Allah membalas akan
kesalahan itu dengan siksa yang amat pedih dan dahsyat
walaupun kebajikannya banyak dan walaupun timbangan
amalnya begitu berat sekali. Kesalahannya terhadap
anak isteri kerana tidak menyampaikan seruan agama
ketika di dunia hingga menyebabkan mereka jahil itu
boleh menghapuskan semua amal kebajikannya. Akhirnya
suami itu terjerumus sama ke dalam neraka.

Adapun salah satu daripada kebinasaan yang boleh
menimpa kepada seorang suami sepertimana yang
difirmankan di dalam Al Quran yang maksudnya:

“Wahai sekelian orang yang beriman, janganlah segala
harta-harta dan anak-anak kamu cuba melalaikan kamu
daripada mengingati Allah. Barang siapa yang berbuat
demikian itu, merekalah orang-orang yang rugi di
akhirat kelak.”

Firman Allah lagi yang maksudnya:

“Barangsiapa yang berpaling dari mengingatKu (Allah),
maka hidup yang sesat sempitlah jadi baginya.”

Ingatlah satu peringatan Allah kepada seorang suami
agar suami-suami sedar bahawa harta-harta serta
anak-anak isteri boleh melalaikan mereka daripada
mengingati Allah atau khusyuk di dalam beribadah
kepada Allah.

Di antara perbuatan mengingati Allah yang terpenting
sekali ialah sembahyang. Kalau di dalam sembahyang
kita asyik teringat bagaimana hendak mengumpul harta
untuk memberi kemewahan dan kesenangan kepada anak
isteri atau bagaimana hendak memujuk hati isteri
supaya dia sentiasa gembira, maka jangan mimpilah di
dalam perkara-perkara lain kita boleh ingat kepada
Allah seperti ketika kita bekerja mencari rezeki,
ketika kita mendapat kesenangan dan sebagainya. Dan
yang paling menyedihkan ialah dalam usaha dia
mengumpulkan harta-harta itu, dia tidak akan
menghiraukan lagi tentang larangan-larangan Allah dan
tidak memikirkan bagaimana hendak mendapatkan harta
yang halal. Orang-orang seperti inilah yang akan di
masukkan ke dalam golongan orang-orang yang
membinasakan diri di sebabkan oleh anak dan isteri.

Dalam pada hati seseorang itu sentiasa bimbang untuk
mendapat berita untuk anak dan isteri yang kononnya
akan menjadi bekalan bagi mereka apabila dia telah
mati nanti, maka kata ulama, orang seperti ini
biasanya akan menjadi orang yang bakhil, lokek dan
kikir. Apabila seseorang itu sudah bakhil, lokek dan
kikir, inilah celaka yang paling besar yang boleh
membinasakan dirinya. Bukan sahaja bakhil yang
dimilikinya itu merupakan bakhil yang berkaitan kepada
perkara yang menjadi wajib bagi dirinya, seperti
mengeluarkan zakat dan membantu fakir miskin serta
anak yatim.

Kalau hartanya telah menjadi begitu banyak, rasa takut
dan bimbang lahir di dalam hatinya kalau-kalau dicuri
orang, maka dia akan menyimpannya di dalam bank. Hasil
dari simpanan itu, hartanya akan bertambah atau
beranak-ranak kerana riba yang dibayar oleh bank.
Dengan demikian akan bertambah lagi satu kecelakaan
bagi dirinya. Lebih-lebih lagi celaka bagi dirinya,
kalau dia hanya mengeluarkan bunga dari simpanannya
itu untuk makan minum dan belanja anak isterinya.
Jelaslah suami itu sendiri memasukkan najis ke dalam
perutnya dan perut anak isterinya.

Lagi satu kebinasaan yang akan menimpa kepada
seseorang suami itu sebagaimana yang dikatakan oleh
Imam Ghazali ialah akibat daripada suami-suami yang
tidak melaksanakan hak kepada anak-anak dan isteri.
Mereka-mereka ini adalah terdiri dari suami-suami yang
tidak berani menegur atau menunjuk ajar anak isterinya
sehingga sanggup membiarkan mereka melakukan perbuatan
yang melanggar syariat.

Perkara yang melanggar syariat yang boleh dilakukan
oleh anak isteri adalah banyak sekali daripada perkara
yang haram hinggalah kepada perkara yang makruh dan
dari kemungkaran yang kecil-kecil hinggalah kepada
kemungkaran yang besar-besar. Seorang suami itu boleh
menerima kecelakaan, kalau anak-anak dan isterinya
melakukan kemungkaran atau melanggar syariat seperti
mengumpat, mengeluarkan kata-kata lucah, mendedahkan
aurat, mendengar lagu-lagu yang mengkhayalkan atau
anak-anak perempuannya atau isterinya memandang kepada
seseorang lelaki yang bukan muhrimnya.

Begitu juga, syariat melarang keras suami tunduk dan
menjadi hamba kepada isterinya. Kecelakaanlah bagi
suami-suami yang mengikut cakap isterinya dengan
ertikata cakap-cakap isteri yang melanggar hukum-hukum
syarak.

Misalnya, di dalam soal poligami. Allah swt
mengizinkan suami untuk berkahwin lebih dari satu
iaitu dua, tiga dan empat. Syariat tidak mensyaratkan
suami untuk mendapat keizinan isteri kalau hendak
berkahwin lagi satu samada yang kedua, ketiga atau
keempat. Kalaulah ada syarat-syarat yang menghendaki
suami meminta izin daripada isteri-isteri untuk
berkahwin lagi satu, ini adalah satu kecelakaan kepada
suami kerana suami terpaksa tunduk kepada isterinya
dalam hendak melaksanakan perkara yang dibenarkan oleh
syariat.

Ertinya, kalaulah ada suami yang hendak berkahwin lagi
satu, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana
terpaksa meminta izin kepada isterinya, suami telah
menjadi hamba kepada isterinya. Di sini bukan pada
suami sahaja yang berlaku kecelakaan itu, malah pada
isteri pun demikian juga kalau isteri-isteri yang
menghalang suami berkahwin lagi satu adalah menentang
hukum syarak.

Seorang suami yang tidak berani menegur atau menunjuk
ajar anak isterinya atau menjadi Pak turut, suami itu
telah tunduk kepada hawa nafsu isterinya. Suami
seperti ini, sebenarnya tidak dapat menunaikan hak
terhadap isteri dan anak-anaknya, maka suami itu
dianggap sebagai seorang yang dayus. Orang yang dayus
tidak akan masuk syurga. maka tersuratlah di depan
pintu syurga sepertimana firman Allah swt yang
bermaksud:

“Engkau hai syurga haramlah atas segala lelaki yang
dayus.”

Inilah ancaman kepada seorang suami yang tidak dapat
menunaikan hak terhadap isteri dan anak-anaknya, suatu
ancaman yang datang dari Allah swt dan Rasulullah saw.
Di dunia ini kita diancam tetapi bila di akhirat kelak
kita tidak akan diancam lagi tetapi kita akan
ditempelak. Allah akan tempelak kita sebagaimana
firmannya yang bermaksud:

“Adakah tidak kami datangkan ke atas kamu Rasul-Rasul?
Menerangkan kepada kamu ayat-ayat Kami,
pengajaran-pengajaran Kami tentang suruh dan larangan.
Kenapa kamu tidak suluh? Kerana apa kamu tidak terima?
Kerana apa kamu tidak ikut? Meraka akan jawab, “Ya
Allah! Rasul-Rasul sudah datang, Rasul-Rasul sudah
terangkan dan Rasul-Rasul telah tinggalkan semua itu
kepada kami. Tetapi kami lupa dan kami yang buta.
“Kemudian di jawab Allah,” “Apa boleh buat kerana
sekarang ketetapan azab sudah berada, ketepatan azab
sudah berlaku, ketepatan azab sudah tetap di atas
kamu. Kamu akan terjun ke neraka.”

Jelas sepertimana apa yang dikatakan oleh Imam Ghazali
bahawa orang yang tidak mampu mengajar anak isterinya,
tidak mampu menerangkan hukum-hukum Allah dan tidak
mampu menyampaikan yang hak kepada anak dan isterinya,
maka dialah orang yang menempah jalannya ke jurang
kebinasaan iaitu terjun ke dalam neraka.

Kemudian menurut Imam Ghazali lagi, bahawa
sesungguhnya kebinasaan yang terdapat bagi seseorang
yang berumahtangga itu adalah sangat banyak dan sangat
merata, hingga tidak dapat hendak diperkatakan satu
persatu. Seseorang itu tidak akan dapat sejahtera
daripada kebinasaan ini melainkan orang itu
benar-benar mempunyai ilmu pengetahuan agama dan
mempunyai hikmah dan kebijaksanaan dalam memimpin dan
mendidik anak isteri di dalam rumahtangga. Dan orang
itu pula adalah yang mendapat pimpinan Allah setelah
dia benar-benar suami yang sentiasa berdoa dan memohon
sungguh-sungguh kepada Allah agar Allah membantu dia
dalam mendidik dan menakluki anak isterinya, agar dia
benar-benar dapat menunaikan kewajipan-kewajipan yang
telah diamanahkan Allah swt kepada anak dan isteri.
Dan akan anak dan isteri pula sanggup menerima dengan
lapang dada.

Dalam hal ini tunjuk ajar kita adalah dengan tujuan
agar anak dan isteri kita dapat memiliki iman
orang-orang saleh kerana apabila mereka dapat memiliki
iman ini, mereka juga kelak akan beramal sebagaimana
orang saleh beramal. Dan sekiranya kita tidak berupaya
menunjuk ajar mereka, serahkan kepada tok-tok guru..
Ajak mereka mengaji Fardhu ain sama-sama. Sebab ini
adalah kewajipan kita yang bukan saja tinggal di dunia
saja tetapi akan berkait hingga ke akhirat. Di sana
kita sebagai suami akan ditanya dan akan diungkit lagi
oleh Allah swt.







1