Ulasan
Review
. .

Judul : Mulholland Falls
Arahan : Lee Tamahori
Lakonlayar : Pete Dexter
Pelakon : Nick Nolte, Chazz Palminteri, Michael Madsen, Chris Penn, Melanie Griffith, Treat Williams, Jennifer Connely, John Malkovich, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Bila cerita lemah

Secara visual filem ini cukup menarik. Mood dan karakteristik yang khas dan seharusnya ada dalam filem berjaya ditampilkan. Di tangan Haskell Wexler, pengarah fotografi veteran dan terkenal cemerlang, filem ini tampil dengan kekuatan visualnya. Haskell Wexler bukan pengarah fotografi sebarangan. Dari tangannya telah lahir sejumlah filem yang sentiasa diingat kekuatan imej dan visualnya. Antara buah tangan Wexler yang terkenal ialah Who's Afraid of Virginia Woolf? (1966), American Graffiti (1973), One Flew Over The Cuckoo's Nest (1975), dan Bound For Glory (1976). Dia pernah dianggap sebagai antara pengarah fotografi Amerika yang cukup imaginatif. Ukuran kecemerlangannya, Wexler pernah memenangi empat anugerah akademi untuk fotografi terbaik.

Sebagai pengarah fotografi terbilang, Haskell Wexler dikenal sebagai seorang perfectionist yang selalu mahukan kerapian dari sudut pencahayaan, frem dan komposisi. Dengan ketelitian Wexler, maka tidak hairan kalau fotografi Mulholland Falls tampil cemerlang. Mulholland Falls adalah filem period. Dan filem period menuntut kerapian dari segi lokasi, set dan mood fotografinya. Di tangan Wexler panorama Kota Los Angeles tahun 50-an baik waktu siang atau malam diberikan sentuhan yang cukup teliti. Beberapa adegan dalam filem ini akan terus tinggal dalam ingatan penonton kerana kekuatan imejnya.

Lalu, apa yang kurang dengan filem ini? Kecemerlangan fotografi Mulholland Falls hanyalah sekadar keindahan di permukaan. Masalah sebenar filem ini adalah pada ceritanya yang kacau dan bercelaru. Dengan subjek yang sedemikian menarik Mulholland Falls boleh sahaja muncul menjadi sebuah filem yang memikat. Tetapi Lee Tamahori (Once Were Worriors) pengarah filem ini mengambil keutamaan yang salah, plot yang tidak konsisten mengakibatkan banyak adegan yang longgar dan samar.

Mulholland Falls secara longgar adalah didasarkan pada sebuah skuad elit yang pernah ditubuhkan oleh Polis Los Angeles. Skuad elit dalam filem ini yang diketuai oleh Max Hoover (Nick Nolte) ditugaskan untuk menumpaskan penjenayah dan gengster yang menganggu keamanan Los Angeles. Mereka mempunyai cara tersendiri untuk menumpaskan para penjenayah tersebut. Antaranya dengan membawa penjenayah tersebut menaiki kereta Buick, memukul dan kemudian menghumban si mangsa ke gaung yang terdapat di Mulholland.

Bagaimanapun, kematian seorang wanita muda (Jennifer Connelly) yang mempunyai hubungan dengan pihak atasan tentera telah membawa penyiasatan Hoover kepada Colonel Tibbs (John Malkovich), salah seorang yang bertanggung jawab dalam projek mencipta bom atom. Tibbs yang kini menghadapi kanser akibat terdedah dengan radiasi nuklear sebenarnya sedang menghadapi depresi mental akibat dari kesan kemusnahan oleh projek tersebut. Konflik yang timbul di sini bukan sahaja hubungan Tibbs dengan wanita muda itu tetapi juga Hoover sendiri mempunyai hubungan sulit dengan wanita tersebut. Falsafah dan kepentingan peribadi bertembung. Tibbs secara moral boleh sahaja berbangga dengan kejayaan projek bomnya yang memusnahkan banyak orang itu. Falsafahnya, sebahagian orang harus mati untuk memberi laluan kepada orang lain melangsungkan kehidupan. Tetapi emosi Tibbs sebenarnya runtuh kerana tindakannya. Tetapi apa bezanya tindakan Tibbs dengan tindakan Hoover. Kedua-duanya perlu menghapuskan sebahgian orang lain hanya untuk kelangsungan hidup orang lain. Bezanya mungkin dari segi ideologi yang mendasari tindakan mereka.

Mulholland Falls sebenarnya memungkinkan cerita yang memikat. Plotnya bergerak perlahan dalam usaha membentuk ketegangan. Tetapi Tamahori mengabaikan plotnya, banyak persoalan yang timbul dari adegan dalam filem ini yang tidak terjawab umpamanya bagaimana hubungan Tibbs dan Jennifer Connelly boleh berlaku hingga mengakibatkan pembunuhan? Kecuaian sedemikian mengakibatnya banyak adegan tidak bergerak lancar, tidak jelas dan penuh kekacauan. Mulholland Falls sebenarnya mempunyai banyak persamaan baik persoalannya mahupun stail pembikinannya dengan filem Chinatown (arahan Roman Polanski) sebuah filem yang dianggap klasik.

Mulholland Falls dibarisi oleh sebahagian pelakon yang telah teruji dan pelakon baru yang berkemampuan. Nick Nolte sebagai Hoover dan Malkovich sebagai Colonel Tibbs memang mengesankan. Sayangnya sebahagian besar pelakon lain seakan tidak bermaya. Baik Chris Penn dan Michael Madsen yang telah membuktikan keupayaan mereka dalam Reservoir Dogs (Quentin Tarantino), mahupun Melanie Griffith sebagai isteri Hoover yang kecewa, gagal membantu filem ini. Kegagalan filem ini sebahagian besarnya adalah kerana skripnya yang tidak konsisten dan hilang keutamaan. Permulaan yang menarik tetapi kemudiannya diselubungi dengan jalan cerita yang bercelaru, lemah dan membosankan. Bagaimanapun, anda mungkin boleh mengesampingkan kelemahan cerita dan sebahagian besar lakonan yang mengecewakan, jika mahu melihat hasil fotografi Haskell Wexler yang masih boleh dikira mengagumkan dalam filem ini.

Sumber : Utusan Online 11/7/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000