Ulasan Review |
. | . |
Judul : Notting Hill
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Tidak selalu kita berpeluang untuk terserempak bintang filem, apatah lagi yang datang dari Hollywood. Di zaman moden ini mereka seperti dewa yang dipuja, diimpikan dan ditatang. Mereka telah mengambil tempat puteri atau putera raja zaman silam. Terserempak atau terjumpa mereka bagaikan satu tuah. Bayangkan pula kalau berjaya menjalin hubungan dan kemudian jatuh cinta pula. Itu adalah satu mimpi. Notting Hill menggunakan premis ini. Membuai impian penonton untuk cuba memungkinkan impian tersebut. Bahawa impian itu mungkin boleh menjadi kenyataan kepada orang biasa jika ia bernasib baik. Notting Hill adalah cerita bagaimana seorang bintang Hollywood yang punya kehidupan bagai puteri raja dan seorang lelaki biasa bertemu dan kemudian menemui kebahagiaan bersama. Ia adalah satu fantasi sebenarnya. Fantasi yang selalu bermain di fikiran banyak orang, yang cuba dieksploit oleh filem ini untuk menjadi sebuah komedi yang menarik.
Dengan berlatarbelakangkan satu pekan kecil Notting Hill di satu sudut kota raya London, William Thacker (Hugh Grant) hanyalah seorang tuan punya kedai buku yang tersorok di pekan itu. Dia seperti penjual buku lainnya di kota London itu akan cuba membantu pelanggannya mendapatkan buku yang terbaik tanpa peduli siapa pelanggannya, walaupun yang mengunjungi pada hari itu adalah Anna Scott (Julia Roberts) seorang bintang tersohor dari Hollywood.
Bagi Thacker, Anna tiada bezanya dengan pelanggannya yang lain apatah lagi bagi dia yang jarang menonton filem, Anna hampir tidak dikenalinya. Pertemuan di kedai Becker itu tidak berakhir di situ, tetapi insiden Thacker terlanggar Scott semasa dalam perjalanan membawa airnya telah membawa kepada episod-episod menarik dalam jalinan hubungan mereka, seorang lelaki biasa yang tidak terkenal dengan kehidupan yang cukup peribadi dan seorang lagi adalah aktres Hollywood yang punya jutaan peminat dan sentiasa diburu oleh papparazzi hingga dia kehilangan kehidupan peribadi.
Oleh kerana filem ini bergerak atas premis untuk membuai fantasi penonton, maka Richard Curtis (penulis yang juga menghasilkan skrip Four Weddings and a Funeral) tidak menggunakan insiden pertemuan di kedai buku Thacker sebagai asas untuk menjalinkan hubungan antara Thacker dengan Scott.
Pertemuan itu sekadar untuk menunjukkan betapa naifnya pengetahuan Thacker tentang dunia filem, terutama filem-filem lakonan Anna Scott. Sebaliknya Curtis menggunakan insiden Thacker terlanggar Scott sebagai premis untuk melanjutkan jalinan hubungan antara mereka. Ini untuk menunjukkan bahawa insiden itu sendiri adalah unsur nasib dan adegan-adegan seterusnya adalah fantasi yang dimainkan kepada imaginasi dan impian penonton.
Dengan memainkan bahawa seorang bintang terkenal Hollywood juga impikan kehidupan normal sebagaimana orang lain dan dipertemukan dengan lelaki biasa yang tidak mempedulikan kehidupan glamor, jalinan hubungan itu berupaya mencipta suasana yang menarik, melucukan sungguhpun beberapa insiden dan penamatnya sudah boleh dijangka.
Biarpun Notting Hill diasaskan pada harapan sebuah fantasi yang sukar berlaku dalam kehidupan biasa orang banyak, dibentuk dalam suasana komedi tetapi sebenarnya dua watak utama dalam filem ini bukanlah watak-watak yang melucukan sebaliknya mereka punya kehidupan yang perlukan simpati.
Julia Roberts memang meyakinkan sebagai seorang bintang Hollywood terkenal yang kehidupannya terkawal, diburu papparazzi dan pada masa yang sama punyai masalah dalam melangsungkan kehidupan peribadinya sendiri. Sementara William Thacker punya kehidupan yang malang (dua kali gagal bercinta), menyendiri dan tinggal bersama temannya Spike (Rhys Ifans) seorang pelukis di sebuah flat kecil. Selain Spike, William lebih banyak menghabiskan masa dengan adik-beradiknya yang terdiri daripada orang-orang biasa yang punya masalah sendiri, tetapi mereka akrab dan ikhlas. Kelucuan sebenar berlaku di sekitar teman-teman William inilah.
Di satu sudut filem ini menampilkan satu bentuk kehidupan yang di luar jangkauan sepertimana yang dihadapi oleh Anna Scott yang mana hampir keseluruhan kehidupannya diatur oleh pembantu pengurusan artis. Di satu sudut lain adalah kehidupan biasa William Thacker yang menguruskan kedai buku kecilnya, teman-teman yang akrab seperti keluarga dan ahli keluarga yang amat memahami. Perbezaan itu berjaya diatasi kerana perasaan kasih yang ikhlas dan perbezaan itu menjadikan hubungan itu menarik dan sekali gus berupaya mencetuskan momen-momen melucukan.
Notting Hill adalah komedi yang memikat. Ia yakin pada dunia yang difantasikannya, pada idealismenya bahawa kegembiraan adalah hak semua orang, sama ada dia seorang bintang ternama Hollywood ataupun penjual buku dari sebuah kedai yang tersorok di kota London. Biarpun filem ini menjual fantasi ringan, tetapi kekuatan skrip oleh Richard Curtis (yang berupaya mengulangi kejayaan Four Weddings and a Funeral) dan arahan yang kemas menjadikan filem ini seronok ditonton.
Sumber : Utusan Online 24/9/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |