Ulasan Review |
. | . |
Judul : Teaching Mrs Tingle
Arahan : Kevin Williamson
Pelakon : Helen Mirren, Katie Holmes, Barry Watson, Marissa Coughlan dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Guru diingati oleh para pelajarnya secara umumnya oleh dua hal iaitu kerana sayang dan benci. Rasanya setiap orang pasti mengalami peristiwa ini di alam persekolahan masing-masing. Guru yang dikasihi dan disayangi pelajar kerana sikapnya yang prihatin dan mengasihi pelajarnya selain daripada dedikasinya kepada ilmu yang diajar.
Dan, guru yang kurang disenangi oleh pelajar kerana sikapnya yang garang, keras dan kurang bersimpati hanya kerana masalah disiplin pelajar yang rasanya boleh dimaafkan tanpa hukuman.
Tetapi bagaimana agaknya hendak berhadapan dengan guru yang bukan sahaja garang, manipulatif, sarkastik tetapi juga pendendam? Dia bukan sahaja tidak disenangi oleh pelajarnya tetapi juga pekerja dan pengetua sekolah.
Kebencian terhadap guru yang keterlaluan memungkinkan pelajar bertindak balas. Cuma sejauh mana tindak balas itu wajar, apatah lagi dengan perlakuan yang sedemikan sadis.
Puan Tingle (Helen Mirren) sebagai guru mungkin tidak disenangi oleh pelajarnya. Dia sebagai guru sejarah yang terkenal kerana garang, tidak mudah menerima pendapat pelajarnya, sarkastik dan bersifat pendendam, di mana hampir tidak ada pelajar yang menyenangkannya, terutama kepada Leigh Ann (Katie Holmes), pelajar yang dianggap cemerlang dalam pelajarannya.
Hanya seminggu sebelum peperiksaan dan peluang Leigh Ann untuk mendapatkan biasiswa yang memungkinkan dia melanjutkan pelajaran adalah bergantung kepada keputusan A dalam pelajaran sejarah.
Biarpun projek akhir pelajaran sejarahnya adalah dokumen sejarah tentang perempuan Salem yang dituduh penyihir, ditulis dengan baik dan dijilid menggunakan kulit, tetapi projek itu tidak cukup untuk memikat Puan Tingle.
Lebih buruk lagi Leigh Ann telah ditangkap oleh Puan Tingle atas tuduhan mencuri kertas soalan peperiksaan yang sebenarnya dilakukan oleh teman-teman Leigh Ann, Luke Churner (Barry Watson) dan Jo Lynn (Marisa Coughlan). Malam itu Leigh Ann, Jo Lynn dan Luke cuba menerangkan hal sebenar tetapi tidak dapat diterima oleh Puan Tingle, dan peristiwa malam itu berakhir dengan Puan Tingle diikat di atas katilnya.
Guru itu dikasari dan didera dengan pelbagai cara, dari ugutan hinggalah ke peringkat mengancam dengan panah. Sementara itu Puan Tingle pula secara psikologikal cuba memanipulasi ketiga-tiga pelajar itu untuk menimbulkan kecurigaan antara mereka. Plot filem ini bermula dengan baik dan menarik, tetapi tidak sehingga anak-anak muda itu mula bertindak kasar dan mendera dengan pelbagai cara yang menyakitkan.
Filem ini adalah filem pertama Kevin Williamson yang sebelum ini adalah seorang penulis yang memberikan kita komedi seram Scream dan Dawsons Creek. Teaching Mrs. Tingle adalah sebuah komedi gelap yang ditujukan kepada remaja, tetapi kelucuan yang cuba ditimbulkan oleh Williamson sebenarnya terasa begitu memualkan.
Filem ini hilang sifat humanitinya, elemen penting dalam menggarap sebuah komedi. Anak muda yang menculik gurunya bertindak mengikut naluri keras anak muda yang tidak terkawal dan sikap guru yang mempunyai dendam yang tidak rasional hanya menjadikan filem ini kacau dengan komedi dan horor yang mual. Filem ini secara moralnya terasa menyakitkan, biar sejauh mana pun fantasi kita yang mendendami guru yang tidak kita senangi.
Sumber : Utusan Online 12/11/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |