Ulasan Review |
. | . |
Judul : Coyote Ugly
Arahan : David McNally
Lakonlayar : Gina Wendkos
Pelakon : Piper Perabo, Izabella Miko, Bridget Moynahan, Tyra Banks,
Adam Garcia dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Inilah filem untuk menjual mimpi dan fantasi. Dari kilangnya Hollywood akan menjual fantasi dan selalu akan mengulang formula yang telah menjanjikan kejayaan yang lalu. Ingat filem Saturday Night Fever (1977) arahan John Badham dan filem Flashdance (1983) arahan Adrian Lyne?
Kedua-dua filem ini bukanlah filem-filem klasik yang dikagumi kerana nilai artistiknya tetapi bertanggungjawab membawa trend semasa dalam budaya pop.
Saturday Night Fever bukan sahaja memperkenalkan John Travolta, tetapi muzik filem ini yang dihasilkan oleh Kumpulan Bee Gees bertanggungjawab mencipta standard muzik disko yang begitu popular dalam era tersebut. Watak John Travolta dalam filem tersebut adalah seorang buruh di siang hari tetapi berjaya memenuhi fantasinya dengan kehebatannya di gelanggang tarian disko-disko di New York.
Manakala filem Flashdance yang digerakkan oleh muzik rock 'n' roll yang begitu bertenaga dan teknik fotografi serta suntingan ala MTV itu berjaya membawa era musik 1980-an serta fantasi para gadis remaja dekad itu. Kedua-dua filem ini telah menjadi cermin zaman 1970-an dan 1980-an.
Watak-wataknya harus bergelut dengan kegetiran hidup di kota tetapi berjaya memenuhi fantasi dan impian di waktu yang lain. Bukankah ini merupakan fantasi ramai anak muda.
Sungguhpun realiti pembikinan filem hari ini sudah jauh berbeza tetapi Hollywood juga tidak akan membiarkan formula dan fantasi yang pernah membuai mimpi ramai orang itu berlalu begitu sahaja tanpa mengulanginya apabila berkesempatan atau apabila mereka kesempitan idea asli untuk menghasilkan cerita filem.
Formula dan impian inilah yang mahu dikembalikan di dalam Coyote Ugly. Coyote Ugly filem arahan pertama David McNally dari lakon layar Gina Wendkos ini mengisahkan Violet Sanford (Piper Perabo) seorang gadis manis yang bekerja sebagai pelayan di restoran pizza di New Jersey mempunyai cita-cita untuk menjadi penggubah lagu yang terkenal.
Cita-citanya telah membawa Violet ke New York, tetapi New York bukanlah sebuah kota yang mudah bersimpati dengan gadis sebaik dan senaif Violet. Lagu-lagu ciptaanya dengan irama seperti Alanis Morissettes ditolak dan Violet tidak mempunyai pilihan lain melainkan mempersembahkannya sendiri. Masalahnya Violet mempunyai perasaan gementar untuk setiap kali menyanyikannya di atas pentas.
Untuk terus hidup dalam kegetiran di New York, Violet terpaksa bekerja disebuah bar Coyote Ugly sebagai pelayan bar dan penari yang menari di atas meja. Di situ dia bertemu dengan pelayan dan penari lainnya seperti Cammie (Izabella Miko), Rachel (Bridget Moynahan) dan Zoe (Tyra Banks). Mereka akan menuangkan minuman sambil membuat tarian erotik di hadapan pengunjung bar tersebut.
Violet mengingatkan kita pada watak yang dibawakan oleh Jennifer Beals dalam Flashdance yang terpaksa menempuh kegetiran hidup di kota yang keras untuk mencapai cita-cita dan impian peribadi. Violet seorang yang kelihatan pemalu tetapi hilang malunya apabila di atas pentas.
Mengapa Violet bersifat sedemikian? Violet hampir kecewa untuk mengejar cita-citanya, tetapi dia dicabar pula oleh teman lelakinya Kevin O' Donnell (Adam Garcia) untuk meneruskan usahanya. Nyata Violet menjadi perhatian pengunjung bar dan sebagaimana yang dijangka dia akhirnya akan berjaya mencapai cita-citanya.
Untuk filem begini, apalah yang dapat diharapkan pada struktur plotnya yang kosong itu. Banyak persoalan yang merimaskan. Watak-watak yang tidak meyakinkan dan lakonan yang kosong. Apa yang menjadi faktor tarikan untuk filem ini hanyalah adegan tarian erotik yang memualkan itu dan air minuman yang menjadi unsur utama dalam tarian seksi dan erotik. Tidak seperti Adrian Lyne yang memberikan stail dan kegemilangan yang menarik dalam Flashdance, David McNally hanya mampu memberikan fantasi yang merimaskan.
Sumber : Utusan Online 13/10/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |