Ulasan Review |
. | . |
Judul : Contact
Arahan : Robert Zemeckis
Lakonlayar : Michael Goldenberg & James V. Hart
Pelakon : Jodie Foster, John Hurt, Tom Skerrit, William Fichtner, Angela Bassett, Matthew
McConaughey, James Woods, dll.
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B
Bagi sebahagian besar pembikin filem Hollywood, filem-filem sains fiksyen selalu diberikan tafsiran mudah. Disinonimkan dengan kemunculan makhluk aneh, kemusnahan, ledakan dan segala kebisingan. Hingga sebahagian besarnya menjadi begitu stereotaip. Kerana itu, filem-filem sains fiksyen menjadi genre filem yang sering disamakan dengan disaster movies.
Fiksyen sains adaleh genre filem yang menarik dan mempunyai pengertian yang tersendiri. Dalam filem fiksyen sains, ilmu dan teknologi adalah dasarnya. Sebab itu Robert Zemeckis mahu melihat kemungkinan yang lebih serius dalam filem ini. Dia tidak mahu filemnya besar tetapi kosong dari segi subjeknya.
Hanya dipenuhi dengan makhluk aneh, kemusnahan yang membingitkan atau sekadar pesta spesial efek. Dengan berdasarkan buku yang ditulis oleh ahli astronomer terkenal, Carl Sagan, Robert Zemeckis cuba melihat kemungkinan lain yang menarik pada cakerawala yang luas terbentang tetapi penuh misteri.
Filem ini mengesahkan tentang obsesi seorang saintis dan astronomer wanita Dr. Ellie Arroway (Jodie Foster) yang yakin ada kehidupan lain di planet lain. Dia meminati sains sejak berusia lapan tahun bila dia selalu berkomunikasi melalui radio gelombang pendek. Melalui gelombang bunyi yang disalurkan ke radio melalui sejumlah satelit gergasi, Dr. Ellie yakin ada kehidupan di bintang Vega, yang jauhnya dari bumi ialah 26 tahun perjalanan dengan kelajuan melebihi kelajuan cahaya.
Siapa yang mahu berkongsi impian Dr. Ellie kecuali teman saintisnya Kent Clark (William Fichner) yang buta? Dia dicemuh dan diragui, malah keyakinan agamanya dipersoalkan oleh teman rapatnya sendiri Palmer Joss (Matthew McConaughey) yang juga penasihat kerohanian Presiden.
Mujur seorang hartawan S. R. Hadden (John Hurt) meyakini idea Ellie.Tetapi kalau benar, ia adalah penemuan yang akan membuka harapan baru atau kemungkinan lain yang menarik. Ramai yang cemas dan merasa tergugat dengan penemuan Dr. Ellie.
Berdasarkan tafsiran matematik terhadap signal yang dikatakan dihantar oleh makhluk luar, para saintis Amerika mencipta pesawat yang berupaya terbang melampaui kelajuan cahaya. Percubaan pertama yang membawa David Drumlin (Tom Skeritt) gagal kerana pesawat itu diletupkan oleh seorang pelampau agama.
Percubaan kedua membawa Dr. Ellie menimbulkan banyak tandatanya dan mencipta kontroversial hingga kemudiannya dia dibicarakan. Benarkah perjalanan Dr. Ellie berjaya meneroka angkasa raya dengan melampaui zon masa? Atau sebenarnya dia berada dalam halusinasi akibat obsesinya yang melampau? Atau mengikut dakwaan para pemerhati pelancaran kedua pesawat itu gagal dan Dr. Ellie tidak kemana-mana? Persoalan itu membawa debat yang menarik antara keyakinan dan skeptisma.
Contact berbeza dari filem-filem fiksyen sains lainnya yang selalunya dipenuhi sensasi. Benar filem ini juga bergantung pada spesial efek tetapi spesial efek yang ditampilkan mempunyai kewajaran dan dihasilkan dengan begitu baik sekali. Sungguhpun sebahagian spesial efek yang dicipta oleh Zemeckis adalah pengulangan efek yang pernah dilakukannya dalam filem Forest Gump dahulu.
Mungkin sebahagian plot filem ini boleh dipersoalkan kewajarannya. Seorang pelampau agama tidak mungkin dengan mudah dapat menyusup masuk kedalam pesawat yang dikawal begitu rapi.
Tetapi sebagai sebuah filem fiksyen sains, Contact mencabar dan menarik, di mana persoalan sains dihujahkan secara meyakinkan. Bukan itu sahaja kekuatan filem ini juga sebenarnya banyak dibantu oleh kekuatan lakonan para pelakonnya, terutama sekali lakonan Jodie Foster sebagai Dr. Ellie yang cukup bertenaga.
Sumber : Utusan Online 7/11/1997
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |