Ulasan Review |
. | . |
Judul : Crouching Tiger, Hidden
Dragon
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Crouching Tiger, Hidden Dragon (CTHD) mengambil tradisi daripada novel klasik Cina dengan kekuatan seni akrobatik mempertahankan diri kungfu yang dulu hanya dilakukan secara konvensional oleh pengarah filem aksi Hong Kong. Tetapi kini dicanggihkan dengan teknologi komputer.
Pengarahnya adalah Ang Lee yang dulu banyak menghasilkan filem-filem drama kehidupan di Amerika. Saya meminati filem-filem Ang Lee terutamanya The Wedding Banquet dan Eat Drink, Man Woman. Filem-filem arahan Ang Lee selalunya punya sensitiviti budaya yang kuat, skrip yang baik dan lakonan yang mantap.
Bagaimanapun dengan filem terbarunya CTHD, Ang Lee kembali ke tradisi Cina, mengambil kekuatan daripada sastera Cina dan budaya seni mempertahankan diri China.
Filem ini diangkat dari novel klasik Cina karya Wang Dulu oleh penulis lakon layar James Schamus, Wang Huiling dan Tsai Kuojung. Naratifnya kekal dengan struktur penceritaan tradisi tetapi filem ini dipersembahkan dengan mengambil gaya kelincahan fizikal timur dan kekuatan lakonan dramatik barat.
CTHD mengisahkan usaha memburu pencuri pedang sakti Green Destiny kepunyaan bekas pendekar terbilang Li Mubai (Chow Yun-Fat) yang mahu bersara daripada dunia kependekaran yang penuh dendam, darah dan persaingan yang tiada sudahnya.
Pedang itu diamanahkan kepada Shulien (Michelle Yeoh) seorang pendekar wanita yang juga teman wanita Mubai untuk diserahkan kepada gabenor di Beijing.
Filem CTHD pasti mengagumkan kerana aksi pertarungannya yang hebat hasil koreografi Yuen Ho-Ping yang sebelum ini pernah menghasilkan koreografi pertarungan untuk filem The Matrix.
Aksi pertarungannya tidak lagi tertumpu kepada aksi fizikal yang pantas di bumi tetapi melayang terbang di udara. Tebal dengan aksi tetapi Ang Lee sebagai pengarah yang gemar kepada konflik dramatik memberikan lapisan dramatiknya pada hubungan antara Mubai dan Shulien, dua pendekar terbilang tetapi tetap menyembunyikan perasaan masing-masing.
Ang Lee cuba memberi keseimbangan antara aksi dramatik dengan aksi pertarungan dalam filem ini. Drama hubungan manusia dalam filem ini baik, tetapi aksi pertarungan yang dikoreografikan dengan baik oleh Yuen Ho-Ping hilang kesannya akibat adegan pertarungan berterbangan di udara yang keterlaluan. Apakah ini kerana Ang Lee hilang kawalan atau obsesi Yuen Ho-Ping yang terlalu ghairah dengan aksi akrobatiknya.
Sumber : Utusan Online 21/7/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |