Ulasan Review |
. | . |
Judul : Jakob The Liar
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Peperangan adalah tragedi kemanusiaan yang paling mengerikan. Menjadi mangsa perang adalah trauma yang paling menghantui. Diantara tragedi perang yang paling mengerikan adalah penganiayaan dan pembunuhan kejam terhadap lebih daripada enam juta bangsa Yahudi di tangan Hitler semasa Perang Dunia Kedua dahulu.
Tragedi yang terus menghantui bangsa Yahudi hingga ia menjadi dendam yang tak sudah. Yahudi menjadikan pemusnahan ini sebagai isu kebangsaan, sentiasa dalam ingatan Yahudi dan menjadi titik penting sejarah perjuangan bangsa ini.
Hollywood pula sentiasa memastikan pemusnahan, Nazi dan kekejaman Hitler tetap segar dalam ingatan melalui filem-filem mereka.
Kejayaan filem Schindlers List enam tahun lalu telah menjadikan pemusnahan antara babak gelap dalam sejarah moden manusia abad ke-20 sebagai tema utama filem-filem arus perdana Hollywood.
Jakob The Liar arahan Peter Kassovitz dari buku Jerek Becker ini membawakan tema dan tragedi itu ke layar. Filem ini merakamkan penderitaan bangsa Yahudi dan pengorbanan yang perlu dilakukan demi menyelamatkan yang lain.
Di antara Yahudi yang ditahan di kem tahanan di Poland itu adalah Jakob Hyem (Robin William) seorang peniaga kafe dan pengurus tinju kawan baiknya Misha (Alan Arkin). Jakob berjaya keluar dari kem tahanan secara tidak sengaja kerana kebaikan seorang pegawai tentera Jerman dan silap-faham pengawal kem itu.
Dalam perjalanan kembali ke rumahnya dia bertembung dengan Lina Krostein (Hannah) gadis cilik berusia sepuluh tahun yang berusaha melarikan diri daripada gerabak kereta api yang membawa tahanan Yahudi. Ketika berada bersama kumpulan Yahudi lainnya di kawasan ghetto itu, Jakob menyampaikan berita yang didengarnya daripada radio kepunyaan komandan Jerman tentang kemaraan tentera Rusia di Bezanika.
Berita itu segera menjadi buah mulut di kalangan kaum Yahudi yang menjadi buruh paksa di kawasan ghetto itu dan diperbesarkan terutama oleh kawannya. Jakob dikatakan mempunyai radio, antara alat yang dilarang keras disimpan dan mendengarnya.
Jakob terus menjadi sumber berita dan rujukan, sehingga mereka benar-benar percaya yang Jacob memang mempunyai radio. Selain berita yang didengarnya dari radio itu, selebihnya Jakob terpaksa mereka sendiri cerita bohong yang akhirnya dia sendiri hampir mempercayainya.
Dalam keadaan kekecewaan dan harapan itu, khabar angin, cerita rekaan dan berita benar berbaur dan sukar dibezakan. Tetapi dalam keadaan perang dan kecewa itu bohong Jakob nyata berguna. Benar cerita Jakob mempunyai radio dan cerita bohongnya telah menyebabkan kematian dua orang Yahudi di ghetto itu, tetapi berita dari radio itu juga yang menyelamatkan Kowalsky (Bob Balaban) si tukang gunting daripada mengantung diri kerana kecewa biarpun akhirnya dia juga mati kerana membunuh diri.
Apa yang dilakukan oleh Jakob dengan cerita bohongnya dan tentang radionya adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Roberto Benigno dalam filem Life is Beautiful. Roberto sebagai seorang Yahudi Itali yang ditahan di kem tentera Jerman tetapi berusaha menyelamatkan anaknya dengan cerita humor rekaannya. Kedua-dua filem ini menggunakan cerita untuk membina harapan dan mengubat kekecewaan.
Jakob The Liar membawa isu kemanusiaan dan pengorbanan di tengah perang dan dendam kegilaan perkauman. Antara adegan-adegan kejam mangsa perang yang menginsafkan, kemunculan adegan-adegan yang melucukan terasa menyentuh emosi.
Biarpun selepas Schindlers List dan Life is Beautiful serta sejumlah lagi filem-filem tentang pemusnahan, agaknya manusia masih perlu diingatkan tentang derita perang. Maka, filem ini berusaha mengajak kita untuk belajar darinya dan menilai dengan waras.
Sumber : Utusan Online 21/1/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |