Ulasan Review |
. | . |
Judul : Double Jeopardy
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Filem ini feminis? Filem ini memberikan ruang kepada wanita menunaikan fantasi mereka, membalas dendam kepada lelaki yang pernah memusnahkan kehidupan dan kebahagian keluarganya.
Istilah lain bagi tindak balas ini dinamakan Double Jeopardy. Tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang?
Dalam Double Jeopardy, Libby Parsons (Ashley Judd) menembak suaminya Nicholas Parsons (Bruce Greenwood) kerana suaminya itu pernah membohongi kematiannya untuk mendapat pampasan insurans AS$2 juta dan memerangkap Libby yang menyebabkan dia dipenjarakan selama enam tahun atas tuduhan 'membunuh' suaminya.
Keluar dari penjara dan diletakkan di bawah program pengawasan Travis Lehman (Tommy Lee Jones yang kembali membawa watak yang pernah dilakukannya dalam The Fugitive), Libby berusaha menjejaki Nicholas yang telah menjadi ahli perniagaan berpengaruh di New Orleans dan anaknya Matty yang dalam jagaan Nicholas.
Dalam filem ini, kita melihat kelicikan seorang wanita dalam menjejak dan membalas dendam ke atas seorang lelaki. Dalam masa yang sama, kita juga melihat bagaimana liciknya Libby melepaskan diri daripada pemantauan Lehman. Dua lelaki yang tewas kepada kelicikan seorang wanita.
Bagaimanapun filem ini juga penuh dengan lubang-lubang pertanyaan yang melemahkan binaan plotnya untuk meyakinkan.
Ashley Judd yang cantik itu juga gagal meyakinkan. Dia terus mengekalkan kecantikannya biarpun selepas enam tahun di penjara Canyon Ranch, berbanding dengan kehidupan yang banduan-banduan lain yang kelihatan kusam dan teruk.
Untuk memastikan watak Libby tidak tewas dan mati, maka Nicholas tidak perlu menembaknya dalam lubang kubur yang telah ditutup dan ini masih memberi peluang untuk Libby keluar dan menembak Nicholas tepat pada masanya.
Jangan persoalkan bagaimana mudahnya Nicholas menjadi ahli perniagaan terhormat tanpa dicurigai biarpun berita mengenainya memenuhi dada akhbar.
Bruce Beresford pengarah filem ini adalah pengarah filem dari Australia yang seangkatan dengan Peter Weir (Witness), George Miller (Mad Max), Fred Schepisi (Plenty), Gillian Armstrong (My Brilliant Career) dan Phil Noyce (Heatwave) yang pernah menguasai pembikinan filem-filem Amerika pada tahun-tahun 1980-an.
Tetapi kekuatan Bruce Beresford masih tidak mampu menjadikan Double Jeopardy lebih meyakinkan dengan kekuatannya, daripada hanya sekadar sebuah filem tentang fantasi mudah seorang wanita.
Sumber : Utusan Online 11/2/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |