Anda adalah pelawat yang ke:
 

Laman 6

Assalaamu'alaikum…..
 

 JADILAH  HAMBA ALLAH YANG BAIK

Memang fitrah setiap manusia cukup senang dan puas
hati kiranya ada orang memujinya seperti,
"Awak ni,  baiklah"  dan
sebagainya. Tetapi, bagimana pula kalau sebaliknya?
Tentu ramai yang tidak senang hati dan sekaligus
menganggap orang yang tidak memujinya itu adalah
musuhnya.

Nampaknya kebanyakan manusia hari ini terlalu ghairah
dan leka dengan pujian dan sanjungan sedangkan itu
semua merupakan satu jalan yang memudahkan seseorang
itu terjun ke neraka Allah swt. Wal iyazubillah.

Lebih parah lagi, ada di antara manusia hari ini
merasakan dirinya baik, malah lebih baik dan lebih
mulia daripada orang lain. Atas alasan dan perasaan
demikianlah mereka kini menilik kelemahan orang lain,
selalu menganalisa orang lain, selalu nampak kesalahan
orang dan selalu merasakan orang lain dalam dosa dan
noda. Alangkah tertipunya mereka yang bersikap
demikian tanpa mereka sedari rupa-rupanya sifat
sombong dan angkuh menguasai diri dan jiwa mereka. Ia
kini telah berjaya diperdayakan oleh nafsu ammarahnya.

Jalan yang selamat untuk menjaga amal ibadah yang
telah dilakukan sekian lama seperti sembahyang, puasa,
sedekah, menutup aurat dan sebagainya ialah dengan
memiliki sifat-sifat yang terpuji, umpamanya
seringkali merasakan diri bergelumang dengan dosa dan
maksiat, sering merasakan ia melakukan kesilapan dan
kesalahan samada sesama makhluk mahupun dengan Allah.

Sikap selalu menganalisa diri sendiri dan merenung
keaiban diri (muhasabah diri), itu adalah satu sikap
yang sewajarnya dimiliki oleh hamba-hamba Allah yang
cintakan Allah, yang kasihkan Rasulullah, yang
rindukan syurga Allah dan yang gerunkan neraka Allah
swt.

Jangan sekali-kali termasuk ke dalam golongan orang
yang mengaku dirinya sudah baik tetapi jadilah orang
yang bercita-cita untuk membuat kebaikan sebanyak yang
mungkin, selalulah merasakan diri tidak baik lagi dan
paling tidak sempurna amal dan tingkahlaku jika
dibandingkan dengan orang lain.

Untuk meningkatkan keimanan dan keyakinan pada Allah
swt dari satu waktu ke satu waktu, mengamati diri
adalah suatu perkara yang sangat bernilai dan penting
sekali. Kita sepatutnya seringkali mengukur sejauh
mana ketaatan yang telah kita lakukan terhadap Allah
dan dosa apakah yang kerapkali kita lakukan
terhadap-Nya. Bagi hamba Allah yang benar-benar waras
fikirannya ia jarang sekali menyalahkan orang lain
sekiranya ia dipersalahkan. Andainya ia benar-benar
bersalah ia akan bertaubat dan membuat perubahan diri,
sekiranya ia tidak bersalah ia berlapang dada dan
berkata kepada hati kecilnya, ;Tak
apalah,  ini ujian untukku dan mungkin ini suatu
penghapusan dosa buatku.;

Bagi orang yang rosak hatinya, sekiranya ia melakukan
kesalahan ia takut untuk mengatakan yang hak, ia tidak
mahu mengakui bahawa dirinya bersalah dan ia tetap
mempertahankan bahawa dirinya tidak pernah menyakiti
hati orang lain.

Ingatlah, hati yang tidak baik akan melahirkan
kelakuan yang buruk, ianya akan menjadi racun dalam
hidup dan membahayakan masyarakat serta alam sejagat.
Masalah hati tiada siapa yang tahu seperti kata
pepatah,  ;Dalam laut dapat diduga, dalam hati
siapa yang tahu.;

Yakinlah bagaimana pandainya manusia menutupi
kejahatan hatinya, lambat laun Allah akan menampakkan
juga apa yang tersimpan dalam lubuk hatinya.

Seseorang itu tidak layak mendapat gelaran hamba Allah
yang baik dan yang suci hatinya selagi ia:
1. Tidak mentaati titah perintah Allah
sungguh-sungguh..
2. Tidak meninggalkan larangan-larangan Allah
3. Tidak menghiasi diri dengan sifat-sifat terpuji.
4. Tidak mengikiskan diri daripada sifat-sifat
tercela.

Bercita-citalah kita untuk menjadi hamba yang baik
sesuai dengan tuntutan-Nya dan Rasul-Nya. Baik dari
segi amal dan kelakuan, baik hati dan halus tuturkata
sesama insan. Hendaklah berusaha sedaya upaya
menghapuskan penyakit hati yang merosakkan diri
seperti hasad dengki, pemarah, iri hati, jahat sangka
dan sebagainya. Beramallah semata-mata mengharapkan
redha Allah bukan untuk riak dan sombong.

Jagailah lidah kita daripada mengeluarkan tuturkata
yang dapat mencacatkan persahabatan dan tali
persaudaraan. Jagailah tuturkata agar ianya tidak
melukai hati orang lain. Ingatlah ;
tuturkata yang mengandungi racun yang berbisa seperti
melemparkan fitnah, memperli dan menyindir orang lain,
mencari-cari kesilapan orang lain untuk dijadikan
bahan yang membolehkan dirinya dapat mengambil
keuntungan dan publisiti di dalamnya, mestilah
dijauhi.

Firman Allah dalam Surah Fussilat ayat 46, maksudnya:

;Barangsiapa yang mengerjakan amal yang baik,
maka kebaikan itu untuk dirinya sendiri. Barangsiapa
yang berbuat jahat maka kejahatannya itu untuk dirinya
sendiri dan sekali-kali tidaklah Tuhanmu menganiayai
hambanya.;

Oleh itu, berazamlah kita semua termasuklah saya
sendiri untuk menjadi hamba Allah yang baik, yang
mulia di sisinya kelak,  dan bercita-citalah
mengatur langkah untuk terus memburu kasih sayang dan
redha Allah. Semoga Allah menerima kita semua sebagai
hamba-hambanya yang berhak mendapat kedudukan yang
mulia di sisi Nya kelak.
 
 


 
 

  JALAN KELUAR KEPADA MASALAH

Assalammualaikum......

Sebelum saya meneruskan perbincangan jalan keluar
kepada masalah ini, saya ingin mengambil kesempatan
masa yang sangat terhad ini meminta kepada semua
ahli-ahli yang telah meminta saya menyelesaikan
masalah mereka dapatlah kiranya anda semua merenung
dan muhasabah diri kita dan keluarga kita dengan
masalah yang kita hadapi sekarang dengan tajuk yang
saya bawa hari ini.

Sebagai contoh kenapa dan mengapa masalah itu timbul,
seperti keluarga berpecah belah, isteri tidak taat
suami, suami yang panas baran, ada ahli keluarga
kahwin lari, ada mengandung anak luar nikah dan seribu
satu macam masalah. Kalau kita hendak bincang isu ini,
satu hari tidak selesai jadi kesimpulannya jawapan
ringkas kepada masalah-masalah tuan-tuan dan puan-puan
semua ke atas email-email yang anda semua minta saya
selesaikan.

Setiap manusia termasuklah diri saya tidak boleh lari
daripada ujian. Samada dia rakyat biasa, atau
keturunan raja, orang bijak atau orang bodoh, orang
miskin ataupun kaya, beriman ataupun tidak beriman
dengan Allah, semuanya pasti diuji oleh Allah swt.

Ujian pula ada berbagai macam bentuknya. Ujian
kesusahan, kemiskinan, kesakitan, ketakutan, bencana
alam dan seribu satu macam lagi bentuk ujian yang
Allah swt datangkan pada kita. Ujian-ujian ini
semuanya menimbulkan masalah pada kita. Sebab itu bila
seseorang itu punya masalah, hakikatnya dia sedang
diuji oleh Allah swt. Bagi orang mukmin ujian adalah
merupakan khabar gembira buat mereka tetapi derita
bagi orang yang sebaliknya. Gembiranya orang mukmin
diuji kerana mereka faham dan yakin bahawa dengan
ujian itu Allah mahu menghapuskan dosa-dosa mereka.
Mereka gembira kerana dosa-dosa mereka akan disapu
bersih oleh Allah melalui sifat redha dan sabar mereka
dalam berhadapan dengan ujian. Dalam Al Quran surah Al
Imran Allah berfirman maksudnya:

;Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk
syurga padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang
berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang
yang sabar.;

Ganjaran bagi mereka yang sabar dengan ujian ini
adalah tidak terkira banyaknya sepertimana firman
Allah yang bermaksud:

;Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan
pahala tanpa hisab.;

Allah memberi kita peluang untuk dapatkan pahala sabar
yang tidak terkira banyaknya ini hanya melalui ujian
yang sebenar yang Allah datangkan pada kita. Betapa
pemurahnya Allah! Ujian yang sebentar itu Allah bayar
dengan Syurga yang kekal abadi. Kita tanggung
kesusahan dan penderitaan hanya sekejap sedang
gantinya adalah nikmat yang kekal.

Kalau begitu soalnya mengapa dan kenapa kita tidak
boleh sabar? Atau sengaja tidak mahu sabar? Siapakah
kita hendak berani memberontak dengan Allah?
Keluh-kesah, merungut-rungut, mengadu-ngadu,
gundah-gulana dan merapu-rapu bila diuji oleh Allah.

Mengapa dan kenapa begitu berani kita demonstrasi
dengan Allah sedangkan asal kita adalah dari setitik
air mani yang hanyir. Yang kalau Allah tidak mahu
jadikan kita sebagai manusia sempurna maka cacatlah
kita atau jika Allah tidak mahu jadilah kita maka
tiadalah kita.

Begitulah lemahnya kita dan tidak ada apa pun istimewa
kita ini untuk dilihat oleh Allah melainkan jika kita
bertaqwa di sisi Allah. Firman Allah swt yang
bermaksud:

;Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi
Allah itu ialah orang yang paling bertaqwa.;

Justeru itu, marilah kita usahakan sungguh-sungguh
agar kita dikurniakan oleh Allah dengan sifat taqwa.
Hingga kita boleh rasa terhibur dengan ujian. Bahkan
rasa bimbang dan risau pula jika Allah tak datangkan
ujian kerana takut-takut itu merupakan kutukan Allah
ke atas kita. Allah kutuk kerana buruknya akhlak kita,
derhakanya kita dan kurang ajarnya kita kepada Allah.

Inilah yang menyebabkan para muqarrobin menangis.
Inilah yang menyebabkan mereka boleh berbuat baik jika
orang berbuat jahat terhadap mereka. Para ahlillah
tidak nampak orang yang menyusahkan mereka, tetapi
yang dia nampak adalah af'al ataupun perbuatan
Allah.

Tidak hairanlah jika Hassan Al Basri boleh memberi
hadiah kepada tiap-tiap orang yang mengumpatnya. Bila
ditanya orang,  ;Kenapa kamu berbuat
demikian?;

Dijawabnya, ;Allah mahu aku ganjaran Syurga
dengan umpatan mereka. Pahala kebaikan mereka
diberikan padaku dan kejahatan aku mereka ambil, maka
salahkah aku jika kubalas dengan pemberian yang
sekecil ini?;

Begitu pandangan tembus orang soleh. Mereka nampak
yang tersirat, bukan hanya yang tersurat. Pandangan
mereka jauh menjangkau ke alam Akhirat, alam yang
tidak nampak dan tidak boleh dilihat, tetapi bagi
mereka, seakan telah dilihat. Allah berikan kepada
mereka hasil dari sifat taqwa mereka. Ini membuktikan
jika kita dapat mencapai tahap taqwa, nantinya Allah
akan kurniakan ilmu pada kita. Ilmu dari Allah
sebagaimana penegasan Allah dalam Al Quran:

;Bertaqwalah nescaya Allah akan mengajar
kamu.;

Alhasil, bilamana kita bertaqwa kepada Allah semua
masalah akan selesai. Bila diuji kita akan sabar. Apa
sahaja ketentuan Allah kita akan terima dengan redha.
Nikmat yang Allah kurniakan pada kita akan kita
syukuri dan kemuncak dari itu semua ialah pertolongan
dan bantuan daripada Allah yang tidak putus-putusnya.
Firman Allah yang bermaksud:

;Dan Allah menjadi pembela orang-orang yang
bertaqwa.;
 


 
 

 JALAN KELUAR PERMASALAHAN ANAK ZINA
 

Allah telah menetapkan hukum rotan 100 kali bagi
penzina lelaki dan wanita yang belum berkahwin;
direjam sampai mati bagi penzina lelaki dan wanita
yang sudah berkahwin.

Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, dan setiap
ketentuan-Nya sangat bertepatan dengan keadaan makhluk
ciptaan-Nya. Bagitu juga ketentuan Allah dalam
menghukum pada penzina. Meskipun kelihatan berat
tetapi hukuman tersebut sangat padan dengan perbuatan
mereka.

Sememangnya hukuman yang berat bagi para penzina dapat
mencegah masyarakat daripada melakukan zina dan secara
tidak langsung ia dapat mencegah kelahiran anak-anak
zina, kerana hukuman tersebut dapat memberi pengajaran
kepada yang melakukannya dan kepada yang
menyaksikannya.

Namun, sekiranya pemerintah melaksanakan hukuman
tersebut hanya semata-mata untuk mengugut maka hasil
yang positif akan gagal dicapai. Zina akan tetap
berterusan berlaku kerana hati mereka tiada rasa takut
terhadap Allah untuk mencegah diri daripada melakukan
perbuatan mungkar. Mereka rasa dapat menyembunyikannya
daripada penglihatan manusia dan penglihatan Allah.
Sekaligus mereka merasa dapat lari daripada hukuman
manusia dan dapat lari daripada hukuman Allah. Nafsu
pula tidak dapat ditundukkan kerana pendedahan aurat
berleluasa di kalangan wanita. Akibatnya ramailah yang
akan dirotan dan direjam kerana suasana sekeliling
sangat mendorong nafsu untuk berbuat jahat.

Lihat saja apa yang berlaku di Arab Saudi.
Undang-undang sahaja tidak dapat mencegah rakyatnya
daripada melakukan kemungkaran. pemakaian purdah hanya
dipatuhi oleh kaum wanitanya apabila berada di dalam
negeri. Apabila kaki melangkah ke luar negara maka
mereka akan membukanya dan menggantikannya dengan
pakaian yang menjolok mata.

Pemerintah Saudi hanya semata-mata mengugut rakyat
dengan hukuman yang berat. Akibatnya, jenayah di Arab
Saudi makin meningkat dari hari ke hari. Sebahagian
kecil pelancung rasa tidak selamat apabila berada di
Arab Saudi termasuk orang-orang yang mengerjakan haji
dan umrah. Kaum wanita takut untuk keluar
berjalan-jalan, meskipun ada muhram di sisi mereka
kerana pernah berlaku perbuatan menculik dan melarikan
kaum wanita. Lebih sulit lagi untuk menjaga
keselamatan wang ringgit, kerana seringkali belaku
kecurian wang, harta yang disimpan dalam tali pinggang
pun dapat dicuri.

Hal ini memperjelaskan bahawa untuk mencegah dari
berlakunya zina dan lahirnya anak zina, bukan hanya
mengugut rakyat dengan hukuman. Setiap individu dalam
masyarakat perlu dididik dengan iman dan taqwa.

Orang Mukmin yang bertaqwa dapat memelihara diri
daripada melakukan mungkar walaupun tanpa diawasi oleh
pegawai-pegawai pencegah maksiat. Bagi mereka cukuplah
Allah sebagai pengawal diri. Hati mereka sentiasa
merasa takut kepada Allah dan sentiasa merasai Allah
memerhati di mana saja mereka berada. Dosa yang kecil
mereka rasakan bagai gunung besar yang menghempap
seperti kisah seorang Sahabat yang telah ternampak
aurat isteri temannya secara tidak sengaja sewaktu
pulang dari musafir. Walaupun perbuatan tersebut tidak
sengaja tetapi Sahabat itu merasai beliau telah
mengkhianati amanat temannya untuk menjaga isterinya.
Beliau merasa telah melakukan dosa yang amat besar,
lalu beliau melarikan diri dari masyarakat dan
bertaubat bersungguh-sungguh.

Tanpa individu-individu mukmin yang bertaqwa, jangn
mimpi untuk melihat wujudnya suasana seperti kisah
Sahabat tadi dan seribu satu macam lagi kisah
peribadi-peribadi yang mulia.

Bahkan perempuan-perempuan yang diamanahkan kepada
mereka yang tidak bertaqwa ini, bukannya dipelihara
keselamatnnya tetapi mereka akan mengambil peluang
untuk memuaskan nafsu. Harapkan pagar, pagar makan
padi.

Untuk mewujudkan suasana yang harmoni tadi, paling
tidak pemimpin dalam sebuah masyarakat atau dalam
sebuah negara mestilah terdiri dari orang yang
bertaqwa dan rakyatnya majoriti terdiri daripada
orang-orang soleh.

Kaedah Rasulullah mencegah kemungkaran sangat baik
dicontohi oleh pemerintah hari ini. Rasulullah sangat
tegas dalam melaksanakan hukuman Allah ke atas
pesalah-pesalah, dan baginda juga sangat
bersungguh-sungguh dalam mendidik masyarakat. Baginda
pernah berkata, sekiranya anaknya Siti Fatimah yang
mencuri nascaya turut dipotong tangannya. Ketegasan
baginda dalam melaksanakan hukuman sangat jelas tetapi
baginda juga sangat gigih mendidik masyarakat dengan
peribadi yang mulia. Firman Allah swt yang maksudnya:

;Tidak Aku utuskan engkau (wahai Muhammada)
melainkan untuk membawa rahmat kepada alam.;

Firman Allah swt lagi:

;Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak
yang agung.;

Langkah-langkah perjuangan Rasulullah inilah yang
mesti umat Islam jejaki supaya Islam dapat
diperjuangkan mengikut kaedah yang tepat.

Individu-individu dalam masyarakat yang telah dididik
dengan iman dan taqwa tidak memerlukan lagi
pegawai-pegawai pencegah maksiat kerana sesiapa yang
melakukan kesalahan akan datang menyerah diri seperti
seorang wanita yang datang menyerah diri kepada
Rasulullah untuk dihukum kerana berzina. Rasulullah
tidak terus menghukumnya tetapi menyiasat terlebih
dahulu. Hukuman dijatuhkan setelah wanita tersebut
mengaku di hadapan Rasulullah sebanyak tiga kali..

Hanya dengan menggunakan kaedah kepimpinan dan didikan
Rasulullah saw, masalah zina dan anak zina dapat
diselesaikan.
 


 
 

         KENAPA LAHIRNYA ANAK LUAR NIKAH?

Kalau orang sebut, si polan itu anak luar nikah,
terasa satu perasaan malu dan ngeri pada tanggapan si
pendengar. Malu dan ngeri kerana ia satu hal yang
bercanggah dengan norma hidup masyarakat Melayu.

Bagi orang Melayu yang walaupun Islamnya lemah,
memiliki anak luar nikah adalah sesuatu yang hina dan
memalukan. tapi bagi masyarakat Barat, memiliki anak
luar nikah sudah jadi perkara lumrah.

Bahkan di barat, anak-anak luar nikah mendapat
perhatian dan diberi sara hidup. Justeru itu tak
hairan kalau masyarakat Barat lebih suka
bersekedudukan dari kahwin.

Bagaimana boleh lahirnya anak luar nikah? Si anak
tidak pernah minta dilahirkan dalam kedudukan
demikian. Bahkan dia merasa malu dan rendah diri bila
mengetahui dirinya anak luar nikah. Sebab-sebab
lahirnya anak luar nikah ialah:

Kes Zina

Zina ini berlaku disebabkan oleh banyak faktor.
Antaranya:
1. Pergaulan bebas antara lelaki perempuan.
2. Pendedahan aurat di kalangan wanita, termasuklah
berpakaian yang menjolok mata sehingga merangsang
nafsu lelaki
3. Peranan media massa. Pendedahan filem-filem yang
melakonkan babak percintaan, filem-filem VCD lucah,
adegan ranjang, penampilan artis yang seksi,
iklan-iklan yang mengeksploitasi tubuh-tubuh wanita
juga menjadi rasngsangan untuk penonton meniru apa
yang mereka lihat.

Mangsa Rogol

Perkahwinan Yang Tidak Sah

Ini terjadi disebabkan:
a. Saksi yang fasiq
b. Wali yang tidak sah
Misalnya bapa angkat mewalikan anak angkat atau bapa
yang mewalikan anak zina, sama ada anak itu dari darah
dagingnya atau daripada orang lain.
c. Perkahwinan antara orang islam dengan pasangan yang
bukan Islam. Walaupun ada negara umat Islam yang
mengiktiraf perkahwinan seumpama ini, tetapi ia jelas
tidak sah.

Suami Isteri Yang Tinggal Bersama Selepas Talaq
Pergaulan setelah talaq adalah zina. Dan anak-anak
yang dilahirkan itu anak Haram.

Isteri Yang Curang ; Mengandungkan Anak Orang
Lain Walaupun Mempunyai Suami Yang Sah.
Suami mungkin menjadi wali pada si anak kerana tidak
tahu kedudukan yang sebenarnya. Akibatnya seluruh
pergaulan si anak dengan pasangannya selepas kahwin
dikira zina.

Bersededudukan

Terjadi bersekedudukan antara orang Islam dengan bukan
Islam, atau antara Islam dengan Islam, mungkin
disebabkan pengaruh budaya Barat yang menghalalkan
bersekedudukan. Atau mungkin juga kerana tidak dapat
berkahwin kerana tidak mampu menyediakan belanja yang
banyak untuk majlis perkahwinan dan hantaran kahwin
yang tinggi.

Itulah antara sebab-sebab lahirnya anak luar nikah
dalam masyarakat. Biar apapun sebabnya, punca sebenar
ialah kerana jahil tentang agama dan lemahnya iman.

Kejahilan dan lemahnya iman disebabkan ulama-ulama
sudah tidak berperanan dan tidak bersungguh-sungguh
mengajar dan mendidik masyarakat. Undang-undang saja
tidak cukup untuk menghalang manusia daripada
melakukan kesalahan. Denda ke atas pengedar dadah,
hukuman gantung sampai mati, itu pun tidak dapat
menghalang orang daripada terus mengedar dadah, inikan
pula kalau denda zina lebih murah daripada denda buang
sampah.
 
 

KERANA ISTERI, SUAMI SAKIT JIWA?

Allah menjadikan Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam
untuk menjadi penghibur setia Nabi Adam di dalam
syurga. Siti Kadijah banyak membantu dalam menyuburkan
jiwa dan memberi semangat kepada Rasulullah pada masa
awal Islam mula disebarkan ke tengah masyarakat.
Kewafatan Siti Khadijah dirasakan sebagai kehilangan
besar bagi baginda, sehinggakan tahun kewafatan Siti
Khadijah dinamakan tahun dukacita.
Demikian peranan isteri sebagai pemulih semangat
suami. Bahkan isterilah satu-satunya tempat berhibur
suami yang dihalalkan oleh Allah..

Lihatlah betapa bahagianya para sahabat dahulu kala;
walaupun letih berjuang tetapi apabila balik ke rumah,
isteri menyambut kepulangan mereka dengan senyum
manis.

Pernah Sayidina Ali yang baru pulang dari medan
pertempuran dan mengharungi padang pasir dengan segala
kepayahan dan keletihan, terasa segar apabila
kepulangannya disambut dengan senyuman oleh siti
Fatimah. Walhal kalau dikaji sejarah kehidupan
Sayidina Ali dan Siti Fatimah merekalah antara
pasangan suami yang paling miskin. Siti Fatimah
seringkali ditinggalkan berbulan-bulan oleh Sayidina
Ali yang sering keluar berjuang. Biasanya dia
ditinggalkan tanpa barang keperluan dapur yang
mencukupi. Namun sedikit pun Siti Fatimah tidak
merungut, apalagi untuk marahkan suaminya. Bahkan
beliau berusaha sendiri menguruskan keperluan
rumahtangganya. Namun anak kesayangan Rasulullah saw
ini, yang tebal iman di hatinya, masih mempu
melemparkan senyuman manis menyambut kepulangan
suaminya.

Para isteri-isteri mestilah memainkan peranan penting
dalam pembentukan jiwa suami. Isteri yang terlalu
banyak membuat masalah kepada suami akan menghalang
tugas seharian suaminya. Bahkan ada kemingkinan suami
mengalami sakit jiwa.

Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan lebih 72%
daripada jumlah pesakit otak terdiri daripada kaum
lelaki. Pakar-pakar perubatan, dalam kajian mereka
mendapati bahawa salah satu punca utama suami sakit
jiwa ialah kerana isterinya terlalu mendesak suami
menyediakan segala bentuk kemewahan walaupun di luar
kemampuan suami. Kepulangan suami dari pejabat atau
dari tempat kerja tidak disambut dengan layanan mesra,
bahkan belum pun sempat suami meletakkan punggung dia
telah diserang dengan pertanyaan demi pertanyaan.
Selagi suami tidak menunaikan permintaannya, selagi
itulah isteri akan mendesak si suami.

Menurut laporan dari Penasihat Persatuan
Pesakit-pesakit Jiwa Pulau Pinang, kebanyakan lelaki
yang sakit jiwa adalah mereka yang sering berhadapan
dengan ragam isteri yang gilakan kemewahan. Tidak
kurang juga yang menderita sakit jiwa kerana isteri
tidak dapat menerima hakikat poligami (bagi yang
berpoligami). Begitulah amat berkesannya jarum yang
dicucuk oleh para isteri sehingga menyebabkan suami
menderita.

Pada umumnya ada dua punca utama suami sakit jiwa.
Pertama, kerana kelemahan suami itu sendiri dan Kedua,
kerana ragam isteri.

Allah telah menetapkan lelaki (suami) sebagai pemimpin
bagi kaum wanita. Sebagai pemimpin, dia berhak membuat
keputusan dan wanita (isteri) mahu tidak mahu mesti
mentaati keputusan itu walaupun bertentangan dengan
kehendaknya. Sekiranya suami tegas mengikut kehendak
syariat di samping berusaha mendidik isteri,
insyaAllah tidak berlaku kes isteri mendesak-desak
suami, apatah lagi mengarah-arahkan suami mengikut
kehendaknya.

Bagi pihak isteri pula, sekiranya dia mengetahui
peranannya yang sebenar, maka tidak mungkin dia akan
queen-control suaminya. Walaupun isteri mempunyai hak
dalam rumahtangga tetapi hak tersebut ada batasnya.

Di antara hak yang wajib isteri laksanakan:

; Mentaati perintah suami (yang tidak
bertentangan dengan syariat).
; Sentiasa malu terhadap suami dan
menghormatkannya.
; Diam tatkala suami sedang bercakap.
; Merasa cukup dengan pemberian suami walaupun
sedikit.
; Tidak meminta-minta sesuatu yang di luar
kemampuan suami termasuk perhiasan atau perabot yang
mahal-mahal.
; Sentiasa berhias tatkala berhadapan dengan
suami.
; Tidak keluar rumah tanpa izin suami.
; Menghormati keluarga suami dan kaum
kerabatnya.
; Sentiasa melayan keinginan suami untuk
bergurau senda.

Demikianlah antara kewajipan isteri, Jika para isteri
dapat melaksanakannya, insyaAllah tidak timbul masalah
yang menyusahkan suami. Sabarnya seorang isteri di
dunia akan Allah gantikan dengan ganjaran pahala dan
balasan syurga di akhirat kelak.

Sekiranya isteri boleh berlebih kurang dengan haknya,
kerana suami tidak mampu menyediakan segala keperluan
rumahtangga, alangkah bahagianya kehidupan mereka.
Isteri yang begini akan merasa cukup dengan pemberian
suaminya malah menghargai sungguh-sungguh segala
pemberian suami. Sehingga dengan itu akan terasalah
oleh suami, isterilah penghibur dan penyubur jiwa. Di
dunia lagi pasangan suami isteri yang begini telah
merasai syurga yang disegerakan,  sebelum
menikmati syurga yang kekal abadi di akhirat kelak,
insyaAllah.
 


 


 


1
1