Ulasan
Review
. .

Judul : Mission To Mars
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Meneroka ke planet merah

Mission To Mars Mengapakah filem-filem fiksyen sains semakin membosankan sekarang? Ini kerana cerita yang dipaparkan lebih berupa pengulangan. Daripada aspek naratif, elemen dan konstruksi visualnya, hampir tidak berlaku pembaharuan. Masih menunjukkan keangkuhan manusia meneroka dan cuba menakluki cakerawala yang luas itu.

Seawal tahun 1902, George Melies telah menghasilkan filem A Trip To The Moon yang cuba menunjukkan usaha manusia ke bulan, selepas itu apa lagi yang lebih mengagumkan? Kecuali filem 2001: Space Odyssey (1968) arahan Stanley Kubrick.

Kali ini Brian De Palma yang selama ini lebih diingat kerana kekerasan dalam filem-filemnya cuba membawakan kehebatan visual di dalam Mission To The Mars. Dengan mengambil tahun 2020, sekumpulan angkasawan NASA yang diketuai oleh Luke Graham (Don Cheadle) cuba meneroka angkasa lepas ke planet Mars (Marikh) yang penuh dengan debu merah.

Bersamanya adalah Jim Mc Connell (Gary Sinise) yang menghadapi masalah psikologi akibat kematian isterinya seorang astronat juga, Woody Blake (Tim Robbins) dan isterinya Terri (Connie Nielsen) dan Phil (Jerry O Connell).

Segalanya bermula dengan baik sehinggalah satu kesilapan bermula dan bermulalah pelbagai kesukaran, bahaya dan kemusnahan. Misi penyelamat dihantar dalam keadaan angkasawan yang belum sepenuhnya bersedia.

Perjalanan mereka berisi dengan kebimbangan dan bahaya yang tidak terduga. Aspek kebimbangan dan kemungkinan bahaya dari planet yang misterius itulah hiburan dan kekaguman yang bakal ditonton oleh penonton.

Mission To The Mars adalah ruang untuk Brian De Palma bermain dengan visual dan kesan khas yang luar biasa. Tetapi sayang Brian De Palma yang filem-filemnya lebih selalu diingat kerana imej-imej daripada visualnya kali ini gagal melakukannya di dalam Mission To The Mars.

Kesan khas yang selalu jadi bumbu utama filem begini, bagaikan kehilangan kekuatan, kecuali pada adegan ribut debu yang menghancurkan sebuah gunung, selebihnya tiada yang mengagumkan.

Lakonan? Tidak ada yang cukup meyakinkan dan hal ini dilemahkan dengan skripnya yang mendatar tanpa konflik dramatik yang baik.

Akhirnya filem ini sekadar menambahkan koleksi filem-filem penerokaan angkasa lepas yang memaparkan keberanian dan keangkuhan manusia, penerokaan, program angkasa lepas, cuba membicarakan tentang hakikat alam dan akhirnya juga menunjukkan kehinaan manusia bahawa ada makhluk lain yang nyata lebih maju teknologinya.

Sumber : Utusan Online 26/5/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000