Ulasan Review |
. | . |
Judul : Star Wars: Episode 1 -
The Phantom Menace
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Filem ini dipromosikan seolah-olah tidak ada filem lain yang lebih hebat yang bakal menutup alaf ini. Penantian untuk filem ini sebenarnya telah bermula sejak dua tahun lalu apabila trilogi Star Wars ditayangkan semula sempena 20 tahun penerbitan filem itu.
Sejak dari tarikh itu promosi besar-besaran terhadap lanjutan filem Star Wars telah bermula dengan hebatnya hingga mewujudkan demam Star Wars. Belum pernah dalam sejarah filem Amerika sebuah filem sedemikian hebat penantiannya.
Apabila Star Wars dihasilkan pada tahun 1977, filem ini menjadi sensasi, memecahkan rekod pungutan terbesar dalam sejarah filem. Yang penting ialah Star Wars dan dua sekuelnya selepas itu telah membentuk standard yang harus ada dalam sebuah filem komersial kontemporari iaitu pintar, bertenaga dan menyeronokkan.
Star Wars sebenarnya telah memulakan inovasi terhadap filem-filem mega yang besar dari segi produksi dan bergantung pada kehebatan teknologi. Star Wars bukan sahaja telah meletakkan nama George Lucas dalam senarai pengarah angkatan baru Hollywood yang berjaya bersama Francis Ford Coppola, Steven Spielberg, Martin Scorsese dan Brian De Palma, tetapi Star Wars turut menjadi ikon dalam budaya popular sejagat.
Filem ini memainkan imaginasi kita dengan menggabungkan unsur fantasi, filem western, fiksyen sains dan cerita samurai tetapi disampaikan dengan stail yang canggih, teknologi termaju serta dimuatkan dengan karakter-karakter yang ganjil dan aneh.
Skop Star Wars sebenarnya hampir menyamai epik The Illiad atau The Odyssey. Ceritanya mengangkat mitos sejarah tentang keberanian dan kekerdilan serta pengembaraan dan romantisme. Sebenarnya Star Wars bukanlah filem fiksyen sains dan juga bukan filem futuristik sepenuhnya.
Pembukaan judul filem ini jelas meletakkan set filem ini di dalam dunia fantasinya yang tersendiri. Kerana filem ini membawa persoalan mitologi dan fantasi, maka ia sentiasa hidup dan besar dalam imaginasi penonton. Star Wars sebenarnya mengacaukan perspektif masa dan sejarah. Penggunaan teknologi canggih seperti senjata laser, kapal angkasa yang lebih pantas dari bunyi dan set yang lengkap dengan kemudahan canggih melambangkan pencapaian tamadun yang tinggi.
Ia juga menampilkan lokasi yang gersang, primitif, kemunculan binatang purba serta watak-watak mitos yang ganjil. Gaya kehidupan pula adakalanya begitu sukar melambangkan tamadun yang bertentangan. Kesemua ini digabungkan secara bebas oleh George Lucas dalam Star Wars.
Kelebihan Star Wars: Episod I - The Phantom Menace, dihasilkan dalam keadaan penonton telah bersedia dan mengetahui konsep filem ini. Trilogi Star Wars IV, V & VI yang telah ditayangkan dahulu telah memberikan konsep dan kesudahan dalam siri cerita Star Wars kepada penonton.
Dalam The Phantom Menace, George Lucas membawa penonton kira-kira 30 tahun ke belakang, ketika Anakin Skywalker (Jake Lloyd) masih seorang kanak-kanak hamba di Planet Tatooine. Anakin adalah Darth Vader dalam episod IV, V & VI, kuasa jahat yang mahu menguasai sistem galaksi, dan dia juga merupakan bapa kepada Luke Skywalker dan Puteri Leia.
Sejak trilogi Star Wars yang awal, pengkritik selalu melihat filem arahan George Lucas ini sebagai mengkagumkan dari segi teknikal, thrilling dan filem yang mampu menggasak penonton tetapi tidak mempunyai jiwa. Persoalan yang sama timbul dalam Star Wars: The Phantom Menace.
Star Wars telah membentuk formula dan konsep cerita, dan formula ini terus diikuti oleh George Lucas. Dengan konsep dan formula cerita yang telah diketahui oleh penonton, yang tinggal kepada Lucas untuk dieksploit hanyalah teknologi, rekaan produksi dan efek khasnya.
Filem ini pasti akan dikagumi kerana kehebatan teknologinya (ketika Star Wars dihasilkan 22 tahun dahulu, teknologi komputer, efek khas dan CGI belum sehebat dan secanggih sekarang), konsep rekaan produksi yang luar biasa dan rekaan efek khas yang cukup halus dan hebat.
Hinggakan watak-watak ciptaan komputer dan watak manusia mampu bergabung dan berinteraksi dalam aksi yang hampir sempurna. Rekaan produksinya berupaya membangunkan seni kota Coruscant yang cukup indah yang menggabungkan seni rekaan arkitektur zaman Pertengahan Eropah dengan taman yang menghijau hingga kepada rekaan kota Gungan dalam laut yang cukup moden.
Bagaimanapun kerana penumpuan yang berlebihan terhadap watak-watak aneh, kesan teknologi dan arahan seninya, Lucas seakan terlupa membangunkan aspek yang lebih penting iaitu manusia dan arahan lakonan. Akibatnya kita dapat merasakan betapa keringnya filem ini dari aspek kemanusiaan, dan betapa gersangnya jiwa dan emosi filem ini. Star Wars: Episod I The Phantom Menace akhirnya akan dikagumi aspek ciptaan efek khasnya dan rekaan produksi serta dicemburui kehebatan teknologinya, tetapi gagal menyerlahkan kekuatan dan kedalaman jiwa dan kemanusiaannya.
Sumber : Utusan Online 18/6/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |