Anda adalah pelawat yang ke:
 

Laman 4

BOLEHKAH ISTERI MENUNTUT HAKNYA?

Assalammualaikum…..

Apabila seorang wanita itu masuk ke gerbang
perkahwinan, terbukalah tujuh pintu syurga dan tujuh
pintu neraka. Ketika itu mereka digelar dengan suami
dan isteri, dan terbebanlah ke atas setiapnya dengan
beberapa hak dan tanggungjawab.

Tanggungjawab sebagai isteri adalah wajib mentaati dan
mengikut perintah suaminya selagi tidak melanggar
syariat. Suami pula wajib menyempurnakan hak isterinya
sama ada lahir mahupun batin dan kalau suami hidup
bermadu mesti adil ke atas semua isterinya. Selagi hak
dan tanggungjawab itu dilaksnakan, syurga telahpun
tersedia untuknya, dan kalau sebaliknya, neraka adalah
lebih layak untuknya.

Tanggungjawab suami adalah memberi nafkah zahir dan
batin seperti mana dalam huraian artikal-artikal yang
lepas (tanggungjawab seorang suami, nafkah batin bukan
sekadar seks, tanggungjawab suami dalam nafkah harta
dan suami yang lalai dalam tanggungjawabnya).

Bagi si isteri pula wajib mentaati suami dalam apa
keadaan sekalipun. Malah si isteri tidak boleh memaksa
suami untuk mengadakan sesuatu yang di luar
kemampuannya. Sekiranya isteri redha menerima apa saja
pemberian suami, dalam pada itu tetap melaksanakan
haknya kepada suami, tidak mengecilkan hati suami,
maka ia tergolong sebagai wanita yang baik.

Sekiranya si suami memang ada harta, tetapi sengaja
membiarkan isteri di dalam kesusahan dan melebihi
isterinya yang lain (tidak adil jika hidup bermadu),
itu dikira suatu penganiayaan. Namun seorang isteri
tidaklah boleh memarahi suami kerana ianya dikira
derhaka. Jalan sebaiknya, berterus-teranglah dengan
suami dan berbincang dari hati ke hati di dalam
suasana baik dan penuh kasih sayang, bukannya dalam
keadaan tegang yang boleh mencetuskan pertengkaran.
Ataupun mintalah orang yang disegani atau yang rapat
dengan suami anda, untuk mengingatkannya akan
kewajipannya itu. Jika tidak berubah juga hendaklah
bersabar dan berdoa dan mengadulah kepada Allah swt,
minta Allah lembutkan hati suami anda. Yakinlah,
setiap diri adalah di dalam kekuasaan Allah dan
Allahlah yang berkuasa mengubah hati seseorang. Jika
perlu, buatlah pengaduan ke pejabat kadi untuk
menyelesaikannya.

Mengenai hak kasih sayang dan hubungan seks, sekiranya
isteri tidak puas, seelok-eloknya berterus-terang
dengan suami, supaya dia dapat memperbaiki diri dan
membuat perubahan. Berbincanglah dengan penuh hikmah
dan terangkan kepada suami bahawa dengan ketidakpuasan
seorang isteri itu akan menimbulkan berbagai-bagai
perkara buruk kepada rumahtangga. Antaranya, apabila
nafsu seks tidak terpenuh, isteri akan mudah berang,
rasa benci pada suami, tidak dapat menguruskan suami
dan rumahtangga, susah untuk senyum dengan suami,
bermasam muka dengan suami dan lain-lain kederhakaan
lagi. Dan sekiranya nafsu itu dapat dipenuhi barulah
isteri berasa ringan dan tenang malah gembira untuk
berkhidmat dengan suami. Ini adalah fitrah semulajadi
perempuan. Dalam syariat juga menyuruh para suami
mempertimbangkan akan hal ini.

Jangan dibentak-bentak suami dan melepaskan geram kita
dengan kata-kata yang boleh menyakitkan dan
menyinggung perasaannya. Cubalah pilih perkataan yang
baik-baik dan terangkan dengan penuh hikmah dan kasih
sayang, insyaAllah mudah-mudahan dia akan sedar,
kerana kadang-kadang ada suami yang tidak faham akan
perasaan perempuan dalam hal ini.

Isteri juga cubalah usahakan dengan sembahyang hajat
dan berdoa selalu serta mengadu kepada Allah agar
membantu puan. Supaya Allah lembutkan hati suami dan
membantunya menuju keredhaan Allah, supaya puan tetap
sabar dan tabah menghadapi setiap ujian yang datang.
Pokoknya biarlah isteri sentiasa di dalam keredhaan
suami, kerana di situlah keredhaan Allah. Sabda
Rasulullah saw:

“Wanita yang mati dalam keredhaan suaminya redha
(tidak marah) padanya, nescaya ia masuk syurga.”

Setiap tindak-tanduk kita semuanya di dalam
pemerhatian Allah, begitu juga hati. Jadi awaslah,
jika terdetik rasa hendak marahkan suami, ingatlah
nikmat-nikmat yang pernah diberikan oleh suami dahulu.
Ingatkanlah segala kebaikannya dan cuba lupakan
kejahatannya. Sekiranya datang rasa tidak puas hati
dengan suami kerana tidak sempurna makan minum,
pakaian, tempat tinggi, kasih sayang dan hubungan seks
atau seumpamanya ingatlah semuanya daripada Allah dan
kita patut menerimanya dengan lapang dada. Namun
begitu berusahalah untuk menyelesaikannya di samping
berdoa mengharap bantuan Allah.

Hanya akhlak yang mulia dapat melunakkan hati yang
keras. Oleh itu sentiasalah berakhlak mulia, seperti
tawadhuk dan merendah diri kepada suami. Anggaplah
segala kesusahan itu sebagai pengajaran dari Allah
terhadap dosa-dosa kita samada dosa terhadap Allah
atau dosa sesama manusia lebih-lebih lagi dosa kepada
suami. InsyaAllah jika isteri itu berakhlak mulia,
lambat-laun hati suami yang keras akan lembut dan
insaf. Berusahalah untuk menjadi seorang wanita yang
baik, beriman, berakhlak dan bertakwa. Sabda
Rasulullah yang bermaksud:

“Sukakah aku beritahu siapakah dan bagaimanakah sifat
isterimu  yang bakal ditempatkan di syurga?”

Jawab para sahabat: “Bahkan kami suka.” Sabda
Rasulullah:

Iaitu tiap-tiap isteri yang bersifat kasih sayang dan
melahirkan banyak anak. Dan apabila dimarahi suaminya
ia menyerah dirinya untuk dihukum sehingga suaminya
redha (memaafkan kesalahannya).”

 MENZIHARKAN ISTERI

Zihar pada segi istilah syarak, ertinya suami yang
menziharkan juzuk tubuh badan isterinya dengan muhram
suami dengan mana-mana anggota lahirnya. Namun
demikian tidaklah sampai jatuh talak sehingga
menyebabkan pasangan suami isteri itu mesti bercerai
tetapi hukuman tetap dikenakan bersabit dengan
kesalahan tersebut. Allah swt telah berfirman yang
maksudnya:

“Orang-orang yang menziharkan isterinya di antara
kamu, (menganggap isteri sebagai ibunya) padahal
tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka
tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan
sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan satu
perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya
Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

“Allah sekali-kali tidak menjadikan di dalam
rongganya, dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu
yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak
menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu
sendiri…….”

Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat
rukun:

1. Suami yang sah.
2. Isteri yang sah (belum tertalak atau isteri yang
sudah tertalak tetapi masih dalam talak raj’I iaitu
isteri yang masih di dalam iddah).
3. Orang yang diziharkan dengan isterinya itu (muhram
suami).
4. Lafaz zihar samada secara terang-terangan atau
sindiran, melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada
orang bisu dengan syarat isyarat itu boleh difahami,

Siapakah muhram suami itu? Ada empat peringkat yang
mana boleh berlaku muhram dengan suami yang melibatkan
jatuhnya hukum zihar iaitu:

Secara nasab atau keturunan

1. Ibu kandung suami.
2. Nenek (opah) kandung suami.
3. Anak saudara perempuan suami termasuklah anak
saudara kakak atau abang suami.
4. Anak saudara perempuan dari pihak isteri. Ia juga
tidak boleh disamakan dengan isterinya walaupun pada
zahirnya suami tidak ada pertalian darah dengannya
tetapi dalam hal ini anak saudara tersebut telah
menjadi muhram sementara kepada suami, sebabnya suami
tidak boleh mengahwininya yakni memadukannya dengan
isterinya selagi hayat isterinya masih ada. Hubungan
muhram ini akan terputus sebaik sahaja suami itu
bercerai hidup atau bercerai mati dengan isteri
tersebut, setelah itu barulah suami itu boleh
berkahwin dengan anak saudara perempuan isteri.
5. Cucu saudara perempuan suami.
6. Adik beradik perempuan suami, ini termasuklah adik
beradik kandung dan adik beradik tirinya samada
sebelah ibu atau bapa sahaja.
7. Ibu saudara suami.
8. Anak kandung suami isteri.
9. Anak suami (anak tiri isteri).
10. Anak isteri (anak tiri suami).

Muhram berambil-ambilan

Muhram boleh berlaku melalui perkahwinan bapa dengan
seorang perempuan. Perempuan yang dimaksudkan itu
ialah ibu tiri. Mana-mana perempuan yang menjadi ibu
tiri kita, dia adalah muhram dan haram dinikahi serta
ditegah menyerupakan isteri dengannya.

Tapi mesti dengan satu syarat, seorang suami itu
mestilah telah mempunyai ibu tiri sebelum dia
dilahirkan ke dunia lagi. Hanya ibu tiri yang ini saja
yang tidak boleh disamakan dengan isterinya.

Muhram secara ridha’ (susuan)

Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan
anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susu
kepada ayah atau ibu suami), kerana semasa ayah atau
ibu suami menyusu kepada ibu susunya, ia belum lahir
ke dunia.

Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota
isteri dengan ibu susuan suami kerana semasa suami
menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke
dunia. begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya
menyamakan isteri dengan adik beradik perempuan
sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan
samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayah
susu.

Ibu mertua

Muhram juga boleh berlaku melalui nikah. Di mana
apabila seseorang lelaki itu menikahi seorang wanita,
ibu isteri telah menjadi ibu mertua suami. Kedudukan
ibu mertua kepada suami adalah seperti ibunya juga.

Kalau seorang suami itu memiliki 2, 3 atau 4 orang
isteri, maka dia telah mempunyai 2, 3 atau 4 orang ibu
mertua. Katakanlah pada suatu hari, suami telah
menceraikan isteri keduanya. Walaupun dia telah
bercerai dengan isterinya tetapi hubungan suami dengan
ibu mertua keduanya tetap kekal selagi hayat masih
ada. Dia telah menjadi muhram kekal. Kedudukan ini
samalah dengan cerai mati.

Perlu diingat, 2, 3 atau 4 orang isteri itu jangan
sekali-kali kita samakan dengan mana-mana ibu mertua
kita yang lainnya kerana ia boleh menjatuhkan zihar
kepada isteri.

Di sini biarlah saya jelaskan mengenai lafaz zihar
terlebih dahulu kerana berapa ramai manusia yang
menanggung dosa zihar berkaitan dengan kecuaian ketika
melafazkan kata-kata kepada isteri.

Adapun lafaz yang membawa kepada zihar ke atas isteri,
amat mudah berlaku. Selalunya di awal perkahwinan
suami suka menatap wajah isteinya, maklumlah baru
berkenalan. Ketika itu semuanya dipandang indah. Tanpa
disedari terkeluarlah kata-kata, “Muka Ayang ni saling
tak tumpah macam muka ibu abang”. Isteri yang jahil
tersenyum bangga menerima pujian suami.

Kadang-kadang tu, bila saja anak perempuannya lahir
tak habis-habislah orang memuji kecantikannya. Hati
ibu mana tidak gembira bila anak dipuji demikian.

Untuk lebih menyakinkan lagi isteri pun sibuklah
bertanya kepada suaminya, “Bang, bang, betulkah rupa
saya ni macam rupa anak kita?’ “Ya”, Jawab suami
ringkas. Sepatah perkataan, “Ya” sudah cukup
menjatuhkan hukum zihar ke atas isteri kerana suami
telah menyerupakan isteri dengan anak kandungnya.

Begitu juga perumpamaan antara isteri dan ibu atau
muhram suami, sedarkah kita bahawa dengan kata-kata
pujian ini boleh menyebabkan dosa besar terhadap suami
kerana telah menyamakan wajah isteri dengan wajah ibu
atau muhramnya.

Punca berlakunya itu kadangkala bermula dari kesalahan
isteri sendiri. Mulut terlalu peramah tanya itu ini
sehinggalah tidak disedari terlafaznya kata-kata zihar
dari suami.

Katakanlah, seorang anak perempuan yang baru lahir ada
saja mewarisi baka ibu dan ayah atau datuk neneknya.
Boleh jadi bibirnya serupa dengan bibir ibunya atau
mukanya seiras dengan muka ibunya. Akibat dari itu
kadang-kadang bila seorang suami melihat isterinya
tercetuslah di hatinya kata-kata: hidung isteri aku
ini macam hidung anaknya.”

Belum jatuh zihar kalau baru terdetik di hati kerana
syarat zihar itu dengan berlafaz. Jadi sebagai suami
kenalah berhati-hati bila melihat tubuh isteri.
Sekiranya ada yang serupa dengan ibunya atau ibu
saudaranya atau dengan anak perempuannya mahupun
lain-lain muhram suami, jangan sekali-kali dilafazkan
dengan mulut.

Kalau hati membenarkannya biarkan ia tersimpan di
hati. Kalau dilafazkan maka akan berlakulah zihar ke
atas isterinya dan lafaz yang seperti ini adalah lafaz
yang nyata.

Erti zihar itu ialah kata-kata yang menyerupakan
seluruh anggota badan isterinya dengan anggota badan
orang-orang yang muhram suami, seperti mulut, mata,
kepala, hidung, telinga, bibir, muka, tangan, perut,
pusat, kaki dan sebagainya.

Anggota-anggota yang menjadi perhiasan seperti rambut,
bulu ketiak dan sebagainya termasuk anggota batin
seperti jantung, hati, akal, air mata, air liur, peluh
dan sebagainya, kalau disebut, ia tidak termasuk dalam
lafaz zihar.

Demikianlah perkara-perkara yang menjadi syarat-syarat
atau rukun dalam menjatuhkan hukum zihar ke atas
seorang isteri. Oleh itu, suami hendaklah berhati
sungguh-sungguh dalam hal ini kerana apabila isteri
telah terzihar, perbuatan itu adalah satu kesalahan,
satu dosa dan kemungkaran.

Kalau tidak disedari, akan membawa kepada kerosakan
dan kecelakaan rumahtangga. Dari dosa yang satu itu,
ia akan membabitkan lain-lain dosa hinggakan apabila
dosa-dosa itu berpanjangan, rumahtangga boleh porak
peranda. Tidak ada keberkatan dan tidak ada rahmat
daripada Allah swt. Akibatnya, kalau sampai mati tidak
kita sedari, masuk nerakalah kita.

Suami yang telah menziharkan isteri itu di samping
melakukan dosa dan kemungkaran, suami adalah dilarang
oleh Allah swt mencampuri gauli isterinya. Kalau
sekiranya suami tidak menyedari tentang telah
berlakunya zihar, suami pun menggauli atau mensetubuhi
isterinya, suami telah melakukan satu perbuatan dosa
kerana melanggar larangan Allah swt. Inilah yang
dikatakan dosa yang bersambung-sambung.

Kerana itu, apakah yang mesti dibuat oleh seseorang
itu sekiranya dia telah menziharkan isterinya? Apakah
caranya hendak rujuk kembali daripada perbuatan itu.
Firman Allah swt yang bermaksud:

“orang-orang yang telah menziharkan isteri mereka dan
kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka
ucapkan itu, maka (wajib atasnya) memerdekakan seorang
budak sebelum kedua suami isteri itu bercampur.
Demikianlah yang diajarkan kepada kamu dan Allah Maha
mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Dan di dalam firman yang berikutnya, Allah berkata
lagi:

“Barangsiapa yang tidak mendapat budak (hamba) untuk
dimerdekakan, maka wajiblah atasnya (suami) berpuasa
dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur.
Maka siapa yang tidak kuasa, Wajiblah atasnya memberi
makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman
kepada Allah dan Rasulnya. Dan itulah hukum-hukum
Allah dan orang-orang kafir ada baginya
siksaan-sikaaan yang amat pedih.”

Melalui ayat di atas dapatlah difahami turutan denda
yang dikenakan. Untuk membayar denda tersebut, suami
itu tidak boleh memilih mana-mana yang dia suka.

Katalah dirasakannya mudah untuk membeli beras
mengikut kadar yang telah ditetapkan. Cara ini adalah
salah, sebaliknya setiap yang bersalah mestilah
mengikut susunan denda yang ditetapkan oleh Allah.

Syarat yang pertama sekali, memerdekakan seorang budak
atau hamba. Syarat ini sudah tentulah tidak boleh
dilakukan pada hari ini kerana perbudakan atau
perhambaan sudah tidak ada lagi. Dengan sendirinya
syarat pertama ini menjadi mansuh. Maka seorang suami
itu mestilah menjalani syarat yang kedua.

Syarat yang kedua pula iaitu dia mestilah berpuasa
selama dua bulan berturut-turut. Sebelum dia
menghabiskan puasa dua bulan berturut-turut ini, dia
belum boleh menggauli atau mensetubuhi isterinya.

Tidak boleh puasa itu tertinggal walau satu hari pun
dalam turutan 60 hari itu. Misalnya kalau di hari yang
ke 57 iaitu suami diserang sakit, lalu tidak berpuasa,
dia wajib mengulangi kembali puasanya dari awalnya.
Puasanya yang sebelum itu dikira batal dan dia mesti
mengulang kembali puasa itu bertolak dari mula.

Kalau dia berpuasa juga hingga boleh memudaratkan
kesihatan diri (termasuk juga memudaratkan diri dengan
menanggung bersangatan nafsu syahwat) maka bolehlah
dia beralih kepada syarat ketiga.

Syarat yang ketiga pula iaitu membayar 60 cupak beras
kepada 60 orang fakir miskin yang layak menerima zakat
fitrah. Jika tidak mampu memberi sekaligus, bolehlah
diansur-ansurkan. Misalnya, hari ini dia keluarkan
lima cupak beras untuk lima orang fakir miskin. Hari
akan datang dia beri lagi sepuluh cupak kepada sepuluh
orang fakir miskin lain. Begitulah keadaannya sehingga
selesai tuntutan tersebut. Setelah tamat segala
pembayaran maka barulah boleh digauli isteri seperti
biasa.

Nanti ada pula orang yang akan berkata, kalau hukuman
sudah terlalu berat hingga tidak dapat hendak
dilaksanakan, maka lebih baiklah ceraikan saja isteri
itu. Allah amat murka kalau suami menceraikan
isterinya sebagai mengambil jalan singkat untuk
menggantikan hukuman denda yang mesti dibayar itu.

Allah sekali-kali tidak membenarkan demikian, kerana
penceraian yang Allah galakkan atau yang Allah
redhakan ialah perceraian yang wajib atau sunat,
seperti dalam bab perceraian yang akan saya huraikan
sedikit masa lagi dan akan dimuatkan ke dalam ruangan
ini nanti. Sudahlah dosa pertama tidak ditebus
ditambah pula dengan dosa menceraikan isteri.

Tidak gugur hukum kifarah zihar walaupun suami
menceraikan isterinya dengan talak satu (dengan
harapan agar dapat rujuk kembali). Kalau dirujuk
kembali setelah tamat iddahnya maka jadilah pergaulan
keduanya sebagai zina. Berlipat gandalah dosa yang
dilakukan selagi denda yang pertama belum dijelaskan.

Hukum zihar tidak akan berlaku, sekiranya isteri yang
menziharkan suami. Misalnya, isteri yang melafazkan,
muka abang macam muka ibu atau lain-lain lafaz yang
menyerupakan suami dengan lain-lain yang menjadi
muhramnya.

Akhir kata dari saya di dalam kita membina rumahtangga
bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam
mengeluarkan kata-kata. Isteri jangan suka bertanya
itu dan ini mengenai peribadinya jikalau ada persamaan
dengan ahli keluarga suami atau muhram suami. Bimbang
kalau suami terlepas cakap mengakibatkan jatuhnya
hukuman zihar. kadang-kadang kerana kelancaran mulut
isteri, suami pula yang menjadi mangsanya.


 

ZIHAR DARI KITAB FURU’UL MASAIL

Di atas permintaan ramai, tajuk ini saya ketengahkan
sekali lagi kerana ramai pembaca yang kurang jelas
dengan huraian bab zihar saya semalam. Kali ini
dibicarakan secara yang lebih jelas dan tepat untuk
panduan umum agar kita terselamat dari melakukan
zihar. Kitab yang saya gunakan ini adalah dari kitab
FURU’UL MASAIL. Moga-moga segala ilmu yang dipelajari
ini dapat difahami dan dihayati sungguh-sungguh.

Zihar pada segi bahasa ertinya bahagian-bahagian
belakang tubuh badan hingga ke belikat. Di situlah
segala bebanan ditanggung oleh manusia. Pada segi
istilah syarak, ertinya suami yang telah menyerupakan
juzuk tubuh badan isteri dengan muhram suami dengan
mana-mana anggota lahirnya.

Allah swt sangat melarang keras bagi suami yang
menyamakan isteri mereka dengan muhramnya sebab isteri
bukanlah orang yang melahirkan mereka sebaliknya si
isteri itu adalah orang yang melahirkan anak-anak
mereka. Sesiapa yang telah melakukan zihar
sesungguhnya telah melakukan pengkhianatan terhadap
rumahtangganya.

Allah swt telah berfirman yang maksudnya:

“Orang-orang yang menzihar isteri di antara kamu,
(menganggap isteri sebagai ibunya) padahal tiadalah
isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak
lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan
sesungguhnya perkataan yang mungkar dan dusta. Dan
sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”
Surah Mujadalah:2

“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua
hati di dalam rongganya, dan Dia tidak menjadikan
isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan
Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak
kandungmu sendiri….” Surah Al Ahzab: 4

Menurut adat kebiasaan Arab jahiliah apabila si suami
menziharkan isterinya maka tercerailah suami isteri
itu dan tidak boleh bersama kembali (tidak boleh
rujuk) buat selama-lamanya. Tetapi setelah datangnya
Islam maka amalan ini dihapuskan yang mana zihar tidak
sampai bercerai suami isteri tetapi dilarang pergaulan
(jimak) suami isteri sehingga suami membayar kifarah.

Contoh perkataan yang boleh terjatuhnya hukum zihar
ialah, seperti kata suami kepada isterinya:

“Jari awak yang runcing ni saling tak tumpah macam
jari mak abang tu.”

“Muka ayang ni macam muka Siti Nurhaliza, cucu kita
anak si Mohd Ghazali tu.”

Tidak jatuh hukum zihar kalau suami menyamakan
muhramnya dengan isteri. Begitu juga halnya kalau
disamakan dengan rambut, kuku, air mata, air susu,
gigi, air liur atau peluh kerana ia adalah lebihan
anggota badan.

Jatuhnya hukum zihar itu apabila telah memenuhi empat
rukun iaitu:

1. Suami yang sah
2. Isteri yang sah
3. Orang yang diserupakan dengan isteri (muhram
suami).
4. Lafaz samada secara terang-terangan atau sindiran
melalui tulisan atau bahasa isyarat kepada orang bisu
dengan syarat isyarat itu boleh difahami.

Sila ambil perhatian, siapakah muhram suami itu? Hanya
ada tiga golongan sahaja muhram suami yang melibatkan
jatuhnya hukum zihar iaitu:

Sebab keturunan

a. Ibu kandung.
b. Anak perempuan.
c. Adik-adik beradik perempuan suami samada seibu
sebapa, seibu atau sebapa;
d. Nenek kandung hingga ke atas
e. Anak saudara perempuan iaitu anak kepada adik
beradik lelaki atau perempuan suami yang seibu sebapa,
seibu atau sebapa;
f. Nenek saudara seibu sebapa. Seibu atau sebapa
g. Cucu-cucu perempuan samada dari anak lelaki atau
perempuan hingga ke bawah.

Muhram berambil-ambilan

Hanya ibu tiri sahaja yang tidak boleh disamakan
dengan isteri. Masalah ini terbahagi dua, ayah kita
kahwin dua (emak kita bermadu) tapi semasa itu kita
belum lahir lagi ke dunia. Contohnya, ketika itu kita
masih di dalam kandungan ibu, ayah kita kahwin seorang
lagi. Lahir-lahir sahaja ke dunia, ibu tiri telah
menjadi ahli keluarga kita. Maka hanya ibu tiri ini
sahajalah yang tidak boleh disamakan dengan isteri.
Seindainya ayah berkahwin lagi sewaktu kita sudah
pandai merangkak maka tidak jatuh hukum zihar
disamakan si isteri dengan ibu tiri tersebut.

Perlu diingat bahawa anak perempuan tiri, menantu
perempuan atau ibu mertua tidak akan jatuh zihar jika
isteri disamakan dengan mereka sebab muhramnya datang
kemudian.

Ibu susu ramai terdapat di kalangan bangsa Arab dan
jarang sekali berlaku di dalam bangsa kita. Amalan ini
elok dilaksanakan, ianya bertujuan untuk menyihatkan
akal fikiran dan pertumbuhan si anak.

Seelok-eloknya carilah dua tiga orang ibu susuan
sepertimana Rasulullah saw. Baginda telah disusukan
oleh Halimatun Saadiah dan Thuwaibatul Islamiah.

Pendapat ulama Syafie, seseorang anak itu boleh
dijadikan anak susu selagi usianya belum dua tahun
dengan syarat lima kali kenyang. Tanda anak itu
kenyang bila dia terlena dan melepaskan hisapan dari
ibu susunya. Jika suami menghisap susu isteri, suami
tidak akan menjadi orang sesusuan.

Muhram secara ridha’ (susuan)

Berlakunya hukum zihar apabila suami menyamakan
anggota lahir isteri dengan nenek susuan (ibu susu
kepada ayah atau ibu si suami). kerana semasa ayah
atau ibu si suami menyusu kepada ibu susuannya, ia
belum lahir ke dunia.

Tidak berlaku zihar jika suami menyamakan anggota
isteri dengan ibu susuan si suami kerana semasa suami
menyusu dengan ibu susuannya, suami itu sudah lahir ke
dunia. Begitu juga tidak jatuh zihar sekiranya
menyamakan si isteri dengan adik beradik perempuan
sesusuan, anak saudara sesusuan, ibu saudara sesusuan
samada keluarga dari sebelah ibu susu ataupun ayah
susu.

Lengkaplah hukum zihar apabila telah memenuhi rukun
yang keempat iaitu lafaz atau sighah. Lafaz ini
mengandungi tiga bahagian iaitu:

1. Perkataan yang nyata ataupun secara sindiran
(kinayah). Kalau berlaku secara sindiran ianya
berkehendakkan niat. Sekiranya ada niat untuk
menyamakan isteri dengan muhram suami maka barulah
jatuh hukum zihar.
2. Tulisan (surat) Contohnya: “Menemui adinda yang
dikasihi, sepanjang permusafiran ini yang entah bila
pulangnya ini, abang selalu terkenangkan adinda. Wajah
adinda saling tak tumpah macam rupa anakanda Siti
Khadijah…..” Secara automatik jatuhlah hukum zihar
kerana si isteri telah disamakan dengan anak perempuan
mereka.
3. Isyarat ditujukan kepada orang bisu dengan syarat
ianya boleh difahami.

Denda zihar pula sama seperti huraian dalam bab zihar
saya semalam, cuba pembaca fahami turutan denda yang
saya tuliskan dan laksanakan kalau pembaca ada
melakukan zihar ke atas isteri saudara.

Akhir kata dari saya, di dalam membina rumahtangga
bahagia, suami isteri mestilah berhati-hati di dalam
mengeluarkan kata-kata. Si isteri jangan suka bertanya
itu dan ini mengaenai peribadinya jikalau ada
persamaan dengan ahli keluarga suami. Bimbang kalau si
suami jahil dalam bab ini atau terlepas cakap
mengakibatkan jatuhnya hukum zihar. Kadang-kadang
kerana peramahnya mulut isteri, suami pula yang
menjadi mangsanya.
 


 

MENGAPA HILANG BAHAGIA DENGAN POLIGAMI

Assalammualaikum…..

Saya merasa terpanggil untuk memberi serba sedikit
pandangan atau pendapat di dalam ruang ini,
memandangkan terlalu ramai yang telah memberi hujah
mengenai bab poligami ini. Ada diantaranya yang
sanggup memberi hujah tanpa disedari hujahnya itu
terlalu mengikut kata nafsunya sendiri dan bukan
mengikut kata syariat lagi. Hujah-hujah yang mengikut
kata nafsu yang tidak dipimpin oleh iman ini, tanpa
disedari atau tidak, dia boleh termasuk antara
golongan orang-orang yang menentang hukum atau
ketentuan Allah swt.

Ingat, setiap apa perbuatan kita baik lahir dari hati,
percakapan atau penulisan kita, semuanya nanti akan
Allah swt. hisab di akhirat. Semua lakonan kita di
dunia ini nanti akan Allah swt pertontonkan semula.
Apakah kita sanggup nanti dicampak ke dalam neraka
akibat kelemahan nafsu kita yang tidak setuju dengan
poligami ini?

Soal poligami adalah soal yang sensitif pada golongan
kaum wanita umumnya. bermacam-macam hujah dikeluarkan
oleh meraka yang tidak bersetuju dengan poligami ini,
kalau nafsunya tidak ditunduk atau dipimpin oleh
kesedaran iman.

InsyaAllah, moga-moga Allah izinkan saya menjawab
beberapa soalan atau hujah-hujah kaum wanita yang
tidak berapa setuju dengan poligami ini. Untuk memudah
pemahaman ini saya akan membuat beberapa soalan
kembali dari kebanyakan wanita yang telah bersuami
yang meminta pandangan dari saya sebelum ini.

Soalan: Kenapa kebanyakan lelaki suka berkahwin lebih
dari satu?

Jawapan: Itukan bagus? Para isteri berpeluang
menghadiahkan kepada suami mereka sesuatu yang paling
berharga.

Soalan: Tidak mungkin begitu. Sanggupkah seorang
lelaki menghadiahkan kepada isterinya seorang lelaki
lain sebagai suami kedua?

Jawapan: Itu tidak mungkin, sebab syariat tidak
membenarkan. Sebaliknya syariat membenarkan seorang
lelaki berkahwin lebih dari satu.

Soalan: Kenapa begitu? Bukankah dari segi perasaan
lelaki dan wanita sama sahaja. Kalau seorang lelaki
tidak rela isterinya menduakannya, maka wanita juga
tidak rela suaminya menduakannya. Apa syariat tidak
menimbangkan soal ini?

Jawapan: Ya, di segi perasaan lelaki dan wanita adalah
serupa tetapi tidak serupa kemampuan dan
tanggungjawab. Oleh itu tidak semua perkara yang
dibolehkan pada lelaki, boleh juga pada wanita.
Contohnya tentang poligami, perempuan tidak dibolehkan
kerana seandainya dia mengandung, anak itu hendak
dibinkan suami yang mana? Kesan dari itu macam-macam
risiko yang terpaksa ditanggung oleh anak itu, ibu
ayah, datuk nenek dan saudara mara yang terlibat.
Kepada siapa pula anak itu dipertanggungjawabkan?

Hal ini tidak berlaku kalau lelaki yang berpoligami.
Anak-anak yang lahir dari isteri-isterinya semuanya
adalah tanggungjawab suami. Kalau isterinya empat
orang, anaknya pula 30 orang, maka semuanya mesti
dibiayai oleh suami tersebut. Itu merupakan salah satu
sebab kenapa poligami tidak dibenarkan pada perempuan.
tetapi lelaki dibolehkan dengan syarat dia
bertanggungjawab melindungi dan menanggungi semua yang
terlibat. Itulah keadilan syariat.

Jika wanita terpaksa berdepan dengan kesusahan kerana
poligami, lelaki pula begitu juga. Wanita susah
perasaannya, lelaki susah tanggungjawapnya.

Soalan: Seandainya saya jadi suami, saya rasa tidak
tergamak hendak menduakan isteri. Tetapi kenapa dia
sampai hati untuk berbuat begitu?

Jawapan: Saudari tidak boleh menyamakan jiwa lelaki
dengan jiwa wanita. Jauh bezanya watak hati antara dua
makhluk yang berlainan jenis itu. Syariat membenarkan
poligami kerana lelaki mempunyai jiwa dan fizikal yang
layak untuk itu, untuk tujuan-tujuan yang besar pula.
Tetapi perempuan tidak dijadikan untuk tugas ini.
Antara kepentingan poligami ialah:
1. Meramaikan zuriat.
2. Membela yang janda, andartu dan lebihan wanita.
3. Menyelesaikan masalah suami sewaktu isterinya
mengandung, bersalin dan lain-lain keuzuran.

Soalan: Bukankah ikatan suami-isteri diasaskan atas
faktor itu?

Jawapan: Ya, tetapi bukan semata-mata itu. Saudari
perlu imbangkan kehendak-kehendak nafsu ini dengan
kemahuan-kemahuan akal fikiran, jiwa serta
keperluan-keperluan kemanusiaan orang-orang selain
saudari.

Soalan: Apa maksud saudara?

Jawapan: Akal saudari tentu bersetuju dengan
kepentingan-kepentingan atau faedah-faedah poligami.
Hati saudari pasti bersempati dengan kaum sejenis yang
tidak ada suami atau wanita tersebut belum berkahwin
lagi. Betapa orang lain selain saudari mengharapkan
agar saudari merelakan suami saudari berkahwin lagi.
Bahkan saudari sendiri sepatutnya merasa terhutang
budi kepada suami saudari kerana mengahwini serta
melindungi dan menyediakan rumah dan keperluan
saudari. Atas pengorbanannya itu adalah tidak wajar
seandainya saudari tidak membenarkan permintaannya
untuk berkahwin lagi.

Soalan: Saya tetap merasakan bahawa setiap wanita
tidak bersetuju dengan poligami. Kami hilang bahagia
kerana poligami.

Jawapan: Manusia hilang bahagia bukan kerana poligami.
Berapa ramai orang yang tidak terlibat dengan poligami
pun “frust” selalu, yang ramai bunuh diri itu, bukan
sebab poligami, tetapi tak lain tak bukan kerana iman
lemah.

Siapa juga yang tidak kuat iman, akan hilang bahagia
dengan segala bentuk ujian. Ujian tidak lulus periksa,
tunang diambil orang, kematian orang yang dikasihi,
suami berkahwin lagi dan lain-lain.

Soalan: Saudara menganggap saya tidak beriman?

Jawapan: bukan begitu. Bukti iman seseorang ialah dia
redha dengan takdir yang Allah tentukan padanya. Dia
tidak keluh kesah. Tidak menderita. Iman membuatkan
seseorang boleh tenang dalam ujian. tenang walaupun
suaminya berkahwin lagi.

Soalan: Saudara menyuruh saya melawan fitrah
kewanitaan saya, sedangkan kehendak fitrah adalah
suatu tuntutan yang murni, yang patut dibenarkan?

Jawapan: Menderita kerana suami berkahwin lagi bukan
rasa fitrah. Itu adalah nafsu, sebab poligami bukan
mengambil seluruh keperluan-keperluan batiniah wanita
(ertinya tidak menafikan keperluan fitrah). Ia hanya
meminta wanita mengorbankan sebahagian kenikmatan itu
untuk kaum sejenisnya yang juga memerlukan nikmat itu.

Soalan: Tapi perasaan ini sangat menguasai saya,
menentukan tenang tidaknya hidup saya?

Jawapan: Memang nafsu itu boleh membuatkan seseorang
masuk neraka dunia dan akhirat. Bukankah Allah dan
Rasul telah memberitahu tentang ini.

“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada
kejahatan.”

Sabda Rasul lagi ertinya,

“Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang
terletak antara dua lambung engkau.”
Barangsiapa yang mengikut kata nafsu hingga lupakan
Allah, maka lihatlah apa akibatnya. Allah berfirman:

“Barang siapa berpaling daripada mengingati aku maka
baginya ialah kehidupan yang sempit.”

Soalan: Bagaimana saya boleh melepaskan diri dari
belenggu nafsu ini?

Jawapan: Nafsu hanya boleh ditunduk dengan api neraka.
Maksudnya sewaktu nafsu memujuk kita agar berlaku
engkar dengan Allah, maka kita katakan padanya, “Wahai
nafsu, kata-kata engkau ini boleh menyelamatkan aku,
tetapi  akan membawa aku ke neraka. janganlah engkau
hendak memperdayakan aku.” Saudari percaya pada
neraka?

Percaya, tapi tidak begitu memikirkannya.

Jawapan: Kerana hati dan fikiran kita sentiasa
memikirkan hal-hal keduniaan. Itulah dia nafsu. Dia
telah berjaya menguasai sepenuhnya lahir batin
saudari, sedangkan wanita beriman, hati dan fikirannya
banyak memikirkan nasibnya di akhirat.

Soalan: Apa faedahnya kita memikirkan sangat tentang
akhirat?

Jawapan: Supaya kita dapat berkorban sebanyak mungkin
di dunia ini, untuk mendapat sebanyak-banyaknya
keuntungan di akhirat. Contohnya saudari dapat
korbankan harta benda di jalan Allah agar ianya
menjadi simpanan di akhirat, sedangkan wang itu jika
tidak dikorbankan ia akan habis di dunia sahaja.
Begitu juga saudari dapat berkorban untuk suami dengan
membenarkan dia berkahwin, demi merebut janji Allah di
akhirat. Walhal jika saudari “control” dia, dia pasti
akan mati juga dan saudari tidak mendapat apa-apa di
akhirat. Mengapa saudari mesti melepaskan peluang ini?

Tetapi pengorbanan ini rasanya terlalu berat untuk
saya.

Jawapan: Kerana saudari tidak nampak (dengan hati)
syurga di akhirat. Kalaulah saudari melihat syurga
maka harga suami ataupun dunia ini keseluruhannya
sudah menjadi kecil sekali. Dan saudari tidak merasa
berat lagi untuk berkorban. Saudari pernah belajar di
universiti?

Pernah

Jawapan: Mudahkah untuk memasuki universiti dan untuk
lulus di universiti? Tidak bukan? Saudari terpaksa
berkorban bertahun-tahun tanpa rehat, tanpa berhibur,
kurang tidur, berjaga malam dan kurang makan. Masa
penuh dengan berfikir, mengkaji, menghafal, merujuk,
menulis, membaca, mengira dan bermacam-macam lagi.
Semua kesusahan itu saudari menanggungnya dengan rela,
demi mengharapkan kejayaan. Dari kejayaan itu saudari
mengharapkan syurga dunia. Syurga sementara. Syurga
yang pasti ditinggalkan.

Begitulah juga dengan orang lain, bersusah-susah dalam
hidupnya demi mendapatkan kemewahan duniawi. Nelayan
rela mengharungi laut untuk hidup. Sekarang cuba
saudari paksa diri untuk menanggung beban kesusahan
duniawi demi untuk mendapatkan syurga akhirat yang
kekal abadi. Kalau betul saudari beriman dengannya.

Hanya setakat ini dahulu, semoga pandangan atau
pendapat saya ini dapat membetulkan beberapa kesilapan
yang selama ini kurang disedari oleh pihak-pihak yang
memandang soal poligami terlalu negative atau
sebagainya. Moga-moga pandangan atau pendapat saya ini
menambah pemahaman dan ilmu anda semua dan anggaplah
yang benar itu datangnya dari Allah swt dan
sama-samalah kita menerimanya dan yang tidak benar itu
anggaplah ianya dari kelemahan saya sendiri dan
selepas ini jangan anda lupa membaca bab Poligami
Adakah Cinta Nafsu.
 


 

JALAN PENYELESAIAN MASALAH ANDARTU

Sudah menjadi sunnatullah, setiap makhluk yang Allah
jadikan itu hidup berpasangan-pasangan. Adam dijadikan
berpasangan dengan Hawa, haiwan yang jantan
berpasangan dengan yang betina, bunga jantan dengan
bunga betina, demi untuk mengembang-biak keturunan
masing-masing di muka bumi Allah ini. Allah swt
berfirman yang bermaksud:

“Allah menjadikan isteri untukmu dari jenismu jua, dan
kemudian dijadikannya dari isterimu itu anak atau cucu
dan diberikannya kamu rezeki dari yang baik-baik.”
Firman Allah lagi,
“Dan berkembang-biaklah dari keduanya lelaki dan
perempuan yang banyak sekali.”

Perempuan akan menderita jika masih belum berpasangan
sedangkan usia sudah semakin lanjut. Apatah lagi jika
menerima gelaran “andartu” atau anak dara tua. Mereka
tidak rela menerima gelaran itu.

Menurut laporan setakat ini seramai lebih kurang
600,000 wanita berusia antara 30 hingga 34 tahun yang
masih belum berkahwin. Ini tidak termasuk wanita yang
berstatus janda. Masalah andartu mesti diselesaikan
segera kerana ia boleh menjejaskan kestabilan
masyarakat dengan timbulnya masalah sosio-ekonomi.
Tambahan pula, masalah andartu boleh menjerumuskan
kaum wanita ke lembah maksiat.

Sebenarnya, tidak ada perempuan yang sanggup digelar
andartu. Masalah andartu bukanlah masalah peribadi
bagi mereka yang terlibat sahaja, tetapi ia adalah
masalah bersama. Ia adalah masalah masyarakat, masalah
ummah. Kita mestilah mengkaji dan mencari
langkah-langkah praktikal untuk mengatasinya. Tidak
sewajarnya kita hanya menggelar, mengejek dan
menghina, tetapi eloklah ditinjau akar-umbi masalah
mereka sekaligus selesaikan masalah itu jika mampu.

Terlalu banyak faktor yang menyebabkan wanita yang
menjadi andartu. Antara golongan wanita yang tidak
kahwin adalah perempuan-perempuan kota yang intelek
dan mempunyai status yang tinggi. Golongan wanita
intelektual ini telah ditempatkan pada kedudukan yang
tinggi dalam masyarakat. Kadangkala sebagai boss di
pejabat, pegawai eksekutif, peguam, doktor dan
lain-lain jawatan yang dulunya dipegang oleh kaum
lelaki. Walaupun pada zahirnya kelihatan mereka
mempunyai banyak keistimewaan kerana kedudukan yang
tinggi itu, tetapi hidup mereka sedikit demi sedikit
mula terasing. Pergaulan mereka terbatas di kalangan
orang-orang atasan sahaja.

Wanita-wanita “istimewa” ini berharap mereka akan
bertemu jodoh dengan lelaki golongan atasan juga.
Malangnya ini tidak berlaku. Wanita yang berkedudukan
tinggi selalunya mudah ditimpa penyakit ego dan suka
memerintah. Keterbiasaan mereka memerintah orang-orang
bawahan memungkinkan mereka bersifat yang sama dengan
suami. Ini yang menyebabkan lelaki takut untuk
beristerikan wanita yang berkedudukan tinggi. Dan
gadis-gadis kampung atau gadis-gadis bandar yang
sederhana lebih menjadi idaman lelaki status tinggi.

Wanita yang berprofesion menyayangi kerjayanya lebih
daripada untuk mendirikan rumahtangga. Mereka takut
terkongkong, terbantut kareer. bagi mereka, kononnya
beban kerja lebih ringan daripada bebanan rumahtangga.

Protokol kerja dan protokol belajar juga menyekat
wanita dari berkahwin di usia muda. Contohnya, seorang
paramugari yang berumahtangga tidak dibenarkan bekerja
di atas kapalterbang. maklumlah, selepas kahwin badan
sudah hilang potongannya, mengandung pula, hendak
fikir anak dan suami.

Oleh itu, kerana wanita sekarang suka pekerjaan yang
mencabar, mereka lebih suka menangguhkan perkahwinan
hingga lewat usia.

Masalah andartu juga kadang-kadang berpunca dari sikap
ibu bapa. Ada ibu bapa yang bersikap memandang bulu
dalam soal memilih menantu ini. mereka rela anak dara
mereka terperap di rumah dari bersuamikan lelaki yang
tidak sama darjat dan keturunan serta berjawatan
tinggi. Kononnya takut status jatuh atau takut anak
teraniaya.

Kadang-kadang sikap “pilih bulu” ini datang daripada
orang perempuan sendiri. Mereka menjadi terlalu
pemilih disebabkan sikap kebanyakan kaum lelaki yang
ada pada hari ini. Kehidupan seharian orang lelaki
moden yang suka berpoya-poya, curang, akhlak buruk,
tidak bertanggungjawab, menyebabkan kaum wanita
berfikir beratus-ratus kali sebelum mengambil
keputusan untuk berkahwin. Apakah bakal suaminya itu
setia? Apakah dia bertanggungjawab? Apakah dia
penyayang? Keraguan-keraguan ini akhirnya mendorong
wanita bersikap pesimis atau “tawar hati” untuk
berkahwin.

Sukar hendak cari lelaki bertanggungjawab lebih-lebih
lagi yang kuat beragama zaman ini. Justeru itulah
wanita sanggup bergelar andartu daripada tersilap
pilih, agar tidak menyesal di kemudian hari. Cuma yang
kita takuti, pilih punya pilih terpilih punggung
cawan!

Ada juga wanita yang tidak mahu berkahwin kerana
pernah melalui satu peristiwa pahit dalam hidupnya,
yang menyebabkan dia serik untuk menempuh alam
rumahtangga. kisah cerai-berai, pertengkaran dan
penganiayaan dalam rumahtangga yang terjadi di sekitar
hidup mereka selalunya menimbulkan kesan yang sangat
mendalam dalam jiwa kaum wanita, hingga boleh
menyebabkan dia tawar hati untuk berkahwin. Dan ada
juga yang tidak mahu kahwin kerana putus cinta
(frust).

Yang belajar dengan pinjaman dan biasiswa terikat pula
dengan protokol perjanjian belajar. Mereka tidak boleh
kahwin selagi belum tamat belajar. Masalah ini
melibatkan pelajar-pelajar yang belajar di luar
negeri. Sedangkan dalam masa yang sama,
pengaruh-pengaruh negatif, lucah dan merangsang nafsu
terpaksa mereka hadapi. Cara hidup barat yang lepas
bebas mencabar sifat fitrah manusia yang inginkan
perkahwinan. tapi apakan daya pintu perkahwinan secara
halal dan terhormat disekat.

Oleh itu, sebagai jalan keluar, ada yang sanggup
bersekedudukan, berzina, semata-mata untuk melayan
nafsu. kalau ikut hukum Islam, mereka yang tidak mampu
melawan nafsu seks wajib berumahtangga jika dikhuatiri
akan terlibat dengan zina dan pergaulan bebas. tetapi,
perkahwinan yang halal dilarang, buat maksiat tidak
apa. Hadis Nabi saw yang bermaksud:

“Tidak ada suatu dosa di sisi Allah sesudah syirik
yang lebih besar daripada seorang leki-laki yang
menumpahkan maninya ke dalam rahim (perempuan) yang
tidak halal baginya.”

Seperkara lagi yang menggalakkan pertambahan bilangan
andartu dalam masyarakat hari ini adalah belanja
kahwin yang tinggi. belanja kahwin ini turun naik
macam turun naiknya harga barang. Apakah nilai anak
perempuan sanggup kita samakan dengan harga barang?

Kalau harga getah, kelapa sawit, koko naik, belanja
kahwin juga turut naik. Apakah nilai perkahwinan itu
sudah jadi seperti jual beli barang? Belanja kahwin
seorang perempuan yang berpelajaran tinggi misalnya
meningkat menjadi RM8,000.00. kalau yang kerja kampung
RM4,000.00. Ada ibu bapa yang menuntut begitu. Kalau
yang berjawatan dan bergaji besar, lagi tinggilah
hantaranya? Ini semua menghalang wanita daripada
kahwin cepat.

Persoalan andartu ini sebenarnya adalah salah satu
faktor yang menyebabkan perkembangan maksiat dalam
masyarakat. Iaitu akibat dari menyusah-nyusahkan
perkahwinan yang halal. Bila saluran yang halal di
sisi Allah swt disekat, timbulah berbagai-bagai krisis
dalam masyarakat dan menggalakkan perkara-perkara yang
mendorong pelepasan nafsu seks secara haram.

Kalau semua pihak ikut panduan syariat Islam, tidak
dicampur budaya Melayu yang bidaah, perkahwinan akan
jadi mudah. Tidak akan timbul “jalan belakang” untuk
menyelesaikan runtunan hawa nafsu yang tidak dapat
tidak mesti ada dalam diri manusia. Hanya manusia yang
beriman sahaja dapat menyalurkan nafsunya secara yang
diredhai Allah, selamat, bahagia, dunia dan akhirat.

Tanpa iman, jalan-jalan yang haram akan terus
ditempuh, akan lahirlah anak-anak zina yang merosakkan
salasilah keturunan. Hubungan keturunan dan pertalian
darah sudah tidak suci lagi. Sebab itu generasi yang
lahir susah untuk dididik dan dilembutkan hatinya
untuk menerima kebenaran.

Begitulah tenatnya masalah andartu ini jika tidak cuba
diselesaikan atau cuba diselesaikan tetapi tidak
mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Allah swt. namun,
masih ada pihak-pihak yang menganggap masalah andartu
ini remeh-temeh dan tidak perlu diambil perhatian
berat. Kalau sebut bab poligami kita cepat melenting.
Pada hakikat sebenarnya ia boleh menggugat kestabilan
negara. Bila masyarakat rosak, keselamatan akan
tergugat dan ini akan menyebabkan pelaburan asing
berkurangan, kedudukan ekonomi tergugat. Tetapi yang
paling penting adalah kutukan Allah swt. Sabda
Rasulullah saw:

“Wanita adalah tiang negara, bila ia baik, baiklah
negara. Dan bila ia rosak, maka rosak pula negara.”

Justeru itu, penyelesaian yang utama untuk
menyelesaikan masalah andartu ini adalah dengan
mengatur perkahwinan mengikut syariat tanpa
menyusahkan mana-mana pihak. Sabda Nabi Besar saw yang
diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim:

“Hai golongan pemuda, barangsiapa di antara kamu telah
sanggup kahwin maka kahwinlah, kerana berkahwin itu
lebih menundukkan mata dan lebih memelihara faraj.”

Kalau ikut syarat, perkahwinan ini terlalu mudah untuk
dilaksanakan. yang penting lima rukun nikah dipenuhi
iaitu: 1. Pengantin perempuan 2. Pengantin lelaki 3.
Wali, 4 Saksi dan 5. Ijab dan kabul.

Mas kahwin bukannya rukun nikah. Ia boleh berbentuk
cincin seperti yang pernah dilakukan di zaman
Rasulullah. Sabda Rasulullah saw:

“Carilah mas kahwin walau hanya cincin besi.”

Belanja kawnin pula boleh dirundingkan. Sepatutnya
kenduri kahwin hendaklah dibuat atas dasar kemampuan
bukan untuk bermegah-megah.

Perkahwinan boleh diatur dengan berbagai cara yang
tepat dan cepat. Ia boleh diatur oleh badan khas
sesuai dengan keistemewaan pasangan tersebut.
Contohnya, kalau individu itu seorang guru kemungkinan
bakal isterinya juga seorang guru. Kayu ukur dalam
seluruh tindakan dan membuat keputusan ialah syariat,
bermula daripada memilih jodoh, peminangan, majlis
pernikahan, kenduri kendara dan seterusnya.

Perkahwinan dalam Islam boleh dilaksanakan dengan
berbagai bagai cara dalam usaha menyelesaikan masalah
andartu antaranya:
 Melalui persetujuan ibu bapa kedua belah
pihak.
 Peminangan pihak lelaki dengan pihak
perempuan.
 Pinangan pihak perempuan terhadap lelaki.
 Menganjurkan perkahwinan antara bangsa dengan
tujuan menyebarkan ajaran Islam.
 Mempercepatkan perkahwinan bagi mereka yang
telah layak dan mampu.
 Merendahkan belanja perkahwinan dan elakkan
perkara-perkara yang menyusahkan dan membazir.
 Menggalakkan poligami memandangkan bilangan
perempuan melebihi bilangan lelaki. Jangan pihak
wanita melenting tau.

Semua jalan-jalan perkahwinan yang disebutkan di atas
boleh diatur sama ada perkahwinan monogami atau
poligami. Bila matlamat perkahwinan kita jelas kerana
Allah semata-mata, maka poligami atau monogami tidak
jadi masalah. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Hai manusia! Patuhlah kepada Tuhanmu, yang menjadikan
kamu dari diri yang satu (jenis) dan menjadikan
isterinya dari jenisnya (bangsanya) sendiri, dan
kemudian Tuhan memperkembang-biakkan dari keduanya,
laki-laki dan perempuan yang banyak.”

Di zaman teknologi moden sekarang ini, ada yang
menggunakan mesin komputer untuk mengatur perkahwinan.
Apakah manusia sudah tidak punya hati, akal dan
perasaan hingga terpaksa menyerahkan keputusan dan
pilihan teman hidupnya kepada komputer yang tidak
berakal? mana pertimbangan agama dan Iman? Oleh itu
kembalilah kepada Islam dalam urusan perkahwinan ini.
Mudah dan senang.

Didikan agama dari kecil adalah penting. Dan apabila
tiba masa yang ia telah layak berkahwin, bekalan ilmu,
iman dan rezekinya telah tersedia. Ia mampu menjadi
isteri atau suami yang baik di sudut rohani dan
jasmani sebaik sahaja meningkat dewasa. Dan detik itu
tidak boleh disia-siakan melainkan mesti
dipergunakan…. kahwinkan mereka segera!

Dengan didikan agama itu juga dapat melindungi diri
kita dari tergelincir ke lembah dosa. Tidak akan
timbul lagi masalah andartu. Dan jika berlaku juga,
itu merupakan ujian sementara sebelum Allah berikan
jodoh yang sesuai, dan terimalah ianya.

Oleh itu, masalah andartu ini boleh diselesaikan bila
manusia kembali kepada agama. Barulah hati akan
mengaku kelebihan berkahwin yang dapat menyelesaikan
banyak penyakit masyarakat yang berpunca dari nafsu
syahwat. maka, selamatlah diri, terpelihara agama dan
bersihlah masyarakat. Jika dari awal lagi kita
mengikut syariat Islam, dengan mempelajari ilmu agama,
menutup aurat, menjaga akhlak, InsyaAllah jodoh akan
datang dengan cepat dan pasti membawa berkat!
 


 


1