Ulasan
Review
. .

Judul : Nightwatch
Arahan : Ole Bornedal
Lakonlayar : Ole Bornedal & Steven Soderbergh
Pelakon : Ewan McGregor, Nick Nolte, Patricia Arquette dan Josh Brolin

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C+


Bentuk naratif yang sama

Untuk menghasilkan sebuah filem suspens thriller yang baik, tidak mudah sebenarnya. Selain aspek perwatakan yang kuat dan menarik, ia harus didukung oleh binaan plot yang efektif dan berkesan. Jika tidak ia bukan sahaja kelihatan artificial, naratif yang bercelaru dan akan mengundang lebih banyak kekeliruan serta tidak meyakinkan.

Lebih sukar lagi bila usaha membina thriller dan pada masa yang sama mempertahankan elemen suspensnya. Plot selalunya cenderung kompleks tetapi gagal meyakinkan.

Nightwatch sebagaimana filem-filem suspens thriller yang lain mengambil bentuk naratif yang hampir sama. masih bertolak dari kisah tentang siapa sebenarnya yang melakukan pembunuhan.

Kegelapan dan kesamaran di dalam membuktikan siapa sebenarnya yang melakukan akan menimbulkan beberapa peristiwa lain yang lebih mengejutkan.

Filem yang diarahkan oleh Ole Bornedal ini mengisahkan tentang seorang pelajar undang-undang Martin (Ewan McGregor) yang terpaksa bekerja sambilan sebagai pengawal malam di sebuah hospital.

Pada masa yang sama beberapa pembunuhan bersiri sedang berlaku. Siapa yang melakukannya menjadi persoalan utama filem ini. Ini kerana hampir semua bukti dan andaian memungkinkan Martin terlibat.

Inspektor Cray (Nick Nolte) yang menyiasat kes tersebut lebih cenderung menekan Martin. Dan untuk membuktikan dirinya tidak bersalah Martin terpaksa mencari sendiri siapa sebenarnya yang melakukannya.

Ole Bornedal bersama Steven Soderbergh (Sex, Lies & Videotape) yang mengadaptasi filem ini dari novel Nattevagten berjaya membentuk thriller yang menarik dan berupaya mempertahankan elemen suspens di sepanjang ceritanya dengan begitu meyakinkan. Nightwatch dibantu oleh fotografi yang cemerlang.

Gerak kamera, sudut, kawalan cahaya dan pemilihan konsep warna berjaya menghasilkan mood dan kesan yang diingini untuk filem ini. Suntingan yang begitu baik juga membantu mempertahankan elemen suspens. Malah jump-cuts digunakan dengan berkesan sekali.

Nightwatch seperti mengembalikan era kegemilangan filem-filem noir dengan konsep cerita yang psikologis, konsep warna dan gerak kameranya.

Sumber : Utusan Online 24/7/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001