Ulasan
Review
. .

Judul : The Cider House Rules
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Persoalan moral dalam The Cider House Rules

The Cider House Rules Filem ini disediakan skrip yang baik, lakonan yang mantap, fotografi yang indah dan arahan yang cukup kuat. Apa lagi yang dapat diharapkan dari sebuah filem yang berkisar tentang rumah anak yatim, pengguguran haram, perbuatan sumbang antara bapa dan anaknya, dan pembunuhan dengan berlatarkan era Perang Dunia Kedua.

Filem ini diadaptasi dari novel John Irving yang diterbitkan pada 1985, antara novel terbaiknya. Selepas kecewa dengan beberapa buah novelnya yang diadaptasi ke filem, Irving mengambil keputusan membuat lakonlayarnya sendiri untuk filem ini.

Untuk menghasilkan novelnya, Irving mengambil masa setahun lebih membuat penyelidikan tentang pembedahan ginekologi yang dilakukan antara tahun 1930-an dan 1940-an. Jadi, siapakah yang lebih layak umtuk menghasilkan lakonlayar filem ini?

Lasse Hallstrom yang mengarahkan filem ini berasal dari Sweden dan sebelum ini telah menghasilkan filem My Life as a Dog dan Whats Eating Gilbert Grape. The Cider House Rules adalah sebuah filem yang lirikal dan suram. Ia membawakan subjek yang kontroversi dengan konflik nilai sosial yang bertentangan antara simpati, tanggungjawab dan rasa berdosa. Kemanusiaan dan kekejaman berbaur dan kontradik.

Dr. Wilbur Larch (Michael Caine) adalah pengetua sebuah rumah anak yatim di Maine. Dia simpati dengan anak-anak yatim tersebut, memberikan mereka harapan dengan gelaran Putera-Putera Maine dan membacakan mereka cerita dari novel klasik David Copperfield, tetapi pada masa yang sama melakukan kerja terlarang iaitu menjalankan pembedahan pengguguran haram kepada gadis yang terlanjur.

Pembantunya Homer Wells (Tobey Maguire) salah seorang anak yatim di situ mempunyai pendapat yang berbeza dengan Dr. Larch tentang kerja pengguguran haram tersebut. Bagaimanapun apabila Rose anak perempuan kepada ketua kumpulan pemetik epal di ladang kepunyaan keluarga Wally (Paul Rudd) dihamili oleh ayahnya sendiri, Homer terpaksa berhadapan dengan konflik pendiriannya.

Dunia Homer sendiri telah berubah sejak dia mengikuti Wally dan kekasihnya Candy (Charlize Theron) yang datang ke rumah anak yatim itu untuk membuat pengguguran. Wally membuka dunia baru bagi Homer yang jauh berbeza dengan dunia rumah anak yatim yang didudukinya selama ini. Di rumah pekerja ladang epal itu Homer mengenal sisi kehidupan yang lain dengan peraturan hidup yang berbeza, tetapi selalu sahaja diingkari.

Michael Caine dan Tobey Maguire cemerlang dalam lakonan masing-masing. Pada wajah Dr. Larch terakam kesedihan, rasa kemanusiaan dan pada masa yang sama kedegilannya melakukan sesuatu yang diyakininya walaupun dia tahu itu salah. Peraturan sosial kehidupan terpaksa diketepikan kerana simpati dan rasa tanggungjawab.

The Cider House Rules menghujahkan persoalan kemanusiaan dan moraliti, secara cukup sensitif dan dihasilkan dengan sentuhan filem Eropah yang mengutamakan kualiti dan tidak terseret di dalam peraturan komersil Holywood.

Sumber : Utusan Online 24/3/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000