Anda adalah pelawat yang ke:
 

Laman 5

            APABILA MENGHADAPI UJIAN
 

     Assalammualaikum…..
 

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia
sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi
terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud
tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian
samada secara langsung dari Allah atau melalui orang
lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil,
sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan
orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam
dan mudah buruk sangka. Yang dahsyatnya ialah kalau
hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian
itu.

Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian
hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita
sama-sama  cungkil  hikmah di sebalik ujian yang
ditimpakan.

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan
sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik
sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah,
mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan
Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan
sebagainya.

Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab
itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau
lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan
ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak
tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah
dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu.
Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi
ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan
perbuatan dosa itu sehingga bila-bila.

Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas
dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum,
samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah
bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan
dosa itu). Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi
Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan
didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan,
kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya.

Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah
ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita
tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah
merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan
menambahkan lagi dosa kita.

Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada
hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat,
kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda
lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya
kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur
kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih
daripada dosa.

Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja
Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada
kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang
bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita
akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta
melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan
kemiskinan.

Apabiala kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu
memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan
menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita
menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan
membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang
sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang
datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah
diterimanya.

Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang
yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja
didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa
untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa
kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa
bangga diri.

Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa
beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai
hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih
belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat
meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan
kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin
bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan
Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang
bermaksud:

     “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk
syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang
yang berjihad di antara kamu dan belum nyata
orang-orang yang bersabar.”

Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:

     “Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan
pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang
kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang
sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau
marah-marah pada Allah, insyaAllah ganjarannya di
syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana
hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak!

Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke
atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan
kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud
untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi
Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat
belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif,
masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah
baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda
dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri
untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana
kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda
menjawab:

     “Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka
kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan
keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza
dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila
diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan
berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada
kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan
kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji
kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi,
tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika
guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang
murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi
murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf
dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang
dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak
mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia
sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid
yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku
kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid
atau guru besar yang merotannya.

Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan
tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang
bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia
tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid
yang bersalah itu layaklah dirotan.

Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih.
Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.
Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan
kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah
dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.
Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari
Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah
kita menyedari akan kesilapan kita selama ini.
Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil
sebagai satu didikan terus dari Allah.

Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib
bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang
Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti
merungut ketika diuji?
 


 
 

           DERITA YANG MENGUNDANG BAHAGIA

Kisah ini adalah kisah benar dan berlaku di sebuah
kampung yang terletak di sebuah daerah Muar, Johor.
Puan Salmah (bukan nama sebenar), kalau sekali pandang
pada raut wajah yang tenang dan lembut itu, tentu kita
tidak sangka beliau pernah menanggung penderitaan yang
begitu hebat sekali.

Segala-galanya bermula selepas dia dikahwinkan dengan
seorang pemuda pilihan orang tuanya di kampung
tersebut. Pada awal perkahwinan mereka, rumahtangganya
harmoni dan aman damai. Tetapi sejak kelahiran anak
sulungnya, suaminya mula berubah sikap. Dia menjadi
seorang penagih dadah dan banyak menghabiskan masanya
bermain judi. Bila kalah berjudi, dia akan pulang ke
rumah dan meminta duit daripada isterinya. Kalau tak
diberikan, akan dipukul dan disepak terajang tanpa
rasa belas kasihan sedikit pun. Begitulah setiap hari
dilaluinya dengan perasaan takut, cemas dan menderita
mengenangkan nasib diri serta keluarganya.

Akhirnya kerana tak sampai hati melihat penderitaan
Salmah, ibunya menyuruh suami Salmah menceraikannya.
Salmah pun diceraikan dan pulang ke rumah ibunya.
Tidak lama selepas penceraian itu, datang pula seorang
pemuda melamarnya. Kalau diikutkan rasa hati, dia
sudah serik untuk berkahwin lagi. Tapi memikirkan masa
depan anaknya, dia menyetujuinya.

Bak kata pepatah harapkan pagar, pagar makan padi.
Lelaki yang diharapkan dapat membela nasibnya, rupanya
menjadi pengikis hartanya pula. Nasibnya tak ubah
seperti keluar dari mulut harimau masuk ke mulut
buaya. Suami keduanya juga pembengis dan suka main
perempuan. Seringkali dia menjadi mangsa sepak
terajang kerana tak mahu memberinya duit. Sehingga
lembik tubuh dikerjakan, barulah dilepaskannya.

Saban hari begitulah nasib yang akan diterimanya.
Badannya semakin kurus, matanya cengkung, mukanya
pucat dan badannya sudah tak bermaya lagi. Tubuhnya
calar-balar dipukul dengan kayu ataupun hanger baju.
tak terkata betapa hancur hatinya ketika itu. Tetapi
dia sendiri pun takut untuk mengadu pada sesiapa.
Pernah dia mengadu pada jirannya, bila suaminya dapat
tahu, lagi teruk dia dibelasah. Sejak hari itu dia tak
berani lagi mengadu pada siapa pun.

Tetapi dia masih ada tempat pergantungan. Di sanalah
dia mencurahkan segala penderitaan batin yang
ditanggungnya selama ini. Seringkali dibisik-bisikkan
pada dirinya; walau berat penderitaan yang
ditanggungnya, masih ada lagi orang di dunia yang
nasibnya lebih buruk lagi. Itulah saja yang
diulang-ulangkan demi memujuk hati yang remuk-redam.
Pasti Allah tidak sezalim itu membiarkannya begitu.
Tentu ada sesuatu yang berharga di sebalik penderitaan
yang ditanggung selama ini. Saban malam sewaktu
suaminya keluar berpoya-poya dengan perempuan lain,
Salmah sujud mencurahkan rasa hati pada Allah swt. Dia
rasa tenang, dapat berbisik-bisik dengan ‘Kekasih’nya
tanpa diganggu. Tidak pernah dirasakan ketenangan yang
sebegitu rupa dalam hidupnya. Tenang kerana dapat
tempat yang sewajarnya. Dia dapat rasakan cintanya
berbalas.

Kini barulah dia memahami apa erti di sebalik kisah
hidupnya yang terlalu tragis itu. Mengapa dua kali
dipertemukan dengan suami yang pembengis? Rupanya,
Allah mahu dia meletakkan rasa cinta dan tempat
pergantungannya pada Dia. Bukan pada makhluk yang
serba lemah itu (suaminya). Wahai isteri-isteri yang
sedang menghadapi masalah seperti puan Salmah ini
ataupun menderita akibat dimadukan oleh suami,
jadikanlah penderitaan puan Salmah ini sebagai
iktibar.

Sejak hari itulah puan Salmah mula berjinak-jinak
dengan ceramah agama. Selama ini dia terlalu jahil
dalam selok-belok agama: Mungkin kerana kegagalan
memikat hati suami menyebabkan suaminya mencari
perempuan lain.

Setelah ilmu dipelajari, dia cuba mengamalkannya.
Setiap kali suaminya pulang ke rumah, dia sudah
bersiap dengan pakaian yang mengghairahkan, senyuman
yang manis dan bersedia untuk memenuhi hajat suaminya.
Suaminya terkejut besar melihatkan perubahan pada
isterinya itu. Macam-macam dikata pada isterinya;
buang tabiatlah, sengaja nak gunakan ilmu sihirlah dan
berbagai-bagai lagi dikatanya. Tapi Salmah tetap
melayani suaminya sepertimana yang dipelajarinya.

Walaupun dia telah berusaha memujuk suaminya, namun
masih tidak berubah perangainya. Dia masih
tergila-gilakan perempuan jalanan yang mengikis
poketnya dari melayani isterinya di rumah. Bagi Puan
Salmah memanglah tidak semudah itu seseorang boleh
berubah. Walau bagaimanapun dia masih tetap bersabar
dan memberi masa untuk suaminya berubah. Dia yakin
suaminya juga sedang membuat perubahan diri. Buktinya
suaminya sudah kurang memukul, menerajang mahupun
menamparnya sejak kebelakangan ini. kalaupun dia
marah, dia akan terus keluar rumah dan tak balik-balik
sampai dua tiga hari.

Walaupun puan Salmah mengetahui suaminya masih ‘main
perempuan’, tapi bila tiap kali suaminya pulang ke
rumah, dia akan berhias untuk suminya, berwangi-wangi
dan melayan suaminya dengan manis muka. Sampaikan
ibunya turut memprotes, “Kau ni dah gilakah? Apalah
yang engkau layan sangat suami yang curang begitu. Dia
bukan sayangkan engkau lagi. Dia tak heran dengan
layanan engkau tu. Di luar pun dia boleh dapat lebih
dari itu.”

“Biarlah dia buat begitu. Diakan masih suami saya.
Saya wajib melayaninya dan taat padanya. Dosa yang
dibuat tu, itu antara dia dengan Allah.”

Begitulah saban hari dilayani suaminya sehinggalah
akhirnya suaminya berubah hasil kesabaran dan
akhlaknya itu. Sewaktu pihak kamu menziarahinya, masih
kelihatan parut-parut di tangannya, tapi dia cuba
melindunginya kerana tidak mahu kami melihatnya. Dia
juga tidak mahu gambarnya diambil.

Bila ditanya apakah rahsianya boleh melayani suaminya
walaupun mengetahui perangai buruknya itu, dengan
selamba dia menjawab, “Saya terhutang budi padanya.
Kerana sikapnya itulah saya mendapat hidayah dari
Allah.”

Begitulah sebuah kisah benar yang berlaku dalam
masyarakat kita hari ini. Masih ada lagi wanita yang
berjiwa seperti Siti Asiah; sanggup bersabar
menghadapi suami yang zalim. Walaupun mungkin
penderitaannya tidak seberat penderitaan yang
ditanggung oleh Siti Asiah yang berhadapan dengan
kejahatan Firaun yang menghukum bunuh sesiapa yang
tidak sujud padanya. Bagaimana dengan anda wahai
wanita yang bergelar isteri-isteri? Apakah suami anda
sezalim itu? Jika tidak, anda masih bertuah
dikurniakan seorang suami yang penyayang dan
bertanggungjawab. Sepatutnya setiap wanita
mensyukurinya, jangan pula sebaliknya,
merungut-rungut, memendam rasa dan sering bermasam
muka bila berdepan dengan suami. Andainya demikian,
isteri itu pula yang menzalimi suaminya……. Maaf, bukan
saya hendak merendah-rendahkan wanita.
 


 
 

          PADA SIAPA PATUT LETAK CINTA?

Assalammualikum……

Sebelum saya membicarakan bab pada siapa patut letak
cinta ini saya ingin mengambil kesempatan merakamkan
rasa dukacita tentang pemahaman bab penderitaan
mengundang bahagia.

Untuk menilai cinta kita itu benar-benar kerana Allah
swt, saya terpaksa mengambil dua email ini sebagai
perbandingan. Bukanlah niat saya hendak memalukan atau
membuka aib kedua-dua orang yang mengirim email
tersebut, tetapi sebagai panduan memudahkan lagi
pemahaman. Email tersebut pembaca boleh baca di akhir
bicara bab pada siapa patut letaknya cinta?

Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta.
Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau
jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak
ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada
mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang
masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang
yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta..
Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga
dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana
cinta?

Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh
disukat-sukat. hati yang merasainya, sehingga boleh
terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua
sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.

Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati
kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat.
Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila
puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang
dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah
yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang
dilakukan mengikut arahan nafsu. termasuk dalam
meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh
cinta pun ikut selera nafsu.

Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang
mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan
itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan
nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan
nafsu seks lelaki kepada perempuan. begitu juga
wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome
bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang
disenangi oleh nafsu. lantas cinta diberi dengan
harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan
hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang
dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu
semata-mata.

Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang
punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah
babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat
menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan,
berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling
rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam
ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak
jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah
tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah
yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut.
Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk
membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.

Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon
untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula
rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada
perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang
perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta
hilang cintanya. habis manis sepah dibuang. Kalau pada
lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang
melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami
disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami
melayang.

Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya
hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang
banyak melanda orang muda yang dilambung asmara.
Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri,
kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya
sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat
ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang
paling malang dan memalukan.

Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina
rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan
cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan
manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila
isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh,
rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti
opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan
beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus
hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang
perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata
suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.

Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami
boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan
nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya
suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau
suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang
cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang
rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi
melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci.
Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka,
kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan
isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami.
Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan
ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk
rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah
membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh
merendahkan wanita, jangan marah tau.

Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan
manusia di dunia lagi.

Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam
hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta
yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut
pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta
diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini
tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan
kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta
pada Allah.

Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan
dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara
murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan
sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan
Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan
Tuhannya.

Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang
tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan
memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa
saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta
mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi.
Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku
walaupun tak pernah kenal atau baru kenal tapi hati
rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang
dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu
senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri
untuk senangkan orang yang dicintai.

Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu
seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan
sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat
perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti,
hari di amana masing-masing orang mengharap sangat
lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari
kepala.

Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan
letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan
melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami
tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada
suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta
isteri pada suami tidak belah bagi. salah satu
contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana
cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari
ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin
putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap
memberikan cintanya yang utuh dan teguh.

Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri
itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri
taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia
ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan
tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling
cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu
isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai
oleh suami lebih dari isteri-isteri lain. Sebagaimana
Rasulullah lebih mencintai Aisyah kerana taqwa Aisyah
lebih tinggi dari istei-isteri lain. Rasulullah saw
akui sendiri hanya bersama Aisyah saja, dalam satu
selimut baginda pernah diberi wahyu. Tapi tidak pernah
berlaku semasa baginda satu selimut dengan
isteri-isteri yang lain.

Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan
Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku
pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada
makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang
isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang
isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup
aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka
kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk
laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka
ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan
sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya
kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada
Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi
bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.

Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang
cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil,
apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah
dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil
dan rendah padanya.

Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap
Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta
nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup
hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi
Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf
hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf
masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu
cintanya kepada Yusuf.

Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha
menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik
menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana
banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis
dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah
belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah
mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah
Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan
kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya,
bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada
Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat
dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga
terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf
yang berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu
Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, hingga hampir
hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju
Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zilaikha pernah
menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.

Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu
dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah.
Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak
cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu
di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.

Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup
kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. kalau
wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya,
tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana
cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi
mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan
rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu
datangnya dari Allah.

Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja
yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu
semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan
kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan
kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan
makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah
boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati
orang-orang tadi kalau Allah mahu.

Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian
diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat,
gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat
pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya
nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita
terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:

“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah,
nescaya kamu tak terhitung.”

Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan,
menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah
dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui
kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita
kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa
untuk ucapkan terimakasih, lupa pada yang memberi.
Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan
kita dengan kehendaknya.

Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu
pada Allah. malah kerana malunya itu dia tidak nampak
yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu
pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah
sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu
masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan
kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta
pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan,
aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu.
tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka
kalau itulah kemahuan-Mu.”

Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul
Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan
dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila
cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada
tempat lagi untuk cinta selain dari itu.

Ada orang mangatakan: “jika kau berikan hatimu ataupun
cintamu pada manusia nescaya dia akan
merobek-robekkannya. tapi kalau hati yang pecah itu
diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya.
Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah
tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di
akhirat.”

Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan
kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan
barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya.
Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan
di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita
pada Allah swt yang patut kita letakkan.

Setelah pembaca semua faham, cuba pembaca tafsirkan
dua email dibawah ini mengikut kefahaman yang telah
saya berikan kepada pembaca semua, di mana silapnya
mereka, bukan untuk mencari kesalahan atau keaiban
orang tetapi sebagai panduan yang tidak patut
dicontohi.
 

Assalamualaikum..

Saya pernah menguji cinta suami terhadap saya. Saya
tanya dia: "Kata la one day ada perempuan lain
tergila-gilakan you dan nak kawin dengan you tapi dia
tak nak bermadu, you rasa apa i buat?"

Suami: you sure melenting..

Saya: no.. u silap, i rela dilepaskan daripada
bercekau tak berkesudahan. silap2 sampai main bomoh..
lagi i tak rela..

Suami: you tak sayang i sungguh2..

Saya: bukan macam tu.. cuma kita kena ingat.. satu
hari nanti i akan mati, you pun akan mati.. so, kalau
kita nak berkasih sayang macam nak rak pun kasih abadi
kita tetap pada yang Satu. Cinta manusia tak ke mana..
contohnya, katalah you memang ada rasa cinta kat
perempuan lain, bermakna lagikah cinta i pada you?
cinta manusia mudah berubah.. so, insyallah i akan
tabah jika di uji sebegitu..

Saya: you pulak, kalau dapat tahu ada lelaki lain yang
nak sangat amik i sebagai isterinya sedangkan dia tahu
i isteri orang.. apa tindakan you.. sanggup you
lepaskan i?

Suami: Mana boleh.. you masih isteri i..

Saya: Iya la.. memang i masih isteri you, tapi.. jodoh
pertemuan kan di tangan Tuhan.. dugaan akan datang
pada setiap manusia.. ermm.. you lepaskan i tak?

Suami: Nak kena tembak...!! tembak dua2 baru puas
hati!

Hmm.. nampaknya suami saya tak nampak nilai cinta yang
cuba saya terapkan.. Cinta kepada Allah adalah yang
paling abadi.. yang lainnya ada dugaan dunia..
 
 

waalaikumussalam... membaca "perbualan" antara puan
Cancer dan suaminya.. teringat pula cek pada perbualan
cek ngan suami satu waktu dulu.. baru lagi
berumahtangga .. antara kata2 yang masih cek simpan
buat ingatan...

Suami: Kalau abang mati dulu..abang tak nak linda
kawin lagi kalau dah ada anak..tapi kalau belum ada
..tak pa...

Cek: (tersenyum) .. kenapa plak... abang nie teruk
la.. baru jer kawin dah dok kata dia mati... (marah
gak ler time tu..yer ler baru nak bermanja tup..tup..
dia ingatkan kita kes macam tu..)

Suami: sebab abang tak nak anak2 abang terbiar...
kalau anak2 abang terbiar...pasti takkan ader yang
mendoakan abang di "sana"...

Cek: (terkedu gak ler..).. abang janganlah ingat macam
tu... kita sama2 minta panjangkan umur kita sehingga
anak2 kita besar dan jadi orang yang baik2 dan berguna
macam abang.. kita berdoalah agar kita sama2 susah dan
senang sehingga akhir hayat kita....soal linda nak
kawin lagi atau tak..tu biar Allah yang tentukan..
kita nie kan hambaNya... kalau ditakdirkan linda kawin
lagi pun... takkan la linda nak biarkan anak2 linda
dari zuriat abang.. tapiiii.. hishhhh..
tak nak la linda.. kalau dah ada anak2.. biorler linda
ngan anak2.. tak nak la fikir2 pasal nak kawin lain...

Suami: Eh.. mana boleh tak nak kawin lagi.. takkan nak
dok sorang2? kalau ada anak2... mungkin bleh menumpang
mereka.. kalau tak der.. tak kan tak teringin nak
bersuami lagi.. ?

Tu diaaaaaa haiiihhh... ada ka.. hehehe.. jawapan cek
tak yah ler cek bagi tau.. biaq cek simpan jadi
rahsia..hehehe. Tapi yang pasti.. cek tau apa yang
suami cek harapkan pada cek..

Satu lagi perbualan ... yang membuatkan cek sedar ...
bahawa kasih sayang antara manusia itu boleh
dikekalkan sekiranya kita tetap ingat akan kasih
sayang Allah pada hambaNya...
Cek: Bang.. kalau ader pompuan berkenan kat
abang..agak2 abang layan dak?

Suami: Tengok keadaan...

Cek: camner plak tu..

Suami: kalau abang bujang lagi.. mungkin kot... tapi
kalau la nie..tak tau ler...linda plak camner, kalau
ada betul..nak ker bermadu...?

Cek: Linda tak kesah nak bermadu..tapi yang problemnya
nanti abang.. kesian kat abang..kena bagi
tanggungjawab sama rata.. linda rasa.. maser tu
nanti..mungkin dah sampai masanya.. biarlah orang lain
pula rasakan kasih sayang abang macam
yang pernah linda rasa.... lagipun daripada saling
mengutuk walau dalam hati .. dia dapat aku tak dapat..
baik linda hidup sendiri.. sekurangnya2..linda tak
berdosa kat abang...

Suami: Aikkk... macam tu plak.. yer ker nie?

Cek: Abang jangan lupa.. apa yang kita ada nie kan
semuanya pinjaman.. so buat apa la linda nak berpegang
pada tu semua.. linda percaya.. apa yang terjadi ...
dah tertulis.. kalau linda kata linda tak bagi abang
kawin lagi satu.. takut
nanti.. abang buat dosa..linda pun dapat dosa sama
sebab halang abang..

Since then, kami bukan lagi seperti suami isteri malah
kawan.. masih boleh bertepuk tampar (tak der ler
keterlaluan) masih boleh bergurau ... malah suami cek
semakin hari.. semakin memahami diri cek... hmmmm tu
yang buat lagi sayang tu.. hehehe

 ** semoga Ramadhan yang bakal tiba ... memberikan
kita lebih kebahagiaan..
 
 


 
 

            DI MANAKAH NILAI TUDUNG KITA

Di sini ingin saya menyentuh sedikit tentang pemakaian
tudung kaum wanita kini, walaupun rakan saya sebelum
ini ada menghantar artikel berkait tentang pemakaian
tudung (Tudung~ buat renungan oleh undergroud). Saya
pula hanya ingin menambah sedikit dari apa yang
dihuraikan oleh rakan saya, sebagai renungan bagi
wanita Islam kita hari ini.

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki
bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya,
malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri
wanita terlalu mahal. Sebab itu syariat menetapkan
supaya wanita pakaiannya adalah pakaian yang longgar
dengan warna yang tidak menarik menutup seluruh
badannya dari kepala sampai ke kaki.

Kalau dilihat pada nilaian dunia, barang-barang
berharga seperti intan dan berlian dibungkus rapi dan
disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu
juga wanita. Kerana wanita bermaruahlah dia tidak
disuruh ditonjolkan tanpa keperluan yang tertantu;
dengan batas-batas tertentu. Dia mesti bergelanggang
dalam gelanggang yang boleh dan sesuai untuknya sahaja
yang telah ditentukan garis-garisnya oleh syariat.
Wanita tidak selayaknya mengorbankan maruah dan
dirinya semata-mata mengejar pangkat, darjat, nama,
harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah
sekarang telah ramai wanita menjaga auratnya,
sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dan di sana
sini kita dapat saksikan para wanita kita memakai
tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda
dari orang bawah hingga orang atasan, dari peringkat
pelajar-pelajar sekolah hinggalah ke pekerja-pekerja
di pejabat-pejabat.

Namun begitu, pelbagai gaya tudung dipakai. Tudung
kadangkala tidak lengkap dipakai, pakai tudung tapi
masih nampak batang leher, nampak dada, pakai tudung
tetapi di masa yang sama pakai kain belah bawah atau
berseluar dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai
gaya tudung dipakai. Pelbagai warna dan pelbagai
fesyen tudung direka untuk wanita-wanita Islam kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di
dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang
menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya.
Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam
majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan
itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi
menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin
itu adalah bukan sahaja menutup auratnya malah
sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.
Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk
tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana
akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan
muhramnya. Dan pakaian yang boleh melindungi wanita
dari jadi bahan gangguan lelaki yang tidak
bertanggungjawab.

Bila wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka
terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun
bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga
dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik
dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik,
up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas.
Bertudung tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan
rasa kehambaan. Kita tidak rasa diri ini hina, masih
banyak dosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita
tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan
bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu
kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan
berbangga bila boleh pakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak
bersembahyang. Ada orang yang bertudung yang masih
cari boy friend. Ada orang bertudung yang masih
terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung
yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan
muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat
oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar
seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang
yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak
orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap
orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan
bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak
bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa
lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk
Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga
kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung,
perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan
Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam
dengan agama mereka.

Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah
orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah
agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam.
Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya
melalui pakaian.

Kalau kita tutup aurat tetapi tidak terus memperbaiki
diri lahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah
punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan
lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita
sendiri.

Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik
tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi
baikilah diri dari masa ke semasa. Tudung di luar
tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat,
suka berdengki, suka berbangga, ego, riak dan
lain-lain penyakit hati.

Kalau sudah mula menutup aurat elak-elaklah diri dari
suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur.
Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki
perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir
dengan boy friend. Serahkan pada Allah tentang jodoh.
Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing.
Yakinlah pada pengaturan Allah.

Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan
amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi
terutama bila dalam waktu bekerja. Cuba didik diri
jadi orang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat
suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka
mengumpat, suka mengkeji dan mengata hal orang lain.
jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan
maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam ini
indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak
yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk amalkan Islam. Baru orang
bukan Islam hormat dan mengakui “Islam is really
beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah
cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam
sekelian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai
agen pengembang agama melalui pakaian.
 


 
 

       INILAH SIFAT ISTERI-ISTERI YANG DERHAKA

Memang jodoh pertemuan di tangan Allah swt. Tetapi
tidaklah bermakna usaha dan ikhtiar langsung tidak
diperlukan. Ertinya sesudah berikhtiar semampu
mungkin, maka selepas itu terpulanglah pada Allah apa
yang hendak ditakdirkannya.

Perkahwinan adalah penting. Ia adalah suatu
pembentukan awal sebuah masyarakat kecil yang akan
berlanjutan ke anak cucu dan turun temurun. Dan ini
sesuai pula dengan fitrah semulajadi manusia, iaitu
memerlukan pasangan di dalam hidupnya. Oleh itu
merancangkan satu perkahwinan yang tepat dan baik
adalah ikhtiar yang tidak boleh dipandang kecil. Hal
yang paling penting ialah mencari jodoh. Siapakah
bakal isteri atau suami yang hendak dipilih? Yang mana
kalaulah terjadi salah pilih, maka kesannya sangatlah
buruk, terpaksa menanggung derita dan seksa di dunia
hingga akhirat. Tiada bahagia dan kasih sayang.
Rasulullah saw sudah berpesan tentang syarat memilih
isteri. Sabda baginda:

“Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara, Kerana
harta, rupa, keturunan dan agamanya. Maka pilihlah
yang baik agamanya.”

Fahamlah kita bahawa syarat penting memilih isteri
atau suami ialah yang beragama. Dengan kata lain yang
beriman dan yang mengamalkan syariat Islam. Kalau
syarat ini ada barulah kita fikirkan tentang hal-hal
seperti rupanya, kekayaannya, keturunannya dan
lain-lain. Tidak ada syarat lain lagi yang lebih baik
daripada apa yang dikatakan oleh baginda itu. Sebab,
wanita beriman, walau dia kaya atau cantik, nescaya
dia tetap merendah diri pada suaminya. Tidak akan
dikecilkan hati suami lebih-lebih lagi tidak akan ia
derhaka pada suami. Sebaliknya yang wanita cantik pada
wajahnya tetapi tidak beriman selalunya membuat
suaminya berkeadaan serba salah. Begitu juga wanita
kaya yang tidak beriman, biasanya akan memperbudakkan
suaminya.

Ini selalu terjadi di dalam masyarakat kita hari ini.
Oleh kerana mereka berkahwin bukan kerana Allah,
memilih pasangan pula bukannya kerana agamanya, tetapi
kerana jawatan, gaji rupa dan lain-lain, ditambah
dengan cara kenduri kahwin penuh kefasikan, maka
hasilnya terjadilah seperti apa yang terjadi sekarang.

Kalau isteri berjawatan tinggi atau seorang yang
terkanal maka rumahtangga mereka akan berada dalam
keadaan:

 Suami sering merasa hina diri (inferiority
complex) terhadap isteri. Isteri tidak melayan dengan
sepatutnya, maklumlah sibuk dengan tugas dan sibuk
melayan orang lain. Suami selalu tinggal sendiri.
kalau isteri ada di rumah pula dia merasai berhadapan
dengan orang besar, yang dihormati ramai, maka masakan
mudah baginya untuk mengajak isteri bermesra-mesra dan
melayannya dengan baik. kerana itu hiduplah suami
dalam keadaan kesunyian selalu dengan rasa rendah
diri. Kebahagiaan bersuami-isteri dan berkasih sayang
tidak akan terasa lagi.
 Oleh kerana isteri biasa mengarah-arahkan
pekerja bawahannya atau orang ramai, maka tentu dia
terbawa-bawa ke rumah, yakni suka mengarah suami. Apa
lagi kalau suaminya berjawatan kecil, sepertilah orang
bawahnya. Maka dalam keadaan apa pun suami akan rasa
hina diri. Mengalah sajalah suami. Ikut sahaja apa
isteri kata. kalau pun kadang-kadang  ia tidak suka
dengan perkara itu, terpaksa ditekan-tekan rasa.
Pendeknya jadual rumahtangga akan diatur oleh isteri.
“Kita  balik kampung bang” “Kita keluar bang” “Malam
ini jangan kacau I bang, I letihlah,” dan sebagainya.

Bila suami ajak ziarah emak di kampung, dia jawab,
“Saya ada mesyuarat esok, tidak boleh cuti.” Kadang
pula suami ajak pergi kenduri kahwin dijawab, “I ada
‘appointment’ petang ini. “Sewaktu-waktu suami ajak ke
bilik tidur dia jawab, “I nak siapkan ‘speech’ untuk
esok. Abang masuklah dulu” Isteri jadi tuan. Suami
jadi khadam. Orang yang tidak tahu mereka itu suami
isteri akan menyangka suami itu orang gajinya.

 Isteri sentiasa keluar. Siang keluar, malam
keluar. Bila balik, sudah letih. Maka suami akan
menjadi orang bujang. Ada isteri macam tidak ada
isteri. Sebab dia tidak dapat miliki isteri itu. Hanya
boleh dipandang-pandang, boleh dipegang sekali-sekali.
Tetapi tidak boleh dikawal mengikut kehendak suami.
 Oleh kerana isteri ada jadual sendiri dan ada
pandangan sendiri, maka selalunya arahan suami akan
dibahas dan dipertikaikan. Suami jarang merasai
isterinya taat padanya. Pun jarang si isteri meminta
keizinannya untuk melakukan sesuatu.
 Isteri tidak rasa bersandar hidup dengan
suami. Biasanya seorang isteri bergantung hidup,
nafkah dan tanggungannya pada suami. Tetapi kerana
isteri berjawatan, ia rasa lebih dari suaminya, maka
isteri tidak lagi bersandar pada suami. Ia tidak
memerlukan apa-apa dari suaminya; tiada istimewa dan
tidak ada kelebihan apa-apa untuk dia bersandar hidup.
Hatta kalau suaminya menceraikannya pun dia tidak rasa
bimbang apa-apa. Maka dia berani buat apa disukainya
terhadap suaminya.

Kalau isteri lebih pandai dari suami maka:

 Isterinya akan membuatkan suami sentiasa rasa
hina diri dan rendah diri, kerana isterinya akan
banyak mengajarnya. Bukannya suami mendidik isteri
tetapi berlaku sebaliknya. Kalau suami buat apa-apa
yang silap atau tidak tepat selalulah kena komplen
atau diketawakan oleh si isteri. Hendak marah atau
hendak merajuk pun takut pula kena leter dengan
isteri, maklumlah isteri bijak. Al hasil suami
sentiasa rasa diperkecilkan oleh isteri. Dirasa
dirinya sentiasa rendah di samping isterinya. Kasih
sayang dan kebahagiaan yang layak bagi seorang suami
tidak dapat dirasainya lagi.
 Isteri tidak yakin dengan sikap, cakap dan
arahan suami, maka dengan sebab itu dia tidak boleh
taat pada suaminya. Kalau taat pun hanya atas dasar
patuh.
 Isteri berani mengarah, menentang dan
marah-marah pada suami. Si isteri pula, kerana selalu
rasa dikalahkan, tidak akan boleh mengawal keadaan
begini. Maka terjadilah suami menurut kata isteri,
suami ikut cakap isteri. Hidup suami diatur oleh
isteri.
 Suami tidak akan memberi apa-apa maklumat dan
tunjuk ajar pada isteri, disebabkan dia rasa malu pada
isterinya yang lebih pandai darinya. Oleh kerana
kebiasaan isterinya menyanggahnya maka dia bimbang
kalau-kalau maklumat atau ceritanya akan disanggah
lagi atau dipandang kecil oleh isteri. Kerana itu
selalunya isterinya yang banyak cakap, suami menurut
saja. Ertinya suami belajar dengan isteri.
 Kemuncak dari itu, ialah suami takut untuk
membuat arahan atau permintaan pada isteri. Tegasnya
suami akan takut pada isteri.

Kalau beristeri cantik

Si isteri sedar dan bangga dengan kecantikannya, maka
suami akan selalu kalah dengan kehendak isteri. Si
suami pula suka akan kecantikan isteri, dia menyayangi
isterinya atas dasar isterinya cantik. maka jadilah
keadaan di mana segala kehendak isteri diikutinya.
Isteri tentu sedar akan hal ini maka diambil
kesempatan untuk mengarahkan suaminya, ikut ragam dan
kerenahnya. Minta itu minta ini, arah itu arah ini.
kalau tidak dapat, merajuk, meragam dan
merengek-rengek. kalau kemahuannya tidak diikuti dia
mengugut hendak balik kampung atau minta cerai. Dia
tahu suaminya tidak akan menceraikannya. Si suami pula
kerana terlalu sayang, ikut saja. bukan senang hendak
dapat isteri cantik. tetapi hati menderita. Bak kata
orang, mata sedap hati sakit. Ibarat buah kepayang
ditelah pahit dibuang sayang. Hal ini jarang berlaku
pada wanita-wanita yang tidak cantik. Mereka tidak
berani meragam sebab mereka tahu suaminya boleh
menceraikannya, cari yang lain.

Kalau beristeri kaya

Suami akan jadi hamba, sebab si suami bersandar rezeki
pada isteri. Isteri jadi ‘boss’, boleh buat apa saja
arahan yang disukai. Oleh kerana rasa termakan budi,
suami merasai tidak patut pula kalau tidak menurut
arahan isterinya. Akhirnya diperhambakan isteri. Dalam
keadaan itu suami akan rasa rendah dan hina diri dan
tidak berani si suami berlaku sebagai ketua
rumahtangga untuk mengarah itu dan ini. Maka akhirnya
isterilah yang jadi ketua rumah, jadi queen control.
Jadual dan program isteri yang tentukan. Suami
mengiyakan sahaja.

Kalau beristeri yang tidak kaya, tidak pandai, tidak
tinggi jawatan:

Isteri yang setaraf dengan suami atau lebih rendah
lagi tidaklah susah sangat suami dibuatnya. Isteri itu
terpaksa bersandar sepenuhnya dengan suami. Dan dia
pula tidak boleh memberi apa-apa pada suami, dan
dirasai suaminya lebih daripadanya. Ada kekuatan dan
keistimewaan. Maka mudahlah dia hormat dan taat.
Selamatlah hati suami. namun ketaatan ini bukanlah
ketaatan yang suci murni, kerana dibuat dengan
terpaksa. Yang mana kalaulah isteri itu kaya misalnya,
nescaya dia turut menyusahkan suaminya juga.

Ada waktu-waktunya isteri akan engkar juga dengan
suaminya, terutama suami ada salah silapnya. Itulah
wanita yang tidak beriman yang selalu menyusahkan
suami. Suami tidak rasa terhibur dengan isteri. Rasa
bahagia, mesra dan kasih sayang dengan isteri semakin
hilang dari hari ke hari. Suami merasai lebih bahagia
kalau berada di luar rumah atau jauh dari isteri.
Setiap kali hendak balik ke rumah, suami cemas menanti
apa pula ragam si isteri. Soalan apa yang akan
ditanya. Apa pula yang akan dirungutkan, apa yang akan
dimintanya. Panjang mana pula leter yang akan
didengar. Semasam mana pula mukanya dan macam-macam
lagi ragam dan kerenah yang akan dihadapi.

Kesah ini pernah berlaku kepada seorang pendakwah,
seorang suami tiba-tiba saja menghulur RM50.00 pada
isterinya. “Hadiah,” katanya. Hairanlah isterinya
kerana kejadian yang tiba-tiba itu.
“Hadiah apa ni?” Ditanya kepada suaminya. Maka
berkatalah suaminya, “Hadiah kerana tadi ketika saya
balik ke rumah, awak sambut baik, tak tanya itu ini
macam selalu. Pada hal biasanya kalau saya tidur
diluar, pagi baru balik, awak tak gini. Sebab itu
dalam perjalanan balik tadi saya sudah bimbang apa nak
jadi. Rupa-rupanya awak sudah berubah. Itu pasal saya
hadiah  RM50.” Isterinya pun tersipu-sipu.

Itulah cerita isteri yang sedang dididik dengan iman.
Suami keluar dakwah, kadang-kadang tidak balik. Maka
sedikit sebanyak sudah boleh menerima keadaan itu,
boleh bersabar dengan ujian kesusahan. tetapi kalaulah
tidak dididik dengan iman, mustahil seorang isteri
boleh bermanis muka dengan suami di waktu dia sendiri
sedang berduka.

Isteri solehah akan sentiasa berfikir untuk memberi
kebahagiaan kepada suaminya, dalam apa jua keadaan
pun, akan sanggup mengorbankan dirinya untuk
menghiburkan suami demi mengharap kasih sayang Allah
dan syurgaNya.

Lihatlah sejarah seorang wanita Mukmin, ketika anaknya
meninggal dunia, ditutup mayat itu baik-baik menunggu
suaminya pulang. Bila kembali suaminya ia tidak terus
mengadu kejadian malang itu tetapi dihiburkan, dilayan
suaminya hinggalah selesai suami menunaikan hajatnya
barulah dia bertanya, “Abang, kalau kita diberi pinjam
sesuatu, adakah kita kena memulangkan barang itu
kepada tuan punyanya?. “Tentu sekali,” Jawab suaminya.
Kemudian dia menyambung, “Allah telah meminjamkan kita
seorang anak. Tapi sekarang Allah ambil kembali anak
itu dari kita.” “Innalillah wa inna ilaihi raajiuun,”
kata suaminya dengan tenang. Maka barulah ditunjukkan
mayat anaknya pada suaminya. Begitu mampunya wanita
salehah menenangkan hati suaminya. Bukan memekik,
melolong, menangis, merapu dan mengungkit itu ini
hingga suami jadi dua kali susah. Susahkan ujian yang
berlaku, susahkan sikap isteri.

Hari ini mana ada wanita salehah yang mengorbankan
diri untuk kebahagiaan suami demi mengharapkan
keredhaan Allah dan nikmat syurga di akhirat kelak.
Yang ada ialah wanita-wanita yang selalu menyusahkan
suami untuk keuntungan dirinya kerana semata-mata
memuaskan diri dan nafsunya.

Sebenarnya perkara-perkara yang saya senaraikan di
atas, tidak akan atau kurang berlaku kalau kita
beristerikan wanita salehah. Sekalipun wanita itu
berpangkat tinggi, bijak bistari, cantik molek, kaya
raya, namun dia tetap taat dan merendah diri pada
suaminya. Suka berkhidmat, menyelesaikan masalah suami
(bukan membuat masalah) bahkan semua miliknya ditukar
geran menjadi milik mutlak suaminya. Lihat Sayidatina
Khadijah, Sayidatina Aisyah dan Siti Fatimah Az
Zahrah. Semua kekayaan, kepandaian dan jiwa raganya
dikorbankan untuk membantu perjuanga Rasulullah saw.
Siti Khadijah yang asalnya hartawan Quraisy, tetapi
setelah menjadi isteri Rasulullah saw, habis hartanya
diserahkan, untuk menyumbangkan pada agama Allah.
Hingga waktu wafat beliau, tempat tinggalnya hanya
satu bilik usang berpintu satu. Sayidatina Aisyah,
Ummul-Mukminin selaku pembantu kuat Rasulullah, turut
giat sama berjuang dengan mengorbankan segala
kebolehannya kepada perjuangan suaminya. Sesudah wafat
Rasulullah, dia bertindak selaku mahaguru kepada para
sahabat besar. Siti Fatimah binti Rasulullah adalah
isteri yang rela miskin dan bersusah payah untuk
Islam, pun begitu dia tetap dapat memberi senyum manis
pada suaminya.

Itulah ciri dan contoh wanita beriman. Wanita
beginilah yang mesti kita sediakan untuk
diperisterikan. Sifat wanita beginilah yang mesti kita
didik terhadap ahli keluarga kita. Agar rumahtangga
kita nanti dan generasi akan datang adalah syurga
kecil yang sementara, yang menjadi sumber tenaga buat
kita dan keturunan kita berjuang mendapatkan syurga
yang maha besar lagi kekal abadi di akhirat nanti.
 


 


1