Ulasan
Review
. .

Judul : Time and Tide
Arahan : Tsui Hark
Pelakon :
Nicholas Tse, Wu Bai dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Time and Tide filem keras dan pantas

Tsui Hark, anda perlu belajar mengingati nama pengarah. Dia adalah pengarah filem Hong Kong yang cukup dikenali, tetapi namanya belum menjadi sebutan di Hollywood sepertimana John Woo, Ringo Lam dan Jackie Chan yang sudah boleh membuat filem besar di sana.

Tsui Hark hanya mampu membuat filem kelas B dengan pelakon Jean Claude Van Damme, pelakon yang lebih diingati kerana hanya tahu menendang dan bergasak daripada berlakon.

Tetapi selepas Time and Tide, rasanya pasti Hollywood akan melihatnya sebagai John Woo yang kedua.

Apatah lagi, dalam keadaan Hollywood mula melihat filem-filem dalam gaya Hong Kong berupaya meraih pasaran dan sambutan yang hebat.

Perlu diingat sebelum John Woo, Ringo Lam dan Jackie Chan menerjah masuk ke Hollywood.

Mereka ini bersama Johnny Mak, Stanley Kwan, Allen Fong, Ann Hui, Wong Suam dan Alex Chong adalah antara pengarah yang bertanggungjawab menggerakkan gelombang baru pembikin filem Hong Kong di hujung tahun 1970-an.

Johnny Mak, John Woo, Tsui Hark, Alex Chong dan Raymond Chow, malah telah mengejutkan penonton dan industri filem di Hong Kong dengan stail suntingan yang pantas dan dinamik.

Stail itu banyak dipadankan dengan adegan-adegan aksi kung fu dan thriller serta komedi yang pantas dalam filem-filem mereka.

Aksi-aksi perlawanan yang padat mendominasikan filem-filem mereka ini adalah lanjutan daripada tradisi filem-filem keperwiraan pedang dalam filem-filem China yang terdahulu.

Mereka memberikan stail dan nafas baru yang lebih dinamik dari segi teknik dan pengarahan.

Pengarah generasi baru Hong Kong ini telah melihat permasalahan sosial, ekonomi dan politik Hong Kong dalam pendekatan, bentuk dan stail yang berbeza.

Jika Ann Hui, Stanley Kwan dan Allen Fong melihat secara yang lebih sensitif, kritikal dan dramatik, Tsui Hark, John Woo dan Ringo Lam telah menjadi seorang yang sinikal, dinamik, cenderung bermain-main dan juga dramatik.

Time and Tide adalah filem Tsui Hark yang terbaru selepas lima tahun tidak menghasilkan filem, The Sword adalah filemnya yang terakhir.

Filem yang ditulisnya bersama Koan Hui adalah gambaran Hong Kong masa kini kelam, sinis, absurd, arah yang kacau, serba pantas, materialistik dan hanya mereka yang berani, teguh dan kuat mampu meneruskan kehidupan.

Kesemua ini digambarkan oleh Tsui Hark dalam imej-imej visual yang dinamik dan dramatik, disunting dalam bentuk suntingan pantas yang telah menjadi stail standard filem Hong Kong.

Dan Tsui Hark memasukkan adegan romantis untuk memberikan harapan kepada pasangan anak muda dalam filem ini.

Filem ini dibuka dengan sinimisme watak utamanya yang melontarkan bisikan kerohanian dengan berlatarkan imej-imej romantis, keras dan kekacauan sosial di Hong Kong.

Tyler (yang dimainkan oleh bintang popular Hong Kong, Nicholas Tse) seorang anak muda gelandangan telah menjadi pengawal kepada seorang ahli perniagaan dari Amerika Selatan (dimainkan oleh penyanyi rock terkenal Taiwan Wu Bai) yang kembali ke Hong Kong dengan seorang gadis yang baru dikahwininya.

Mereka pada mulanya ditugaskan menggagalkan usaha pembunuh upahan yang cuba membunuh seorang hartawan.

Tyler dan ahli perniagaan ini kemudiannya menjadi buruan kumpulan pengedaran dadah yang cuba mendapatkan kembali wang yang disimpan oleh ahli perniagaan tersebut.

Harus diakui filem ini penuh dengan kekerasan dan keganasan yang telah menjadi karakter penting filem ini.

Penonton yang pasif akan menolak filem ini. Tetapi, adegan-adegan pertarungan, tembak menembak dan kekerasan digambarkan secara grafik adalah hasil kerja fotografi yang cemerlang dan menakjubkan serta gerak kamera yang pantas.

Adegan-adegan tembakan dan kejar mengejar di flat tinggi Hong Kong, padat dan dinamik. Tetapi antara adegan yang cukup menarik adalah adegan kelahiran bayi di dalam pertarungan dan tembak menembak yang sedang berlaku.

Plot filem ini memang nipis, tetapi bagi yang mahu melihat kerja kamera yang pantas dan visual yang dinamik, ini adalah filemnya.

Time and Tide adalah sebuah filem yang akan menggasak kepala penonton dengan adegan-adegan yang padat dengan pertarungan dan kekerasan.

Segalanya dilakukan dengan teknik dan kerja produksi dalam standard yang baik. Tsui Hark perlu menghasilkan filem epik dan spektakular untuk mengembalikan kehebatan Hong Kong sebagai pusat filem dunia selepas Bollywood dan Hollywood.

Hong Kong telah banyak merosot dan kekeringan setelah pembikin filem berkaliber seperti John Woo, Ringo Lam, Kirk Wong, Peter Chan dan Stanley Tong serta Tsui Hark yang telah berhijrah ke Amerika.

Cara untuk mengembalikan kegemilangan itu adalah dengan menghasilkan filem besar seperti Time and Tide.

Sumber : Utusan Online 27/10/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001