Ulasan Review |
. | . |
Judul : The Red Violin
Arahan : François Girard
Lakonlayar : Don McKellar dan François Girard
Pelakon : Irene Grazioli, Carlo Cecchi, Christoph Koncz, Jason Flemyng, Greta Scacchi,
Sylvia Chang, Samuel L. Jackson dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Sebuah violin rupanya hampir menyerupai seorang manusia yang dibelakangnya menyimpan sejumlah rahsia dan misteri. Apatah lagi sebuah violin yang sedemikian lama usianya. Violin berwarna merah abad ke-17 ini dianggap sebagai mempunyai kesempurnaan paduan antara keindahan dan sains dan satu-satunya yang mempunyai kesempurnaan akustik. Selama tiga ratus tahun violin ini telah menyeret bersamanya sejumlah rahsia berdarah, sumpahan, saga cinta dan tragedi.
Sebuah filem yang begitu ambisi, epik dan mempunyai citra seni yang tinggi. Sebuah kisah romantis yang dilingkari tragedi berlegar di sekeliling violin yang berpindah tangan daripada seorang ke seorang selama lebih empat dekad. Perjalanan riwayat violin yang panjang itu menyaksikan sejumlah tragedi dan rahsia yang besar, yang cuba dibongkar selapis demi selapis.
Ia bermula dengan kematian Anna Bussoti (Irene Grazioli) isteri si pembuat violin terkemuka Itali Nocolo Bussoti (Carlo Cecchi). Anna mati selepas melahirkan anaknya dan inilah tragedi pertama dalam riwayat violin itu. Violin ini kemudian menjadi trauma kepada Kaspar Weiss (Christoph Koncz) seorang anak yatim yang dipelihara oleh seorang rahib di Austria.
Dia menemui tragedinya sebelum sempat memperdengarkan gesekan violinnya di hadapan seorang maestro musik di Vienna. Seratus tahun kemudian violin itu berpindah tangan kepada seorang komposer Inggeris Frederick Pope (Jason Flemyng). Dia kemudian mempunyai hubungan romantis dengan seorang novelis wanita Victoria Byrd (Greta Scacchi) yang hubungan ini juga berakhir dengan satu tragedi dan violin itu menjadi punca cemburu dan godaan nafsu sekali gus.
Violin itu kemudian dibawa ke negara China oleh pembantu Frederick yang berbangsa China dan alat muzik itu jatuh ke tangan seorang bangsawan. Apabila komunis menguasai China, violin itu sekali lagi menjadi mangsa kerana dilihat sebagai warisan kapitalis.
Mujur ia diselamatkan oleh seorang pegawai parti komunis, Xiang Pei (Sylvia Chang) yang telah mengamanahkan alat itu kepada seorang guru muzik yang kemudiannya ditemui mati dalam tragis. Akhirnya violin itu berada dalam sebuah acara lelong di Montreal, tetapi sekali lagi violin itu akan memanjangkan riwayatnya yang tragis itu dalam kilasan adegan penamat yang tidak diduga.
The Red Violin menjelajah tiga benua, merentasi empat abad dan lima bahasa untuk akhirnya memecahkan dua persoalan iaitu berhubung dengan nasib selanjutnya violin itu selepas dilelong dan rahsia sebenar di sebalik kesempurnaan akustiknya dan mengapa violin itu berwarna merah.
Secara visual ia adalah persembahan yang mengagumkan tetapi filem ini menjadi lemah kerana keghairahan skruktur naratif yang dibina secara timbal balik antara adegan imbas ke masa lampau yang menceritakan latar sejarah violin itu dan adegan semasa tentang penyelidikan yang dilakukan oleh Charles Morritz (Samuel L. Jackson), serta adegan lelong.
Struktur naratif bergerak antara segmen yang memuatkan kostum terutama adegan di Itali dan Austria, dan adegan yang dramatik dalam segmen di China, pada waktu di mana Mao Tze Tung melancarkan revolusi kebudayaannya.
Timbal balik antara adegan masa lampau dan masa kini serta pembahagian segmen menyebabkan naratif filem ini kurang berkesan. Apatah lagi kecuali segmen di China, segmen-segmen lain kurang dramatik untuk mengikat emosi dan perhatian penonton. The Red Violin hanya cantik dipermukaan tetapi naratifnya hilang kesan dramatiknya.
Sumber : Utusan Online 17/12/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |