Ulasan Review |
. | . |
Judul : The Lost World: Jurassic
Park
Arahan : Steven Spielberg
Lakonlayar : David Koepp
Pelakon : Jeff Goldblum, Julianne Moore, Pete Postlethwaite, Richard Attenborough, Vanessa
Lee Chester, Arliss Howard, Harvey Jason dan lain-lain.
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B-
Dalam tahun 1993 Steven Spielberg menghasilkan Jurassic Park, sebuah filem yang didasarkan dari novel karya Michael Crichton tentang DNA dan penciptaan semula binatang raksasa dinosaur. Filem ini bukan sahaja telah menghasilkan sejarah baru dari segi rekod pungutan keuntungannya di pasaran, tetapi yang paling penting Jurassic Park telah membuka lembaran baru dari segi teknologi efek visual.
Biarpun filem itu harus bertelagah dari segi teori dan sains tentang kemungkinan untuk menghidupkan semula dinosaur tetapi Spielberg menunjukkan bagaimana gabungan teknologi dan kreativiti memungkin imaginasi itu dilahirkan di layar perak.
Dengan bantuan Computer Graphic Images (CGI), imej fantasi dinosaur menjadi realiti yang begitu hidup. Segala aksi menghidupkan reptilia raksasa itu hanya mengambil tempat di dalam monitor komputer. Rupanya kejayaan besar Jurassic Park empat tahun lalu sudah cukup menggoda pihak Universal Studio untuk menghasilkan sequelnya.
Menghasilkan sequel sebenarnya tidak mudah, malah lebih mencabar. Bukan selalu pula sebuah sequel menjadi sebuah filem yang lebih berjaya dari yang pertama (dalam kes ini filem Godfather 2 adalah satu kejayaan tetapi Godfather 3 adalah kegagalan besar bagi Francis Ford Coppola).
Cabaran yang cukup besar menanti sequel sesebuah filem, apakah filem itu dapat mengatasi kehebatan filem yang pertama. Apakah yang mewajarkannya untuk menghasilkan sebuah sequel tanpa memperkecilkan intelektual penonton?
Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh The Lost World: Jurassic Park sebenarnya. Apakah perlunya Dr. Ian Malcolm (Jeff Goldblum) pergi ke pulau tropika Isla Sorna di Costa Rica. Pengalaman ngerinya dengan binatang purba itu dahulu sudah cukup mengajarnya.
Tidak mudah sebenarnya bagi Spielberg mahupun Michael Crichton yang mana novelnya The Lost World menjadi dasar filem ini untuk mencari jawapan yang meyakinkan. Isla Sorna adalah pulau lain yang mana telah digunakan oleh John Hammond (Richard Attenborough) untuk membiakkan reptilia purba itu secara rahsia.
Tetapi dengan meletakkan Dr. Sarah Harding (Julianne Moore) seorang paleontologis yang juga merupakan teman wanita Malcolm di pulau itu membuat penyelidikan, maka Malcolm tidak ada pilihan lain. Dalam Jurassic Park yang pertama kanak-kanak menjadi elemen utama Spielberg untuk mengeksploit kesan saspens.
Sebab itu, untuk memungkinkan adegan yang lebih saspens dalam filem ini, maka rombongan ke pulau itu perlu memasukkan Kelly (Vanessa Lee Chester) anak tiri Malcolm.
Rupanya bukan sahaja rombongan Malcolm yang berada di pulau itu tetapi juga rombongan Peter Ludlow (Arliss Howard) yang kini mengambil alih InGen Corporation. Rombongan yang diketuai oleh pemburu handal, Roland Tembo (dimainkan dengan cukup berkesan oleh Pete Postlethwaite) melihat binatang purba ini sebagai sumber untuk dieksploit demi meraih keuntungan yang lebih besar.
Dengan meletakkan rombongan Ian Malcolm berusaha menyelamat dan membebaskan binatang purba ini dan rombongan yang diketuai oleh Tembo sebagai berniat jahat, maka filem ini kembali kepada alur cerita yang lumrah antara yang baik dan yang jahat. Binatang purba menjadi elemen pembinasa dan pemusnah.
Dengan menggunakan teknologi CGI yang lebih canggih, Spielberg mencipta spektakular yang cukup realistik. The Lost World menonjolkan lebih banyak reptilia raksasa berbanding Jurassic Park yang asal. Pastinya dengan ciptaan yang lebih teliti dan rapi.
Senarai reptilia raksasa yang dicipta bergerak dari T.Rex, Terranadons, Dilophasaurus, Velociraptor, Stagosaurus, Parasaurolophus hinggalah kepada Procompsograthus reptilia kecil yang lincah tetapi ganas. Binatangnya meyakinkan dan sekaligus memang berupaya menakutkan, tetapi untuk merasa suspens dengan ancaman reptilia purba ini kesannya adalah sebaliknya.
Dalam Jurassic Park kemunculan reptilia purba ini bukan sahaja mengerikan tetapi menjanjikan rasa suspens yang tersendiri. Sebahagian besar kelemahan The Lost World adalah pada struktur ceritanya yang begitu lemah. Malah tidak sampai separuh jalan, kita kehilangan minat untuk mengikuti ceritanya.
Hanya keupayaan teknologi CGI yang berupaya memberi kerapian dalam adegan dinosaurnya yang mampu memikat kekaguman kita pada filem ini. Selain lakonan yang cukup berkesan oleh Postlethwaite yang mengingatkan saya pada watak lakonan Robert Duvall dalam Apocalypse Now dan Robert Shaw dalam Jaws pelakon lain seperti Goldblum dan Julianne terasa mengecewakan.
Mungkin juga kerana filem ini bergantung kekuatannya kepada hero-hero ciptaan komputer. Tetapi sekali lagi kecanggihan teknologi CGI yang dianggap masa depan filem tidak berupaya menyelamatkan sebuah filem yang lemah struktur ceritanya. Memang seorang pengarah hebat dan baik tidak selalu menghasilkan filem-filem yang baik kerana mereka juga sering menghasilkan filem-filem yang hampas.
Spielberg adalah putera Hollywood yang paling hebat di zamannya. Sentuhannya sering menjadi emas. Filem-filem arahannya menjadi begitu popular hingga sering menimbulkan konflik di kalangan pengkritik.
Namun di sebalik pandangan kritikal pengkritik, Spielberg sebenarnya seorang pengarah yang cukup berkemampuan dan berkesan dalam membentuk naratifnya. Kepakarannya adalah menguasai mise-en-scene, yang menjadi kunci untuknya dengan mudah memanipulasi emosi penontonnya.
Mise-en-scene Spielberg ditukang dengan amat baik hingga kelihatan cukup mudah, biarpun keutamaan diberikan kepada teknologi dan cukup bergantung pada efek sinematik tetapi pada masa yang sama begitu manipulatif dan realistik.
Keupayaan Spielberg memerangkap penonton dengan mainan mise-en-scenenya menyebabkan penonton biasa gagal melihat lebih dari apa yang dipaparkan oleh imejnya dan terus diperangkap dalam kerangka cerita Spielberg. Spielberg adalah tukang cerita zaman moden yang paling berjaya.
Dia telah menghasilkan Duel dan Jaws sebagai filem suspens yang telah menjadi klasik. Jurassic Park yang pertama dibandingkan dengan kehebatan filem King Kong sebagai antara filem tentang raksasa yang paling menarik pernah dihasilkan.
Filem Close Encounters of The Third Kind, E.T. dan Schindler's List adalah filem-filemnya yang terbaik. Setengah dari filem-filem yang dihasilkan oleh Spielberg muncul sebagai paling berjaya di pasaran. Cuma kali ini, The Lost World: Jurassic Park samalah seperti filem 1941 dan sequel Indiana Jones adalah sebahagian dari kegagalannya.
Sumber : Utusan Online 13/6/1997
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |