Ulasan Review |
. | . |
Judul : The Beach
Arahan : Danny Boyle
Lakonlayar : John Hodge
Pelakon : Leonardo DiCaprio, Guillaume Canet, Virginie Ledoyen, Robert Carlyle, Tilda
Swinton dan lain-lain.
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Sebuah pulau rahsia, tersorok di antara pulau-pulau yang terdapat di Thailand. Matahari, pantainya dengan pasir yang memutih dan lautnya yang jernih bagai kristal. Sempurna. Keindahannya bagai di syurga. Fantasi itu yang menggoda dan menarik Richard (Leonardo DiCaprio) dan malah banyak pengembara lainnya. Tetapi tidak semua berpeluang dan berjaya ke pulau Etopia itu.
The Beach menemukan kembali Leonardo DiCaprio dengan laut selepas Titanic. Bagi Richard sebagai anak muda dari Amerika, cerita-cerita eksotika tentang Asia mudah menggodanya dan Bangkok adalah pintu kepada keseronokan itu.
Dan Jalan Khao San yang dipenuhi warung-warung dan hotel-hotel murah dengan pengembara serta pelancong telah mencipta legendanya yang tersendiri di Bangkok.
Di sini, Barat mencari mistik Timur. Sekeping peta yang diberikan oleh Duffy Duck (Robert Carlyle) telah membawa Richard bersama sepasang kekasih dari Perancis Etienne (Guillaume Canet) dan Francoise (Virginie Ledoyen) ke sebuah pulau rahsia.
Pulau dengan keindahan yang mengagumkan, tetapi lebih penting pulau ini juga bebas daripada kesesakan pengembara dan pelancong seperti di Bangkok.
Bagaimanapun, di pulau ini rupanya telah sedia ada sekumpulan pengembara hippi yang diketuai oleh Sal (Tilda Swinton) menjadikan pulau itu perkampungan mereka dan juga sekumpulan peladang yang menanam ganja.
Di pulau ini, mereka menjalankan kehidupan yang bebas, menghabiskan hari dengan menyanyi, memancing dan menghisap ganja, sehinggalah akhirnya keseronokan dan kehidupan bebas mereka mulai runtuh dan menemui kemusnahan.
Ia bermula dengan serangan ikan yu yang membunuh Stern dan Christo, empat orang rakan pengembara yang cuba mengikut jejak Richard ke pulau itu, tetapi ditembak mati oleh kumpulan penanam ganja dan akhirnya mereka dihalau dari pulau tersebut.
Filem ini didasarkan daripada novel Alex Garland, penulis muda dari Britain yang menceritakan mengenai kehidupan di sebuah pulau Etopia di Thailand. Pulau ini menjadi tempat pelarian sekumpulan pengenbara daripada hiruk-pikuk destinasi pelancongan lainnya di Thailand.
Filem ini mencipta kontroversinya sendiri. Daripada tuduhan bahawa pihak berkuasa Thailand telah menggadaikan warisan semula jadinya kepada kerakusan Hollywood, kecaman kumpulan ekologis yang prihatin terhadap perubahan dan kerosakan yang dilakukan sepanjang penggambaran hingga kepada tuduhan bahawa filem ini bukanlah mengenai Thailand dengan gambarannya yang satu dimensi dan stereotaip.
Untuk berlaku adil, buku yang menjadi dasar filem ini secara umumnya bukanlah mengenai Thailand. Ia mengenai pengembara muda (backpackers) yang saban tahun memenuhi Thailand. Bagi Garland, The Beach merupakan satira dan kritikan kepada budaya pengembara itu sendiri, bukan mengagungkannya.
The Beach sebagai sebuah filem tidak diberikan konstruksi plot yang kuat dan meyakinkan. Watak-watak yang lemah dan DiCaprio gagal memberikan kekuatan dalam lakonannya.
Tetapi keindahan fotografi oleh Darius Khondji adalah kekuatan filem ini. Danny Boyle pengarah yang pernah memberikan filem Trainspotting dengan stailnya yang provokatif, berusaha memberikan impak stailnya dalam filem ini.
Fiksyen dan fakta berbaur, real dan surrealis berpadu. Adegan-adegan surrealis antara Richard dan Duffy adalah adegan yang cukup menarik dan sukar dilupakan dalam filem ini.
Kecemerlangan fotografi oleh Darius Khondji berupaya menyerlahkan keindahan Pulau Phi Phi dan Teluk Maya untuk dijadikan poskad yang mampu menjadi promosi terbaik untuk pelancongan Thailand, justeru boleh menarik lebih ramai pengembara muda dan pelancong.
Memang filem ini dilingkari dengan kelemahan dan kontroversi, apatah lagi dengan kehadiran Leonardo DiCaprio, tetapi lupakan, bukankah kontroversi juga antara agenda yang menjual sesebuah filem.
Sumber : Utusan Malaysia 18/2/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |