Ulasan
Review
. .

Judul : The Story Of Us
Pengulas : A. Wahab Hamzah


The Story Of Us bila berakhirnya bulan madu

Kenangan bibit-bibit perhubungan sebelum berkahwin memang selalunya menjadi memori yang manis. Segala peristiwa, kesulitan atau cabaran yang dihadapi selalu menjadikannya plot cerita yang memikat pembaca novel atau penonton filem. Tetapi pada ketika kebanyakan cerita cenderung mengisahkan bibit kemesraan yang berakhir dengan perkahwinan sebagai kemuncak perhubungan itu, filem ini sebaliknya.

Filem ini cuba melihat apa yang berlaku selepas bulan madu berlalu. Apakah keceriaan dan keriangan semasa berkasih atau pada awal perkahwinan itu akan terus berkekalan.

Selepas 15 tahun berkahwin pasangan suami isteri Jordan (Bruce Willis) dan Katie (Michelle Pfeiffer) menghadapi kemelut yang sukar untuk mengekalkan kemesraan dan hubungan mereka.

Mereka menjadi kacau dan sama sekali sukar memahami mengapakah bibit-bibit kemesraan dan keriangan yang pernah memikat mereka dahulu telah hilang magiknya.

Perhubungan mereka menjadi gersang dan sedikit sahaja kesilapan akan membawa perbalahan yang lebih besar. Mereka menjadi pasangan yang dingin dan hubungan mereka berjalan dalam kebisuan. Masalahnya mereka mempunyai dua orang anak yang semakin membesar iaitu Josh 12 tahun dan Erin 10 tahun.

Mereka ini amat memerlukan perhatian berat daripada kedua ibu bapa mereka. Jordan dan Katie perlu berpura-pura mesra dan riang di hadapan anak-anak mereka. Tetapi berapa lama dan wajarkah tindakan mereka.

Akhirnya semasa Josh (Jake Sandvig) dan Erin (Colleen Rennison) menghadiri percutian musim panas, Jordan dan Katie tinggal berasingan di rumah masing-masing. Tetapi nyata tindakan mereka ini juga bukan penyelesaian.

Filem yang ditulis oleh Alan Zweibel dan Jessie Nelson cuba memberikan refleksi kepada nilai-nilai dan momen indah yang mempertemu dan membentuk mereka sebagai pasangan yang ideal dahulu. Katie adalah seorang penulis silangkata yang selalu meriangkan dan pada masa yang sama cuba mengatur kehidupan yang lebih sempurna.

Manakala Jordan adalah seorang penulis yang imaginatif, romantis dan bertindak sesuka hatinya sahaja. Dengan nilai-nilai ini mereka disatukan dan cuba membentuk keluarga yang bahagia. Tetapi nyata hidup mereka selepas itu penuh paradok dan mudah membawa pertengkaran walau oleh peristiwa yang remeh.

Rob Reiner (yang muncul sebagai kawan Jordan) yang mengarahkan filem ini pernah memberikan filem-filem komedi romantis seperti When Harry Met Sally, komedi remaja yang memikat The Sure Thing, Stand By Me, drama kehidupan yang cukup baik seperti Misery dan A Few Good Men.

Rob Reiner adalah pengarah yang mementingkan kekuatan lakonan dan plot yang baik dalam filem-filemnya. Dia tidak mudah memberikan penonton dengan aksi dramatik yang murahan atau komedi yang memualkan.

Tetapi filem ini juga menjadi kering kerana skripnya yang mempermudahkan subjeknya. Komedinya masih memikat biarpun adegan yang dihadapi adalah peristiwa yang menyakitkan.

Sepertimana filem-filem Rob Reiner yang lepas, filemnya yang ini juga mahu diakhirinya dengan adegan yang lebih positif.

Sumber : Utusan Online 26/5/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000