Ulasan
Review
. .

Judul : Enemy Of The State
Arahan : Tony Scott
Lakonlayar : David Marconi
Pelakon : Will Smith, Gene Hackman, dan Jon Voight

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Kebebasan hanya dalam fikiran

Awas, apabila anda merasakan diri anda selamat dan bebas, sebenarnya anda tidak. Kemajuan teknologi dan dunia tanpa sempadan hanyalah momokan kepada kebebasan individu. Ini kerana kebebasan hanya wujud di dalam fikiran.

Dunia konspirasi dan pengintipan menjadi semakin canggih. Satelit tidak lagi digunakan untuk mengintip kegiatan negara asing sahaja tetapi digunakan juga untuk mengintip aktiviti individu. Sejak awal 1984, dunia yang dibayangkan oleh George Orwell semakin menyerlahkan kemungkinannya dan semakin mengerikan. Dalam komplot konspirasi ini, individu yang bebas dan bersih boleh sahaja tiba-tiba menjadi orang buruan, diancam dan dilambakkan dengan pelbagai kesalahan.

Bayang Robert Dean (Will Smith) hanyalah seorang peguam yang berjaya dalam kariernya dan mempunyai keluarga yang bahagia. Tetapi nasibnya tiba-tiba berubah menjadi buruk bila dia secara tidak sengaja termasuk dalam komplot konspirasi ketua pegawai (Jon Voight) Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA) yang telah membunuh seorang ahli kongres untuk membolehkan mereka mengawal kebebasan publik. Smith diburu untuk dibunuh dan diintip setiap pergerakannya oleh NSA dengan segala peralatan pengintipan yang "state of heart". Dia bernasib baik bila menemui seorang pengintip veteran (Gene Hackman) yang cuba membantu Smith keluar daripada buruan tersebut.

Tony Scott (Crimson Tide & Top Gun) dan produser Jerry Bruckheimer (Armageddon, Con Air) memanipulasi gadget teknologi dari imej satelit dan skrin komputer untuk menghasilkan stail visual sinematik (dengan pengaruh video MTV) untuk menjadikan Enemy Of The State filem thriller yang menyeronokkan. Will Smith adalah mangsa baru pengintipan yang serba canggih daripada orang besar. Tetapi yang paling menarik adalah pertemuannya dengan Gene Hackman seorang bekas pengintip veteran. Bukankah Gene Hackman adalah Harry Caul seorang pengintip yang mendengar dan merakam perbualan individu di taman dalam The Conversation (1974) arahan Francis Ford Coppola. Malah sebenarnya David Marconi penulis skrip filem ini sekadar memindahkan watak Gene Hackman dari The Conversation kepada Enemy Of The State. Operasi dan bangsal buruk yang digunakan oleh Gene Hackman dalam Enemy Of The State adalah operasi yang sama dilakon oleh Harry dalam The Conversation.

Bagaimanapun Tony Scott dan Marconi lebih tertarik dengan imej visual daripada manipulasi teknologi sedangkan di dalam The Conversation, Coppola mahu menonjolkan persoalan moral dan humanistik dengan imej-imej kegilaan yang menakutkan daripada ancaman dunia teknologi yang serba maju. Harry Caul menjadi lelaki yang bingung dan kehilangan dan watak ini diteruskannya di dalam Enemy Of The State.

Francis Ford Coppola menamatkan secara bijaksana The Conversation dengan babak yang mempersoalkan dunia semasa yang meragukan. Tetapi Tony Scott membuat babak akhir Enemy Of The State secara klise, mudah dan tidak bijak dengan melibat kumpulan mafia yang kelihatan dungu.

Sumber : Utusan Online 18/12/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001