Ulasan Review |
. | . |
Judul : Thirteen Days
Lakonlayar : David Self
Pelakon : Kevin Costner, Bruce Greenwood, Steven Culp dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Kepada kebanyakan kita, malah sebahagian besar penduduk Amerika sendiri tidak dapat mengingat peristiwa tiga belas hari pada bulan Oktober 1962 itu.
Peristiwa di Cuba yang penuh ketegangan dan mendebarkan itu dikatakan boleh menjadi punca kepada perang nuklear atau perang dunia ketiga.
Ia adalah sebahagian daripada rentetan peristiwa sejarah sewaktu era perang dingin antara Amerika dan Rusia.
Era perang dingin telah berlalu dan Soviet bukan lagi satu kuasa yang masih digeruni.
Sungguhpun hari ini, nuklear masih lagi dianggap senjata yang sangat ditakuti, tetapi ancaman perang nuklear sudah menjadi terpinggir.
Bagaimanapun dalam peristiwa yang menjadi mimpi ngeri sebahagian besar masyarakat dunia ketika itu, Rusia dikatakan telah menempatkan di Cuba sebanyak 40 unit roket jarak sederhana berkuasa nuklear yang dikatakan mampu membunuh 80 juta rakyat Amerika dalam masa lima minit sahaja.
Amerika telah berjaya mengesan penempatan tersebut menerusi gambar yang dirakamkan oleh kapal terbang pengesan.
Memang peristiwa itu tidak berakhir dengan peperangan, tetapi peristiwa itu sempat mencemaskan Rumah Putih dan sekali gus mencabar kewibawaan dan kecerdikan Presiden John F. Kennedy.
Peristiwa ini adalah sebahagian daripada sejarah yang masih baru yang mana sebahagian besar mereka terlibat masih hidup.
Sebarang cubaan untuk merealisasikan peristiwa sejarah sedemikian bukanlah tugas mudah kerana ramai orang yang pernah mengikuti peristiwa itu sudah tahu keputusannya.
Bagaimanapun, sebuah peristiwa sejarah tetap mempunyai kekaburan atau kawasan kelabunya.
Apatah lagi, setiap orang mempunyai perspektifnya sendiri terhadap peristiwa sejarah.
Kerana itu sebuah peristiwa sejarah boleh sahaja dilihat sebagai peristiwa yang tidak sempurna, yang boleh sahaja dilihat dari perspektif yang lain.
Apa yang berlaku di sebalik tabir dan fakta tersembunyi menjadi intrig yang sentiasa menarik minat orang ramai.
Sebuah fiksyen selalunya mengambil kesempatan memanipulasikan daripada ketidaksempurnaan ini.
Apatah lagi, tokoh yang terbabit merupakan ikon Amerika dan propaganda perang dingin yang masih dalam ingatan mampu mencipta dramatiknya.
Memang ketegangan yang hampir mencetuskan perang antara Amerika dan Soviet itu berlalu tanpa kemusnahan dan hampir tiada memakan korban.
Tetapi apa yang menarik dalam peristiwa itu adalah peranan sejumlah tokoh di sebalik tabir peristiwa itu seperti Presiden Amerika John F. Kennedy, adiknya Robert Kennedy sebagai Peguam Negara, Setiausaha Pertahanan Robert McNamara dan Pembantu Khas Presiden Kenneth P. O'Donnell.
Kesemua peristiwa ini yang dilihat dari kacamata Pembantu Khas Presiden Kenneth O'Donnell (Kevin Costner) memperlihatkan bagaimana falsafah perang, aturan strategi, pengkhianatan dan aspek kemanusiaan telah digembleng menjadi sebuah thriller yang dramatik.
Apa yang menarik dalam Thirteen Days sebenarnya adalah pertentangan antara John F. Kennedy dengan adiknya Robert Kennedy serta para penasihatnya dalam mengatur strategi menghadapi kemungkinan perang dan cubaan mengatasi strategi Soviet.
Di sinilah inti dramatik filem ini. Kesan suspens diwujudkan menerusi sejauh mana strategi yang diatur mampu membuahkan kejayaan.
Setiap mereka yang berada dalam bilik mesyuarat Rumah Putih, daripada pegawai tentera hingga kepada penasihat yang paling rapat dengan Presiden mempunyai pandangan dan strategi sendiri.
Hinggakan dalam keadaan tertentu seakan membawa kepada usaha menggulingkan Presiden.
Sebarang keputusan yang salah akan membawa kepada kehancuran perang.
Sebenarnya kedua-dua pihak sudah bersedia dengan angkatan perang masing-masing.
Dalam keadaan yang paling genting itu, Presiden akhirnya membuat keputusan sendiri dengan menghantar Robert Kennedy menemui pihak kedutaan Soviet untuk membuat rundingan.
Menulis sebuah lakon layar berdasarkan sebuah peristiwa sejarah yang masih baru bukan tugas mudah.
Penulis skrip harus bijak membetik unsur dramatik daripada rentetan peristiwa tersebut lalu membentuknya menjadi sebuah kisah dramatik tanpa membelakangkan kebenaran fakta.
Tetapi kesetiaan yang keterlaluan kepada fakta akan hanya menjadikan filem ini sebuah dokudrama yang membosankan.
Sebab itu, David Self sebagai penulis lakon layar filem ini selain daripada harus memeriksa ribuan dokumen, mendengar semula pita dan menonton semula rakaman peristiwa tersebut untuk mendapatkan fakta dan suasana yang sebenar.
Perlu pula mendramatikkan serta mengadakan atau membesarkan adegan-adegan tertentu demi kepentingan dramatik.
Dia harus mampu mewujudkan unsur ketegangan psikologi dan dramatik dalam sebuah peristiwa yang sebenarnya tidak mempunyai adegan aksi dan pertempuran.
Sungguhpun lesen kreatif membolehkan David Self membuang dan mengadakan peristiwa atas alasan kepentingan dramatik, tetapi ia juga menyebabkan ahli sejarah melenting atas alasan filem itu telah menyelewengkan fakta sejarah.
Selain ketepatan realiti set dan latar, para pelakon juga harus mampu membangunkan semula peristiwa 1962 itu.
Kevin Costner nyata tidak begitu menyerlah sebagai Kenny O'Donnell sehingga dia dibayangi oleh kecemerlangan lakonan Bruce Greenwood, pelakon Kanada yang membawakan watak John F. Kennedy.
Greenwood berjaya menampilkan karisma, stail dan gerak yang hampir menyamai bekas Presiden tersebut sungguhpun tidak pada wajahnya.
Begitu juga Steven Culp berjaya memberikan kekuatan kepada watak Robert Kennedy yang cukup meyakinkan.
Memang filem ini tidak akan mampu membawakan keseluruhan peristiwa krisis senjata roket nuklear di Cuba itu, tetapi atas sifatnya sebagai sebuah fiksyen, filem ini membuat kesimpulan yang sungguh bermakna.
Bahawa manusia yang memulakan perang, maka hanya hubungan manusia dan sifat kemanusiaan yang mampu mengelakkan peperangan.
Sumber : Utusan Online 6/4/2001
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |