Ulasan Review |
. | . |
Judul : Shower
Arahan : Zhang Yang
Lakonlayar : Gina Wendkos
Pelakon : Zhu Xu, Pu Cun Xin, Jiang Wu dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Manusia yang hidup mahukan kemajuan. Tetapi kemajuan dan pembangunan selalunya menuntut perubahan yang bukan sedikit.
Perubahan bermakna membawa nilai dan gaya hidup baru, lalu yang lama harus pergi bersama tradisinya. Berapa banyak kampung dan tradisi lama yang kita membesar bersamanya runtuh dan hilang ditelan arus pembangunan.
Perubahan dan proses pertukaran sering meresahkan dan menakutkan. Yang lenyap akan menjadi kenangan indah dalam peredaran masa.
Tidak hairan kalau tema keresahan begini merupakan tema yang sering diulang-ulang dalam filem.
Pengarah filem sebagai seorang seniman sering melihat kegetiran hidup masa lalu.
Tradisi lama yang lenyap diratah kemajuan material sebagai satu tragedi zaman yang menggerunkan dan nostalgia menyakitkan.
Pertentangan nilai dan keresahan individu inilah yang menjadi dasar filem Shower arahan Zhang Yang. Shower bergerak atas plot yang mudah dan sederhana.
Seorang anak muda yang sekian lama tinggal di kota kembali ke kampung halamannya di utara China kerana menyangka ayahnya, Tuan Liu (Zhu Xu) telah meninggal dunia kesan daripada lukisan yang dihantar oleh adiknya yang cacat mental.
Anak muda itu Da Ming (Pu Cun Xin) membawa bersamanya nilai hidup kota, moden dan serba pantas. Dia mendapati tradisi dan budaya yang melingkari kehidupan di kampung itu masih tidak berubah, masih kekal seperti dahulu.
Ayahnya masih menjalankan perniagaan rumah mandi tradisional dengan dibantu oleh adiknya Er Ming (Jiang Wu), rumah mandi itu masih terus didatangi oleh pelanggan setianya yang sama sejak dahulu.
Di situ mereka bukan sahaja mandi air panas bersama-sama, sambil diurut, berbual, bertukar gosip, bermain catur dan bermain laga cengkerik.
Di kolam mandi itu juga bakal juara karaoke melatih nyanyiannya dan pasangan suami isteri yang bergaduh didamaikan.
Kolam mandi itu telah menjadi parlimen untuk pelanggan setia itu bertemu, berinteraksi dan menyelesaikan masalah mereka dan mereka ini pula telah menjadi seperti keluarga Tuan Liu sendiri.
Kolam mandi ini adalah lambang tradisi lama, nilai dan aspek kemanusiaan yang semakin jauh ditinggalkan oleh kehidupan moden sepertimana yang digambarkan pada awal filem ini.
Bagaimana Da Ming mandi dengan menggunakan peralatan mandi yang moden sepertimana proses membasuh kereta menggunakan peralatan automatik.
Apa yang lebih penting, kolam mandi itu menjadi penghubung kekeluargaan antara Tuan Liu, Da Ming dan adiknya Er Ming.
Da Ming dengan nilai kotanya pada awal kepulangannya kelihatan kurang senang dengan keadaan kampung.
Tradisi kehidupannya tidak berubah berbanding kehidupannya di kota, lalu dia membuat keputusan untuk kembali esoknya ke kota.
Tetapi kehilangan adiknya semasa mengikutnya menempah tiket pulang dan kata-kata ayahnya yang kecewa dengan sikap Da Ming yang dingin terhadap adiknya itu menyebabkan Da Ming terpaksa membatalkan hasratnya untuk pulang awal.
Perlahan-lahan Da Ming mula memahami kepentingan kolam mandi itu bukan sahaja kepada ayahnya tetapi juga komuniti kampung itu.
Zhang yang melihat pembangunan dan pemodenan yang pantas seperti raksasa dan bencana yang memusnahkan nilai kehidupan lama.
Da Ming sedia mengambil alih pengurusan rumah mandi tersebut, tetapi tempat rumah mandi dan kawasan penduduk di situ akan dibangunkan dengan perumahan moden yang bererti rumah mandi itu akan dirobohkan.
Secara simbolik, robohnya rumah mandi itu juga disimbolkan dengan kematian Tuan Liu yang selama ini begitu setia dengan rumah mandi tradisional itu.
Kepulangan Da Ming dari kota seakan-akan gambaran gelombang kota yang bakal tiba.
Begitu juga adegan imbas kembali Tuan Liu dengan kehidupan masa lalunya yang sukar mendapat air mandi adalah gambaran kehidupan yang telah lama berlalu.
Antara keduanya mempunyai kenangan dan tradisi lama yang hendak dipertahankan. Tetapi sukar menghadapi kenyataan kehidupan moden dan akhirnya rumah mandi tradisi akan menjadi kenangan seperti kenangan yang menjelma dalam fikiran Tuan Liu.
Filem ini emosional, tetapi terkawal daripada menjadi melodramatik. Zhang Yang mahu kita memahami dan mengerti tentang nilai dan tradisi lama yang semakin terhakis dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin pantas mengejar pembangunan.
Sentimentaliti dan humornya terpancar secara bersahaja daripada para pelakonnya terutama para pengunjung rumah mandi yang terdiri daripada generasi tua.
Shower adalah filem kedua Zhang Yang sebagai pengarah filem generasi baru China yang melanjutkan usaha pembikin filem generasi kelima China.
Bagaimanapun, kritikan sosial Zhang nyata berbeza dengan pendekatan pembikin filem generasi kelima China seperti Wu Tian Ming, Zhang Yimou atau Chen Kaige.
Kumpulan pengarah filem generesi kelima China ini sering melihat tradisi lama China dan komunisme secara kritis dan cuba membawa fahaman liberalisme dalam filem-filem mereka.
Tetapi Zhang Yang melalui Shower mula melihat secara kritis pembangunan dan pemodenan yang membawa bersamanya budaya konsumerisme dan individualisme sebagai ancaman kepada budaya dan nilai tradisi lama yang semakin terpinggir.
Zhang Yang dengan sedar mula menyoal budaya dan nilai baru yang sedang berkembang di China.
Sumber : Utusan Online 20/10/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |