Ulasan
Review
. .

Judul : The Perfect Storm
Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Perfect Storm... hanya kesan visual

The Perfect Storm Menentang alam? Hanya mereka yang angkuh dan hilang pertimbangan sahaja yang akan melakukannya. Tetapi apakah Billy Tyne dan teman-temannya sememangnya angkuh atau sudah hilang pertimbangan yang menyebabkan mereka merempuh badai besar di tengah Lautan Atlantik itu? Sememangnya kita juga tidak pernah tahu dengan pasti mengapa Billy dan teman-temannya melakukannya.

Terlalu yakin dan ego pada keupayaan mereka selama ini atau sememangnya angkuh mencabar kuasa alam. Sebastian Junger yang menulis buku yang menjadi dasar filem ini juga tidak dapat menjelaskan mengapa mereka dengan berani melakukan kerja gila itu.

Ia hanya mencatatkan tentang tragedi ribut di Lautan Atlantik Utara pada tahun 1991 yang turut memusnahkan kapal nelayan Andrea Gail yang hanya berukuran 22 meter itu. Tidak ada seorang pun yang terselamat dari kapal itu dan dapat menceritakannya kepada Junger. Jadi apakah yang dapat dilakukan oleh penulis lakonlayar Bill Wittliff dalam adaptasinya itu?

Sebab itulah adegan di lautan itu menjadi kacau, hambar dan hilang arah. Sebaliknya adegan-adegan di darat dan adegan yang melibatkan Elizabeth Mastrotonio selalu tampil dengan lebih berkesan. Ini kerana Bill Wittliff dapat mengembangkan dengan baik plotnya sekitar tunang yang kerisauan, ibu yang resah, bekas isteri yang kecewa, anak yang mengharap dan mereka di pub yang selalu tampil menghidupkan suasana.

Akhirnya apa yang dapat dilakukan oleh Bill Wittliff dan Wolfgang Petersen adalah mempermainkan emosi dan persepsi penonton dengan debaran, kesengsaraan dan kesukaran di dalam sebuah kapal yang kelihatan begitu kecil di tengah lautan yang bergelora ganas. Sebab itu juga diwujudkan subplot tentang usaha menyelamat tiga orang pelayar di atas kapal layar mewah yang nyata juga lebih berkesan. Tetapi subplot ini tidak banyak memberi sumbangan membangunkan cerita utama.

Watak utama yang sebenar dalam filem ini adalah ribut dan ombak laut yang ganas. Efek visual yang dihasilkan oleh teknologi digital di makmal Industrial Light and Magic (ILM) hampir menemui kesempurnaannya. Orang yang bertanggungjawab menghasilkan kecemerlangan efek ini adalah Stefen Fangmeier, pakar efek khas yang pernah memberikan kita ribut Tornado dalam Twister dan kecanggihan efek visual dalam Terminator 2.

Teknologi digital yang digunakan dalam Perfect Storm jauh lebih dahsyat dan hebat berbanding teknologi yang dilakukan oleh George Lucas dalam Star Wars: The Phantom Menace.

Untuk menjadikan ribut dan ombak besar setinggi lebih 60 meter dalam sebuah realiti yang menggerunkan, mereka perlu mengkaji ombak, menggunakan laporan cuaca dan membaca formula saintifik, dan pastinya menggunakan kecanggihan dan keupayaan memori komputer yang besar.

Hasilnya kehebatan hyper-reality visual ombak besar dan ganas membadai jauh lebih berkesan dan dramatik dari para pelakonnya. Kelaziman filem-filem besar Hollywood musim panas ini, yang diutamakan adalah efek dan kemusnahan yang besar, lakonan hanyalah sampingan.

Sesekali mari kita menoleh ke selatan, ke Australia. Australia pernah memberikan sejumlah pengarah filem muda seperti Peter Weir, Gillian Armstrong, Phillipe Noyce dan Fred Schepissi yang menghasilkan filem-filem yang cukup bagus sebelum mereka turut menguasai pembikinan filem di Amerika.

The Interview, filem ini memberikan kelainan. Biarpun sebahagian besar adegan berlaku di dalam sebuah bilik soal siasat polis, tetapi filem ini nyata sungguh menggigit dan sekali gus mengerikan. Filem ini bergantung pada kekuatan skrip dan lakonan. Ia menyentak dan menyentuh sesiapa yang menontonnya. Peristiwa ini boleh berlaku kepada sesiapa, apabila kuasa diperlakukan sewenang-wenangnya.

Seorang yang tidak bersalah boleh sahaja menjadi seorang yang tertuduh, dan mengaku bersalah terhadap kesalahan yang tidak dilakukannya apabila tekanan psikologi dan ugutan yang diulang-ulang dikenakan kepadanya. Eddie Fleming yang tidak bekerja, tiba-tiba sahaja diberkas oleh sepasukan polis ketika sedang tidur di biliknya.

Fleming dibawa ke bilik soal siasat polis dan disoal siasat berjam-jam oleh anggota polis yang diketuai oleh Sarjan John Steel. Pada mulanya Fleming dituduh di atas kecurian sebuah kereta yang berlaku kira-kira 26 tahun dahulu. Layanan polis kepada Fleming yang pada awalnya masih mesra bertukar kepada ancaman dan ugutan.

Apa yang dapat dilakukan oleh Flemming yang bukan sahaja baru kehilangan kerja, tetapi juga baru bercerai dengan isteri dan juga kehilangan rumahnya? Dari tuduhan mencuri kereta, Fleming dituduh pula menyebabkan kematian Andrew Boycroff. Nyata pihak polis sebenarnya mencari seorang pembunuh bersiri dan Fleming dituduh hanya kerana dikatakan mempunyai tulisan tangan yang hampir sama.

Akibat tekanan pihak polis yang keterlaluan, akhirnya Fleming terpaksa mereka cerita bahawa dialah yang mencuri kereta dan melakukan pembunuhan itu, tujuannya supaya dia dapat makan dan mungkin dilepaskan. Tetapi nyata pengakuan palsu yang diberikannya itu akan menjerat dirinya kerana pihak polis boleh menggunakan pengakuan itu untuk mendakwanya di mahkamah.

Mujurlah ada pasukan penyiasat dalaman polis yang dapat mengesan cara Sarjan John Steele yang keterlaluan, mengugut dan mengancam untuk mendapatkan pengakuan orang yang disyaki. Filem ini mempersoalkan etika polis dalam menjalankan soal siasat, penyalahgunaan kuasa, penipuan dan ugutan, malah sanggup melanggar undang-undang atas alasan memperkuatkan penggunaan undang-undang itu sendiri.

The Interview adalah filem pertama Craig Monahan. Hampir keseluruhan adegan-adegan dalam filem ini berlaku dalam bilik soal siasat. Tetapi kekuatan skrip, lakonan dan arahan Craig Monahan yang sungguh berkesan menjadi filem ini tontonan yang cukup berkesan, menginsafkan dan sekali gus menakutkan.

Sumber : Utusan Online 28/7/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000