Ulasan
Review
. .

Judul : The Haunting
Arahan : Jan De Bont
Skrip : David Self
Pelakon : Liam Neeson, Lili Taylor, Catherine Zeta Jones. Owe Wilson dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Haunting filem kitar semula

Membikin atau mengulang semula filem lama telah menjadi ideologi pembikin filem di Hollywood. Menoleh ke belakang terutama kepada filem-filem lama yang pernah berjaya secara komersial atau siri tv yang pernah popular menunjukkan mereka terdesak dalam mencari inspirasi menghasilkan cerita sendiri yang asli.

Hollywood maklum bahawa mencipta cerita baru terlalu sukar kerana cerita tidak mempunyai banyak jenis atau genre, dan filem telah memfilemkan hampir kesemuanya. Yang memberikan perbezaan hanyalah kelainan cara dan pendekatan sahaja.

Hollywood dalam dekad 90-an sebenarnya berada dalam era pengulangan atau pembikinan semula. Selain mengulang filem lama, genre filem Hollywood juga selalu berulang mengikut musim. Antara yang terkini dalam konteks ini adalah filem Wild Wild West yang diambil dari siri popular tv tahun 60-an.

Filem lain yang membuat pembikinan semula adalah Psycho yang diarahkan oleh Gus Van Sant, dan kini adalah filem daripada genre seram The Haunting. Biar apapun alasan yang diberikan untuk mewajarkan tindakan itu, ia jelas menunjukkan ideologi Hollywood yang cukup dikuasai oleh kerisauan komersialisme.

Mereka hanya yakin kepada hasilan yang telah teruji di pasaran. Mereka mahu mengelak risiko kegagalan akibat daripada penguasaan golongan konglemerat terhadap studio. Mereka sama ada menganggap masyarakat moden sebagai tidak mempunyai ingatan atau pengetahuan yang cukup tentang keaslian filem tersebut atau memang tidak ambil peduli.

Filem kitar semula ini sudah tidak mementingkan aspek naratif, apa yang penting adalah aspek imej dan teknologi yang dikatakan tidak berupaya dilakukan oleh produk terdahulu. Sebab itu Hollywood di sebalik timbunan ratusan skrip baru, tetap sukar melupakan nostalgia dan tarikan filem lama untuk dikitar semula kepada penonton generasi baru.

Filem The Haunting arahan Jan De Bont ini adalah pembikinan semula filem judul yang sama arahan Robert Wise pada tahun 1963. The haunting mengisahkan seorang psikologis lakonan Liam Neeson yang sedang mengkaji pesakit imsonia di sebuah banglo besar yang dikatakan berhantu. Ia menjadikan Eleanor (Lili Taylor), Theo (Catherine Zeta Jones) dan Luke (Owe Wilson) sebagai bahan ujiannya.

Skrip yang ditulis oleh David Self yang diadaptasi daripada novel The Haunting of Hill House karya Shirley Jackson ini bukan sahaja sebuah cerita seram tentang hantu, tetapi juga merupakan penjelajahan psikologikal dengan menggunakan subteks Freud dalam mengenal pasti permasalahan mangsanya.Tetapi di manakah silapnya The Haunting sebagai sebuah filem seram?

Yang menakutkan tentang filem ini adalah pada pembentukkan naratifnya yang kacau dan hilang arah. Pelakon yang baik seperti Liam Neeson, Catherine Zeta Jones atau penampilan khas Bruce Dern tidak dapat menyelamatkan filem ini daripada kelemahan yang nyata ini.

The Haunting di sebalik efek khasnya hanyalah sebuah filem seram konvensional yang mengambil idea, stail dan pendekatan lama yang menghukum mangsanya dengan adegan yang klise dan stereotaip. Lihat sahaja motivasi adegan kematian yang dialami oleh Luke atau rentetan penderaan yang dialami oleh Eleanor, yang hambar dan tidak berkesan.

Apa yang diutamakan oleh Jan De Bont adalah efek visual dan tenaga yang ada pada visual itu. Maka yang menonjol dalam filem ini adalah efek khas dan tempo pantasnya, kesan daripada kecemerlangan ciptaan efek imej janaan komputer.

Perlu diingat, Jan De Bont adalah pengarah yang telah memberikan kita Speed dan Twister, dua buah filem yang lebih diingat kerana kecanggihan teknologi efek khasnya dan kelajuannya. Kerana itu dalam The Haunting yang menjadi pelakon utamanya adalah rumah usang tersebut, dengan setnya yang mewah, dekorasi yang hebat dan sekali gus agak menyeramkan. Tetapi set ini gagal membantu untuk memberikan kesan ngeri dan seram yang sewajarnya, sebaliknya lebih banyak menyibuk dan mengacaukan. Adegan yang menarik hanyalah adegan Aleanor menaiki tangga berpusing.

Kegagalan The Haunting adalah kerana kegagalan membina adegan-adegan yang menyeramkan dan yang mengesankan, hingga adegan yang seharusnya menyeramkan menjadi sebaliknya, melucukan, hambar dan tidak meyakinkan. Punca kepada kelemahan seluruh filem ini adalah kekacauan naratifnya, akibat jalan mudah yang diambil oleh Jan De Bont yang lebih mengutamakan aspek kesan khas yang dihasilkan oleh grafik komputer.

Sumber : Utusan Online 8/10/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001