Ulasan Review |
. | . |
Judul : The Thin Red Line
Arahan : Terrence Malick
Lakonlayar : Terrence Malick
Pelakon : Sean Penn, Nick Nolte, John Cussack, Elias Koteas, Woody Harrelson, Jim
Caviezel, John Travolta, George Clooney dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Kesengsaraan, penderitaan dan kekejaman anehnya selalu menghasilkan puisi-puisi indah yang cukup emosional. Imej-imej sengsara dan derita juga sering menjadi imej-imej yang puitis di layar perak mahupun di kanvas lukisan. Di tangan seorang seniman, penderitaan, kesengsaraan dan kegilaan orang lain menjadi pengalaman indah dan mengharukan. Peperangan adalah puncak segala penderitaan dan kekejaman manusia.
Perang menghilangkan kemanusiaan ketahap yang paling hina. Perang memperlihatkan kebodohan, kesombongan, kekecewaan, keegoan, keangkuhan, obsesi dan kekuasaan berbaur dengan kebatilan. Tetapi anehnya perang juga mengenalkan erti kemanusiaan. Perang jugalah melahirkan teori, falsafah dan karya seni yang besar dan cukup bermakna.
Alangkah ironisnya perang. Sebenarnya tiada siapapun mahukan perang, mereka tercebur dikancahnya tanpa menyedarinya. Yang mereka tahu kemudiannya hanyalah membunuh atau dibunuh. Mereka hilang kesabaran, hilang identiti dan akhirnya kecewa. The Thin Red Line, filem terbaru arahan Terrence Malick memperlihatkan nilai-nilai ini.
Tetapi lebih jauh daripada itu, dengan filem ini Malick menjadikan perang bukan sahaja penderitaan dan sengsara tetapi pengalaman yang puitis dan emosional. Begitu puitis hampir kita boleh sahaja melupakan hakikat sebenar sebuah peperangan. Atau hanya melalui pengalaman puitis sahajalah sengsara perang menjadi pengalaman kemanusiaan yang sukar dilupakan.
Dalam The Thin Red Line, perjuangan dan kejayaan di medan perang menjadi obsesi dan kegilaan bagi seseorang hanya untuk membuktikan kehebatannya kepada pihak yang lebih berkuasa darinya. Bayangkan Kolonel Gordon Tall (Nick Nolte) selama 15 tahun dalam tentera tanpa merasai peperangan sebenar. Kerana mahukan kejayaan itu, tanpa rasa kasihan dan tanpa mahu memikirkan akibat keatas anggota tenteranya, Tall memberikan arahan yang cukup keras kepada askar-askarnya untuk menyerang secara berdepan kubu tentera Jepun di atas sebuah bukit dalam pertempuran Guadalcanal.
Baginya, dalam tentera tidak ada tempat bagi yang takut dan simpati. Pulau Guadalcanal yang terletak di Lautan Pasifik adalah serangan pertama tentera Amerika ke atas pulau yang dikuasai oleh tentera Jepun semasa perang dunia kedua dahulu. Kemenangan tentera Amerika di pulau ini pada bulan Februari 1943 menjadi titik tolak penting dalam perang dunia kedua di Pasifik. The Thin Red Line mengadaptasi novel karya James Jones yang merakamkan pengalaman sengsara perjuangan sekumpulan tentera Amerika di pulau itu.
The Thin Red Line berbicara tentang manusia. Menyorot kekecewaan dan rintihan suara nurani individu tertentu seperti Kapten John Staros (Elias Koteas) yang kecewa dan tertekan bila banyak orang-orangnya yang terkorban. Dia pernah berdepan dengan dilema mempertahankan orangnya dari terkorban menawan kubu Jepun di bukit itu dan mempersoalkan siapa yang harus memutuskan siapa yang harus terkorban.
Sargen Welsh (Sean Penn) dengan semangatnya yang kental dan ketabahannya tetapi masih bersimpati dengan orang-orangnya, Bell (Ben Chaplin) yang terpaksa mengharungi kegilaan perang yang pada masa yang sama merindui isteri di rumah, dan Witt (Jim Caviezel) yang telah jatuh cinta dengan ketenangan dan keheningan pulau itu disebalik keharuan perang yang mengorbankannya. Mereka adalah sebahagian daripada potret keharuan itu semata-mata memenuhi impian dan kegilaan obsesi seorang Kolonel.
Pengarah filem ini Terrence Malick tidak banyak mengarahkan filem. Hanya tiga buah sejak filemnya yang pertama Badlands (1973) dan filemnya yang kedua Days on Heaven (1978). Dua puluh tahun kemudian barulah dia mengarahkan The Thin Red Line.
Kerana itu ramai yang tertunggu-tunggu filem ini. Malick terkenal kerana sentuhan artistiknya. Baginya layar filem ibarat kanvas untuknya melukis menggunakan cahaya dan bayang serta lontaran bait-bait puisi.Tidak hairan kalau imej-imej jelik, derita dan kemusnahan perang menjadi visual puitis didalam The Thin Red Line. Bukit-bukit indah dengan rumput-rumput yang ditiup angin menjadi tempat pertempuran yang dahsyat.
Keberanian tentera yang perlu membunuh tanpa pertimbangan dan tanpa rasa berdepan dengan tentera Jepun yang tewas yang bagaikan meminta nyawa.
Adegan-adegan yang mengharu dan menggila ini digambarkan dengan imej-imej yang mual dan menyakitkan oleh pengarah fotografinya John Toll. Dan imej-imej ini diselang-selikan dengan imej-imej yang indah, hening dan sayu seperti dedaun yang menghijau, sungai, flora dan fauna, burung-burung yang terbang bebas dan kanak-kanak yang tidak mengerti.
Sepertimana dua buah filemnya yang terdahulu (filem Days of Heaven menang anugerah sinematografi terbaik), visual adalah segala-galanya bagi Terrence Malick. Dia amat memahami fotografi dan dia obses kepada alam.
Agaknya kerana kekejaman dan penderitaan yang ditanggung menyebabkan mereka yang menjadi mangsa dan terpenjara olehnya menjadi begitu sinis dan filosofikal tentang hidup dan kemanusiaan. Sayang watak-watak dalam filem ini tidak diselaras dan dibangunkan dengan sebaiknya untuk membentuk kesatuan cerita yang mantap. Watak-watak terbiar bersama falsafah masing-masing. Akhirnya yang kekal kepada penonton hanyalah imej-imej perang yang mengharukan dan puitis tetapi dikecewakan oleh kelemahan struktur cerita.
Sumber : Utusan Online 26/3/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |