Ulasan
Review
. .

Judul : Men Of Honor
Arahan : George Tillman Jr.
Lakonlayar : Scott Marshall Smith
Pelakon : Robert de Niro, Cuba Gooding Jr., Charlize Theron,Aunjanue Ellis, David Keith, Hal Holbrook, Joshua Leonard, David Conrad dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Men of Honor -- Biografi yang dramatik

Men of Honor Biografi wira yang memberikan keupayaan luar biasa dan keberanian merentasi kebiasaan telah menjadi salah satu genre filem Hollywood. Ego wira ini dijadikan inspirasi, pendidikan dan kebanggaan walaupun ia selalunya dilebih-lebihkan dan pendramaan yang melampau.

Dalam kisah kewiraan begini kita akan melihat wira yang inovatif, penuh konflik dan berusaha mereformasikan sempadan budaya yang telah dibentuk oleh komunitinya.

Hollywood juga menyedari biografi ini mempunyai batasan dan realitinya. Tetapi Hollywood akan mengeksploitasi ambiguati dan ruang dramatisasi untuk membesarkan kisah ini.

Lihat bagaimana Hollywood membesarkan dan mendramatikkan tokoh-tokoh seperti Mac Athur, Patton, Joan of Arc, Malcolm X dan John F. Kennedy. Adaptasi dan pengubah suaian peristiwa dan sejarah sebenar kehidupan tokoh-tokoh yang difilemkan ini dilakukan demi memenuhi apa yang dimaksudkan dengan nilai-nilai estetika Hollywood. Apa yang diutamakan adalah kesan.

Contohnya dalam biografi Alexander Graham Bell, yang menjadikannya dramatik dalam kisah itu bukan lagi penciptaan telefon tetapi drama yang paling penting terletak pada bagaimana Bell melawan dunia untuk menyakinkan mereka yang dia telah menghasilkan sesuatu yang hebat. Olah petikan kehidupan yang dramatik itu dan ruang ambiguati memberi kelebihan untuk filem mencorakkan pola dramatik.

Ini yang dilakukan oleh Scott Marshall Smith apabila dia mengadaptasi biografi Carl Brasher, lelaki kulit hitam pertama dilantik sebagai ketua penyelam dalam sejarah Tentera Laut Amerika pada tahun 1970.

Konsep wira yang dibawakan oleh filem ini bukanlah baru, sekadar melanjutkan puluhan filem lain dalam bentuk dan stail yang sama. Men of Honor adalah kisah tentang sejarah seorang lelaki yang mampu memecahkan prejudis perkauman dan kecacatan fizikal yang menjadi halangan dalam karier seorang perajurit.

Carl Brasher (Cuba Gooding Jr.) menghadapi prejudis perkauman yang begitu tebal dalam pasukan tentera laut Amerika untuk membukti keupayaan kaum kulit hitam dan juga sebagai janjinya kepada bapanya. Dia berhadapan dengan Master Chief Billy Sunday (Robert De Niro) penyelia latihan penyelam di akademi latihan tentera laut itu yang terkenal kerana ego dan diskriminasi kaum yang hampir menyebabkan pelajarnya lemas.

Tetapi di sebalik kelemahan Sunday ini, dia juga wajar dihormati kerana keberaniannya sanggup melawan ketua pemerintahnya (Hal Holbrook) untuk meluluskan Brasher dalam ujian terakhir walaupun tindakannya itu boleh menyebabkan memusnahkan kariernya.

Sebuah filem wira seperti ini, wiranya memang sengaja diperbesar dan didramatikan dengan kemampuan melepasi rintangan yang menggunung. Ia menghiburkan, mendidik dan sekali gus memberikan inspirasi. Atas kualiti dramatik dan sumber inspirasi inilah maka filem-filem biografi begini akan terus menjadi genre yang penting bagi Hollywood. Dan bagi anda yang mahu mencari model inspirasi, filem ini mungkin boleh menawarkan sesuatu.

Sumber : Utusan Online 2/3/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001