Ulasan Review |
. | . |
Judul : Girl Interrupted
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Permasalahan klinikal, daripada gangguan mental yang serius hingga ke permasalahan insaniti yang bercelaru, James Mangold cuba menyalurkan semangat daripada memoir tulisan Susanna Kaysen, bahan yang menjadi sumber adaptasi filem ini.
Filem ini dibangunkan tanpa mengikut struktur naratif dramatik yang kronologikal, tetapi cuba memberikan komen yang menarik mengenai permasalahan neurotik pesakit di klinik Claymore yang terdiri daripada gadis muda dan remaja.
Dengan berlatarkan tahun 1967, era yang tiada kepastian, perang Vietnam dan yang banyak mengubah kehidupan sosial masyarakat Amerika, filem ini mengisahkan tentang Susanna Kaysen (lakonan Winona Ryder), gadis berusia 18 tahun yang menghadapi masalah mental, keliru, terganggu dan kacau. Dia dirujuk ke klinik Claymore kerana dikatakan cuba membunuh diri disebabkan mengambil aspirin yang berlebihan.
Susanna didiagnosiskan sebagai menghadapi gangguan personaliti yang kacau (yang diistilahkan sebagai Borderline Personality Disorder), sejenis penyakit mental berhubung dengan ketidakpastian tentang imej sendiri, matlamat, jenis kawan atau kekasih dan nilai hidup.
Di Hospital Claymore, Susanna bertemu Lisa (Angelina Jolie) yang essentrik yang telah lama tinggal di hospital itu dan pernah beberapa kali terlepas tetapi ditahan kembali, Daisy (Britanny Murphy) yang menghadapi masalah makan dan hubungan dengan bapanya, dan Polly (Elisabeth Moss) yang menderita kerana wajahnya. Di hospital itu juga, Susanna bertemu dengan Valerie (Whoopi Goldberg) jururawat yang tegas, tetapi juga simpatis dan Dr. Wick (Vanessa Redgrave) yang cuba memahami permasalahan remaja yang kacau berhubung dengan masalah keremajaan dan seksualiti.
Bagaimanapun, hubungan antara Susanna dan Lisa menjadi fokus filem ini, mereka berkawan, cuba memahami antara satu sama lain dan juga bermusuhan. Dari hubungan ini, kita memahami banyak tentang latar seksualiti dan pemberontakan Susanna yang cuba berperang dengan perasaan dirinya sendiri.
Sementara Winona Ryder memberikan lakonan yang baik, tetapi Angelina Jolie cukup mengkagumkan sebagai Lisa yang bebas laku, karismatik dan agresif di mana akhirnya membawa kemusnahan hidup dirinya yang lebih tragis.
Kemunculannya sentiasa menggerakkan plot filem ini dengan baik dan dia menguasai lakonannya dengan cemerlang. Wajar dia dianugerahkan Anugerah Akademi kerana kecemerlangan lakonannya itu.
Biarpun, filem ini terasa episodik dan struktur naratifnya agak mengacaukan, tetapi semangat dan sensitiviti filem ini cukup mengesankan.
Sumber : Utusan Online 14/4/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |