Ulasan
Review
. .

Judul : Romeo Must Die
Arahan : Andrzej Bartkowiak
Lakonlayar : Eric Berut & John Jarrell
Pelakon : Jet Li, Aaliyah, Russell Wong, Delroy Lindo, Henry O, Isaiah Washington, Anthony Anderson dan lain-lain lagi.

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Kung Fu di Hollywood

Selepas Jackie Chan, Chow Yun Fatt dan kini giliran pelakon kung fu terkenal dari Hong Kong Jet Li mempamerkan kepantasan tendangan dan pukulan mautnya dalam sebuah lagi filem Hollywood yang amat memerlukan resipi dim sum dan kung fu dalam industri mereka yang semakin sukar mencari cerita-cerita yang lebih segar dan asli.

Tetapi seperti filem-filem lain yang melibatkan para pelakon dari China, filem ini juga tidak dapat lari daripada naratif stereotaipnya. Romeo Must Die masih lagi belegar sekitar persengketaan dua keluarga yang mahu menguasai kawasan hartanah di pinggir pantai Oakland.

Hanya dengan cara ini mudah bagi filem ini untuk memuatkan adegan aksi dan pertempuran daripada mula hingga akhir. Cuma kali ini, ia melibatkan keluarga kulit hitam Amerika dan sebuah keluarga China di Amerika.

Han (Jet Li) adalah salah seorang anak Chu Sing (Henry O) seorang ketua keluarga China yang berpengaruh di Amerika dan keluarga ini terlibat dengan kongsi gelap. Begitu juga dengan Trish Oday (penyanyi Aaliyah, filemnya yang pertama) adalah anak kepada Isaak Oday ketua sebuah kumpulan kulit hitam di situ.

Kematian Po anak kepada Chu Sing diketahui oleh Han yang berada di sebuah penjara di Hong Kong dan dengan kehandalannya dia berjaya melepaskan diri dari penjara dan segera menuju ke Amerika. Dia bertemu Trish secara tidak sengaja dan daripada pertemuan itu dia menjejak pembunuh sebenar adiknya sambil membongkar kegiatan haram kedua-dua keluarga.

Tidak ada apa yang hendak dinilai pada ceritanya. Binaan plotnya juga jangan dipersoalkan kerana logik cerita bukan elemen utana dalam filem-filem begini. Yang utama hanyalah aksi dan keganasan dalam bentuk hiburan yang rendah. Tetapi, jika anda memikirkan untuk melihat kepantasan Jet Li menumpaskan musuhnya dengan kung funya dalam adegan-adegan pergaduhan yang sudah semakin klise koreografinya, maka filem ini tidaklah terlalu mengecewakan.

Sumber : Utusan Malaysia 28/4/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000