Ulasan
Review
. .

Judul : Disturbing Behaviour
Arahan : David Nutter
Lakonlayar : Scott Rosenberg
Pelakon : James Marsden, Nick Stahl, Steve Railsback, Katie Holmes, Bruce Greenwood, William Sadler dan lain-lain.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Filem remaja yang berbeza

Filem remaja selalunya lumrah. Berjiwa romantis, mudah dijangka, berlegar di sekitar kisah cinta yang dangkal atau komedi yang stereotaip. Bagaimanapun, filem remaja tidak seharusnya diambil mudah. Di tangan pengarah yang bijak dan sensitif, filem remaja akan menjadi arena yang mendedahkan jiwa remaja sebenar dan sekali gus cuba memahaminya.

Siapa yang dapat melupakan sejumlah filem remaja yang cukup menarik dan sensitif, antaranya Rebel Without Cause arahan Nicholas Ray (filem yang menjadi cult dan bertanggungjawab memperkenalkan James Dean), The Outsiders (Francis Ford Coppola), The Sure Thing (Rob Reiner).

Tetapi bagaimana kalau sebuah filem remaja dihasilkan oleh pengarah yang sebelum ini banyak menghasilkan siri-siri horror dan misteri? Filem Disturbing Behaviour ini diarahkan oleh David Nutter yang sebelum ini telah mengarahkan beberapa episod X-Files dari skrip oleh Scott Rosenberg.

Maka tidak hairan kalau Nutter juga sukar melarikan sedikit pengaruh dari X-Files. Maka itu, kita melihat perkembangan plot, watak, aspek-aspek suspens, humor, dan horror berbaur dalam sebuah filem.

Filem ini memang mengganggu. Plotnya agak tidak tersusun dan kasar antara suspens, horror dan humor. Sebuah pendekatan yang selalunya terdapat dalam filem-filem genre B yang memang ghairah dengan pendekatan sedemikian.

Kisahnya tentang para remaja yang menuntut di sebuah kolej di Cradle Bay. Mereka bijak dan dikawal ketat dengan disiplin. Tetapi di luar daripada budaya yang terserlah sebenarnya menjalar pelbagai kegiatan yang penuh misteri, ngeri dan diluar jangkaan.

Sejumlah pelajar yang dianggap terbaik terlibat dengan perkumpulan Blue Ribbon yang mempunyai kegiatan dan ritual yang aneh dan sukar dikawal. Mereka mendengar lagu-lagu dari Olivia Newton-John hingga Barry Manilow. Seorang pelajar baru Steve Clark (James Marsden) nampaknya perlu menyesuaikan diri dengan kumpulan pelajar ini.

Apa yang didapatinya adalah subbudaya yang di luar jangkaan. Visual filem ini dipenuhi kegelapan dan menyesakkan. Sebahagian adegan mengambil tempat di lorong gelap, kolong sesak yang kumuh, dan makmal perubatan (di mana doktor mencadangkan pelajar dibedah otaknya untuk mengembalikan mereka menjadi warga yang baik).

Di mana kedudukan orang tua (ibu bapa) dalam filem ini? Mereka hilang peranan dan hilang kuasa dalam arus kegilaan remaja yang semakin terdesak dan terhimpit dalam mencari arah kehidupan masa depan.

Sebuah filem yang agak lain tetapi menarik untuk ditonton. Ia memang mengejutkan, sukar dijangka, mengacau logik dan tidak berapa menyenangkan tetapi itulah hasrat filem ini.

Sumber : Utusan Online 6/11/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001