Ulasan
Review
. .

Judul : Richard III
Arahan : Richard Loncraine
Lakonlayar : Richard Loncraine & Ian McKellen
Pelakon : Ian McKellen, Annette Benning, Jim Broadbent, Robert Downey J.R., Nigel Hawthorne, Kristin Scott Thomas, Maggie Smith dan John Wood

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B


Shakespeare dengan latar yang baru

Dalam polemik tentang filem, aspek yang sentiasa menarik tentangnya ialah kemungkinannya. Berbanding teater, filem memungkinkan apa yang tidak dimungkinkan oleh teater. Banyak hujah yang dibentangkan yang menilai hubungan antara filem dan teater.

Apakah filem itu berupa lanjutan, lawan atau penyegar dan menghidupkan semula teater? Filem dan teater secara kontras selalu bergantung pada bahan yang dipersembahkan atau dipilih. Teater menggunakan artifisialiti, manakala filem mementingkan realiti.

Kemungkinan untuk teater difilemkan sentiasa menarik perhatian pembikin filem sejak dahulu, terutama dengan alasan untuk mengisi vakum intelektualiti yang sering menimpa filem.

Richard III adalah antara teater Shakespeare yang sentiasa menarik kerana persoalan dan intrig dramatiknya.

Watak-watak dan persoalannya masih relevan untuk permasalahan dunia hari ini, sebagaimana ketika ia dipentaskan 400 tahun dahulu. Dalam Richard III, Richard sebagai antagonis secara sistematik berusaha meminggirkan keluarganya dan memusnahkan hubungan itu dengan cara yang cukup licik.

Ketegangan hubungan kekeluargaan itu mengambil bentuk dalam konflik antara warisan dan individualiti, antara kekuasaan dan hubungannya. Dalam Richard III, aspek kekeluargaan begitu penting sehingga watak utamanya sentiasa melihat dirinya dalam konteks keluarga, tetapi pada masa yang sama hubungan dan nilai itu berusaha dimusnahkan untuk dia menonjolkan diri.

Unsur dramatik dan strategi psikologi yang digunakan dalam mendekati subjeknya menjadikan ia sebuah drama kemanusiaan yang menarik.

Pengarah filem ini Richard Loncraine yang menulis semula adaptasi dan lakon layarnya bersama Ian McKellen membawa Richard III ke tahun 1930-an dengan memberikannya latar perang dunia kedua.

Nyata ia pendekatan yang cukup menarik dan menyegarkan kecuali dialog-dialognya yang masih tebal Shakespearenya. Filem ini dibarisi oleh para pelakon besar dan ternama di dalam teater Britain untuk memberikan kekuatan lakonan yang menjadi landas filem ini.

Sungguhpun Loncraine tidak pernah mementaskan drama Shakespeare sebelum ini (Loncraine pernah menang anugerah Bafta untuk drama tvnya, Blade on the feather), tetapi Ian McKellen (melakonkan watak Richard III) adalah seorang veteran di pentas teater Shakespeare.

Hasilnya Loncraine tidak begitu terikat dengan teater Shakespeare, tetapi dia mampu memberikan jiwa dan kekuatan filem ini melalui lakonan dan unsur filemiknya.

Richard III juga dibantu oleh arahan visual yang cemerlang yang didukung oleh pengarah fotografi terbilang Peter Bizou.

Filem ini memperlihatkan adaptasi yang cukup menarik dan segar untuk sebuah karya Shakespeare dan dipersembahkan dengan visual yang cukup merangsangkan.

Sumber : Utusan Online 12/6/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001