Ulasan
Review
. .

Judul : Fight Club
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Keras dan menyakitkan

Kepada penonton yang pasif filem ini bukan filem anda. Filem ini keras dan menyakitkan, kegelapan adalah tema dan latarnya. Pengarah filem ini adalah David Fincher, pengarah yang sebelum ini telah memberikan kita Seven dan The Game.

Fight Club adalah pakatan yang lahir kesan daripada kebosanan. Edward Norton yang memainkan peranan sebagai narator yang sentiasa intens dalam filem ini mempunyai kehidupan dan tugas yang membosankan di sebuah syarikat menjual kereta.

Untuk mengatasi penyakit insomnia, dia menyertai kumpulan penyelesai masalah yang bertemu setiap minggu. Di pertemuan mingguan itu dia menjalin hubungan dengan Bob (Meat Loaf Aday) dan berkongsi masalah, tetapi kemunculan wanita anih dan glamor Marla Singer (Helena Bonham Carter) dalam kumpulan itu nyata mengubah keadaan dan hidupnya hingga insomnianya datang semula.

Bagaimanapun pertemuan dengan seorang lelaki yang penuh misteri, Tyler Durden (Brat Pitt) terus mengubah kehidupannya untuk selama-lamanya. Durden adalah penjual sabun yang juga bekerja sambilan sebagai pelayan, tetapi di sebalik kerja-kerja itu Durden adalah juga seorang yang subversif.

Hubungan mereka berdua melahirkan Fight Club yang kewujudannya adalah rahsia sulit setiap ahli kumpulan. Watak Brad Pitt dalam filem ini mengingatkan kita kepada wataknya didalam Twelve Monkeys. Ed Norton sebagai narator dalam filem ini memberikan lakonan yang sungguh kuat.

Apa yang sebenarnya menjadi obsesi David Fincher dalam Fight Club? Keganasan dan kekerasan dalam filem yang diadaptasi dari novel Chuck Palahniuk ini memang menyakitkan. Kehidupan kumpulan yang anarkis, nihilistik dan membawa kemusnahan diri adalah protes Fincher terhadap dunia konsumer.

Dalam filem ini dunia korporat dan kewangan adalah musuh dan lihat bagaimana bangunan korporat dan kewangan dimusnahkan di akhir cerita. Fincher memberikan suasana yang buruk dan gelap, tetapi di akhir ceritanya, anarkis dan kemusnahan juga bukanlah jawapan kepada protes dan pemberontakan sosial.

Fight Club di sebalik penuh dengan keganasan adalah sebuah filem yang menarik dengan persoalan generasi masakini.

Sumber : Utusan Online 21/1/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000