Ulasan Review |
. | . |
Judul : The Mummy
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Hollywood bukan sahaja suka membangkitkan sejarah yang telah berkubur ribuan tahun, tetapi kegemaran Hollywood juga ialah memutar kembali filem-filem lama yang pernah berjaya. Sejak filem The Mummy pertama kali dihasilkan pada 1932 dan mendapat sambutan, tidak kurang daripada sebelas buah filem tentang mumia telah dihasilkan di Hollywood.
Para produser di Hollywood sering beranggapan penonton tidak pernah cukup dengan apa yang telah pernah dihasilkan, lalu mengulangnya. Filem The Mummy ini adalah berdasarkan filem judul yang sama terbitan tahun 1932 dan filem ini merupakan gelombang ketiga dari filem yang sama.
Kalau sudah demikian banyak filem dibuat daripada subjek yang sama, maka penonton wajar bertanya apakah kelainan dan kemungkinan lain yang harus ada pada filem ini? Apakah pilihan yang harus ada pada Stephen Sommers untuk memberikan kekuatan kepada The Mummy? Berbanding filem mumia awal yang mampu membangkitkan misteri dan mitos ngeri tentang mumia yang tidak diketahui, malangnya kisah yang sama hari ini harus mengambil pendekatan lain yang perlu lebih menarik.
Kerana itu filem ini perlu bergantung pada kecanggihan efek khas yang seharusnya mampu memberikan bentuk dan kesan yang mencabar imaginasi penonton. The Mummy berkisar sumpahan yang telah diterima oleh seorang paderi zaman kekuatan Firaun dahulu, Imhotep (Arnold Vosloo), yang telah berlaku curang kepada Firaun dengan membuat hubungan sulit dengan isteri Firaun dan kemudian membunuh Firaun.
Dia menerima padah daripada Firaun, ditanam hidup-hidup dalam kegelapan kubur Firaun bersama serangga ganas, diseksa dan harus menunggu hari untuk dibangunkan semula dengan mengambil bentuk manusia lain. 3000 tahun kemudian baharulah Imhotep dibangunkan apabila sekitar tahun 1929 sekumpulan arkeologis dan pengembara Amerika yang diketuai oleh Rick O' Connell (Brendan Fraser) dan Evelyn Carnarvon (Rachel Weisz) seorang pakar Mesir purba berjaya menemui penempatan kubur purba ini dan berjaya memasuki kubur tersebut.
Mereka turut diikuti oleh abang Evelyn juga seorang pakar Mesir purba yang lebih suka menghabiskan masa di bar dan seorang pencuri professional Beni (Kevin J. O Connor) yang mempunyai muslihat tersendiri, iaitu mencuri emas dan permata yang banyak terdapat di makam tersebut.
Penonton sebenarnya sudah boleh menjangka jalan cerita, malapetaka dan korban yang bakal dihadapi oleh mereka akibat sumpahan Firaun dan juga bentuk ancaman daripada Imhotep yang telah hidup semula menjadi mummi.
Stephen Sommers barangkali memang menyedari kelemahan filem ini dari aspek cerita, dan kerana itu dia cukup bergantung kepada rekaan efek khas yang dikendalikan oleh Industrial Light & Magic (ILM), pakar efek khas kepunyaan George Lucas yang mengkagumkan kita dengan ciptaan efek khasnya di dalam Star Wars: Episod 1.
Kita ditunjukkan dengan imej visual gelombang pasir yang begitu besar yang mampu menelan apa sahaja, serangan serangga yang ganas dan mampu memusnahkan mangsanya dalam beberapa saat dan pastinya ancaman daripada jasad-jasad mumia. Sekali imbas keupayaan ILM dalam ciptaan efek khasnya memang mengagumkan tetapi kehebatan efek khas ini gagal meninggalkan kesan sewajarnya.
Cabaran paling besar dalam menghasilkan efek khas adalah originaliti. Dan aspek inilah yang tidak ada dalam filem ini. Ia diburukkan lagi kerana filem ini merupakan ulangan semula filem lama, yang sememangnya lemah dari aspek ceritanya. Sommers, pengarah filem ini seharusnya mengambil ingatan pada kata-kata Steven Spielberg, bahawa kuasa filem terletak pada cerita yang baik.
Memang trend Hollywood hari ini akan menambahkan sebanyak mungkin efek khas dalam filem mereka. Tetapi teknologi canggih dan efek khas tidak berupaya menyalin emosi, keakraban dan reaksi kemanusian manusia sejati.
The Mummy, contoh bagaimana Hollywood menghadapi kegawatan cerita yang lebih asli, lalu mengambil jalan mudah menyalin filem lama dan bergantung kepada kekuatan rekaan efek khas yang mampu dicipta melalui komputer. Tetapi sebuah filem lebih daripada itu kerana filem tetap memerlukan persoalan asas iaitu keaslian dan kekuatan olahan cerita. Bagi anda yang ingin ketawa kerana kedunguan cerita dan lakonan bolehlah menonton filem ini.
Sumber : Utusan Online 9/7/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |