Ulasan Review |
. | . |
Judul : Gladiator
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Rom di zaman kegemilangannya bukan sahaja akan diingat kerana tamadunnya, kegagahan empayarnya dan juga kerana kekerasannya. Panggung teater Colloseum menjadi bukti bagaimana manusia mencari hiburan dari pertarungan manusia dengan maut yang menjadi hiburan sadis.
Di sini manusia mempertaruhkan keberanian, kegagahan dan maut sebagai hiburan. Selepas 2000 tahun kehebatan pertarungan dan permainan itu kembali ke layar perak.
Gladiator cuba mengembalikan kegemilangan filem-filem epik dan spektakular seperti Ben Hur, Cleopatra dan Spartacus yang pernah dihasilkan oleh studio Hollywood. Kehebatan pertarungan dan perlumbaan kereta kuda dalam Ben Hur dikembalikan dalam bentuk pertarungan antara pahlawan gladiator.
Tidak cukup pertarungan antara manusia, mereka juga perlu bertarung dengan binatang buas seperti harimau atau singa yang menanti peluang membaham mangsanya. Filem ini dibuka dengan pertarungan di Germania sekitar tahun 180 sebelum masihi, di mana Maharaja Rom Marcus Aurelius (Richard Harris) membawa tenteranya yang diketuai oleh General maximus (Russell Crowe) menghadapi tentera Germania yang dianggap liar dalam satu pertempuran yang hebat, kejam dan kemusnahan.
Dengan kebijaksanaan strategi serta kegagahan Maximus yang berasal dari Maximus, mereka memperoleh kemenangan dan sekaligus melenyapkan ancaman dari luar. Tetapi konflik politik dalaman kerajaan Rom sebenarnya lebih meruncing.
Maharaja Marcus yang sakit terpaksa memberikan mandat kekuasaan kepada Maximus supaya akhirnya kuasa dapat dikembalikan kepada Senat disebabkan Marcus tidak mempercayai anaknya Commodus (Joaquin Phoenix). Tindakan Marcus ini menimbulkan kemarahan Commodus yang kemudian telah membunuh ayahnya sendiri dan menghukum Maximus.
Anak dan isteri Maximus turut dibunuh dan rumahnya dibakar. Biarpun Maximus berjaya melepaskan diri tetapi dia gagal menyelamatkan keluarganya.
Dari sini bermula kembara Maximus yang bermula sebagai hamba tawanan di Morocco yang dijual kepada Proximo (Oliver Reed) yang kemudian melatihnya sebagai gladiator yang akan bertarung di Colloseum. Menjadi pahlawan gladiator memberi peluang kepada Maximus membalas dendam kepada kezaliman Commodus dan mengembalikan pemerintahan Rom kepada bakal Maharaja yang sepatutnya.
Filem epik seperti ini tumpuannya adalah pada rekaan set yang kolosal dan kehebatan manusianya, sedangkan aspek sejarah hanyalah latar yang mewajarkan dua aspek tersebut. Bagaimanapun untuk memastikan autentisiti sejarahnya, filem ini biarpun sebuah fiksyen tetap bersandar kepada ketokohan Maharaja dan ahli falsafah Rom yang terkenal itu iaitu Marcus Aurelius.
Oleh kerana ia sejarah lama, apatah lagi sejarah setua Rom, maka ia mempunyai banyak kawasan kelabu untuk dieksploit sebagai sebuah fiksyen sejarah. Tetapi sayang filem seperti ini kerapnya hanya memberi tumpuan yang berlebihan kepada ketepatan set yang kolosal dan ribuan manusianya yang bersesak di kota, apa yang penting adalah aspek kemanusiaan dan emosinya.
Ini yang tidak diseimbangkan didalam Gladiator. Pertarungan manusianya penuh kekerasan dan perangnya penuh keganasan, tetapi kita juga hilang simpati pada watak-watak manusianya. Sebagaimana hilangnya harga diri dan kemanusiaan digelanggang Gladiator dan penonton yang hanya terhibur dengan darah dan maut.
Pengarah filem ini adalah Ridley Scott yang pernah memberikan kita filem-filem hebat seperti The Blade Runner, Alien dan Thelma and Louise. Filem-filem arahan Ridley Scott selalu diingat kerana ketelitian rekaan set dan cuba memberikan ketepatan suasana period yang digambarkan.
Tidak hairan kalau filem yang berharga lebih AS$107 juta ini mementingkan ketepatan dan kehebatan rekaan setnya yang segera akan mengingatkan kita kepada kehebatan set Ben Hur dan Cleopatra. Berbanding dua filem ini, Ridley Scott barangkali beruntung kerana ia mempunyai kecanggihan teknologi komputer dan rekaan digital CGI yang memungkinkan ia membina set dan adegan yang hampir mustahil dihasilkan dahulu.
Dengan keupayaan manipulasi CGI, Scott boleh mencipta shot dan mengisi adegannya dengan ribuan manusia yang bersesak di kota-kota Rom atau gambaran seramai 50,000 penonton yang memenuhi amphiteater Colloseum. Malah rekaan set Colloseum hanya perlu direka sebahagian, selebihnya adalah rekaan digital.
Filem ini adalah filem terakhir Oliver Reed (yang mati kerana sakit jantung). Dia memberikan antara lakonannya yang terbaik dalam filem ini sebagai bekas gladiator yang kemudian melatih Maximus. Biarpun adegannya tidak banyak tetapi kemunculannya dalam adegan selalunya cukup mengesankan.
Gladiator dengan keupayaan dan kehebatan rekaan seni dan cuba seautentik mungkin pada periodnya akan mengembalikan kegemilangan genre filem-filem epik dan spektakular seperti yang pernah dilakukan oleh Ben Hur, Spartacus dan Cleopatra.
Bagaimanapun, bagi penonton filem yang peka dia juga akan cuba mencari perbezaan antara adegan yang dihidupkan dengan para pelakon yang real dan adegan yang dihidupkan oleh keupayaan manipulasi komputer dan CGI. Mungkin juga sudah sampai masanya keupayaan CGI dan teknologi digital komputer, menghasilkan seninya yang tersendiri untuk diiktiraf.
Sumber : Utusan Online 19/5/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |