SEKAPUR SIREH   DAN  PRAKATA
 

AssalaAmu'alaikum.....
 

SEKAPUR SIREH

Dunia terus dalam kebuntuan. Hingga kini para pemimpin
dan pemikir masyarakat masih tercari-cari formula
keramat yang dapat menyelesaikan masalah dan penyakit
masyarakat hari ini. Jalan penyelesaian melalui
isme-isme atau ideologi ciptaan manusia ternyata
gagal. Bahkan ia menyebabkan dunia tidak pernah aman
daripada persengketaan, krises, pertumpahan darah dan
peperangan.

Kebuntuan ini perlu dipecahkan segera agar terserlah
kemampuan Islam sebagai agama yang benar-benar dapat
membawa keselamatan hidup di dunia dan Akhirat. Memang
Islam telah menunjuk jalan keluar yang mudah dan
praktis bagi segala masalah dan penyakit masyarakat,
bagi setiap zaman. tetapi sikap umat Islam sendirilah
yang menyebabkan jalan keluar itu hampir-hampir
mustahil dapat direntang, atau kalau dapat pun dalam
bentuk yang kabur dan sukar dilalui.

Semoga pendapat saya dalam artikel ini dapat
menjelaskan bagaimana sikap umat Islam sepatutnya
dalam menghadapi segala permasalahan hidup, baik
sebagai individu biasa, sebagai pemimpin masyarakat
atau sebagai pejuang Islam. Sekaligus dapat mengungkai
punca dan memberi jalan penyelesaiaan kepada segala
masalah dan penyakit masyarakat hari ini.

InsyaAllah, pembaca juga akan dapat menyelami kaedah
pendidikan hati, doktrin-doktrin perjuangan, panduan
dalam kepimpinan dan pentadbiran, serta hikmah-hikmah
dalam mengadakan jalan penyelesaian kepada masalah
masyarakat dan negara.

Fikrah ini disampaikan dalam bentuk yang mudah
difahami dan mudah dijadikan amalan dalam
menyelesaikan masalah hidup sama ada di peringkat
diri, keluarga, masyarakat atau negara.

Fikrah ini telah terbukti berjaya mencetuskan
perubahan dalam diri yang kemudiannya memancar dalam
tindakan secara lunak dan perlahan-lahan, peringkat
demi peringkat dalam suasana aman dan tenang hingga
Islam diterima sebagai cara hidup yang paling
sempurna.

Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada puan
Noorainy bte Md. Yusoff  kerana sudi membina laman web ini.
Semoga para pembaca mendapat manafaat dari laman web
yang dibina ini. Semoga Allah swt membalas jasa
beliau, baik semasa di dunia ini mahu pun di Akhirat
nanti.

Sekian, wassalam.

Dr Ikmal
 


 

 PRAKATA

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha
Penyayang. Segala puji bagi Allah swt, Tuhan seluruh
sekelian alam yang telah menjadikan langit dan bumi
dan segala sesuatu yang terletak di antara keduanya.
Selawat dan salam ditujukan kepada Rasulullah saw,
keluarga-keluarga serta para sahabat baginda yang
telah gigih menyampaikan dan memperjuangkan Islam.

Sedang berlaku di depan mata kita kini
penyakit-penyakit putus asa, kecewa, resah gelisah,
penderitaan jiwa, kacau bilau fikiran, rendah diri
(inferiority complex), kesunyian, kekosongan hati,
rasa keseorangan (loneliness), ketegangan perasaan dan
lain-lain bentuk sakit jiwa. Dan sedang berleluasa
juga di dalam masyarakat Islam hari ini
penyakit-penyakit hasad dengki, bakhil, gila dunia,
dendam, cepat marah, jahat sangka, tamak, mementingkan
diri sendiri, mudah takut, sombong, riak, ujub dan
lain-lain.

Walaupun sakitnya tidak nampak oleh mata kasar kita,
siapa berani menafikan hakikat ini? Bahawa bilangan
orang-orang yang menderita sakit (krisis) jiwa saat
ini lebih ramai daripada bilangan penderita-penderita
sakit fizikal yang ada di hospital-hospital. Tetapi
aneh, kepakaran dan keintelektual tidak terlalu serius
memikirkan pengubatan kepada pesakit batin sepertimana
seriusnya mereka terhadap pengubatan fizikal lahiriah
manusia.

Apakah mereka tidak sedar bahawa pesakit jantung, buah
pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain itu tidak
pernah bunuh diri dan membunuh orang lain? Tetapi
pesakit-pesakit batin, pesakit jiwa, kekosongan,
rendah diri, putus asa, hasad dengki, dendam, pemarah,
buruk sangka dan lain-lain itu akan memungkinkan
manusia membunuh diri sendiri atau membunuh orang
lain?

Demikian satu bukti bahawa penyakit-penyakit batin itu
sebenarnya memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih
serius daripada rawatan kepada penyakit-penyakit
lahir.

Bukan sahaja kerana penyakit batin lebih menyeksakan
individu pesakit, tetapi ia bakal memungkinkan kusut
dan kucar-kacirnya sesebuah masyarakat.

Telah datang Nabi Muhammad saw ketengah manusia.
baginda melihat kekusutan dan kemungkaran yang sedang
meracuni kehidupan masyarakatnya.

Seorang diri baginda bangun dan bekerja untuk
menyelamatkan manusia. Institusi pertama yang baginda
bangunkan ialah masjid, satu tempat di mana manusia
membersihkan hatinya, melembutkan hatinya, menenangkan
hatinya, melapangkan dadanya, membebaskan diri dari
ikatan dunianya, iaitu dengan membesarkan Tuhannya
melalui sembahyang dan ibadah-ibadah lain.

Rasulullah memandang keselamatan manusia ialah
keselamatan hatinya (rohnya) bukan jasad lahirnya.
Sebab itu baginda bekerja mengubah dan mengubat hati
mereka dan baginda berjaya.

Kita kini sedang melihat kekusutan dalam masyarakat
kita sama sebagaimana apa yang disaksikan oleh baginda
Rasul lebih 1400 tahun dulu. Kalau baginda telah
berjaya terhadap masyarakatnya mengapa kita tidak
mengikut jejak langkahnya?

Kita ubati dulu mazmumah dan krisis jiwa kita dan
masyarakat kita. Kita ketengahkan pada masyarakat
pengertian hidup yang hakiki yang dapat mengembalikan
manusia pada fitrahnya.

Kita contohkan satu formula yang menjamin kebahagian
hati dan keselamatannya. Kita pejuangkan kehidupan
“Sunnah” yang semuanya membawa manusia kepada syurga
dunia dan akhirat.

Mana ada selain Islam satu cara hidup yang dapat
menjadikan kita terhibur dengan kemiskinan, kesunyian,
kesakitan, keseorangan, kamatian orang yang dikasihi,
kegagalan dan dengan segala bentuk ujian.

Mana ada selain cara hidup yang mengikat hati suami
isteri, anak dengan ibu bapa, pengikut dengan
pemimpin, pekerja dengan majikan? Mana ada selain
Islam cara hidup yang mengajar kita berkasih sayang,
bertolak ansur, pemurah, baik sangka dan tolong
menolong. Mana ada selain Islam cara hidup yang
membangkitkan cinta agung manusia pada penciptanya
hingga kerana itu manusia mengorbankan hidupnya untuk
Tuhannya dan menanti kematian sebagai penantian
seorang kekasih kepada pertemuan dengan kekasihnya.

Islam mengajak kita menilik hati kita, mengenalinya
dan mengubat sakitnya. Apabila hati sudah terubat,
saudara saudari akan temui hati-hati saudara saudari
penuh dengan “cahaya” kebahagiaan, ketenangan dan
kelapangan. Dan itulah syurga sementara sebelum
saudara bertemu Allah untuk menerima syurga yang kekal
abadi.

Artikel dalam laman web ini memandu saya dan saudara
saudari untuk melegakan krisis jiwa, ketegangan
fikiran dan kejahatan batin kita. InsyaAllah.
Mudah-mudahan kita akan perolehi keselamatan dan
kebahagiaan hidup sebagaimana yang Allah janjikan.

Dengan berkat kebesaran-Mu ya Allah, Nabi dan Rasul-Mu
Muhammad saw serta keluarga dan sahabat baginda,
wali-wali-Mu, jadikanlah, ya Allah laman web ini
sebagai ubat pada jiwa kami dan selamatkan hati-hati
kami sebagaimana keselamatan yang Engkau maksudkan
dalam firman-Mu:

“Hari kiamat iaitu hari (ketika manusia meninggalkan
dunia ini) di mana harta dan anak tidak berguna lagi
kecuali mereka yang mengadap Allah membawa hati yang
selamat.”

“Ya Allah, terimalah amalanku ini sebagai amal soleh
dan pahalanya ku hadiahkan kepada ayahanda dan bonda
serta guru-guruku yang tercinta. Dan ya Allah, dengan
laman web ini, jadikan kami cinta pada-Mu dan agama-Mu
dan lebih gigih berjuang untuk menegakkan kalimah-Mu.”

Wabillaahitaufik

Sekian, wassalam.

Hamba yang mengharapkan keampunan Tuhan:

Dr Ikmal
 


 


 









1