Ulasan
Review
. .

Judul : Tomorrow Never Dies
Arahan : Roger Spottiswoode
Lakonlayar : Bruce Fierstein
Pelakon : Pierce Brosnan, Michele Yeoh, Jonathan Pryce, Teri Hatcher, Judi Dench dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


James Bond terus gagah

Tomorrow Never Dies Ingat, James Bond pernah dikatakan sebagai tinggalan perang dingin. Dalam filem James Bond sebelum ini Goldeneye, Judi Dench yang memegang peranan M berkata kepada James Bond, Youre a sexist, misogynist dinosaur, a relic of the cold war. James Bond adalah antara watak yang tidak pernah ujud tetapi terus kekal menguasai dunia layar perak sehingga kini.

Tidak ada watak yang lebih dikenali dalam sejarah filem selain watak James Bond. Watak Bond pertama diperkenalkan oleh penulis British Ian Flemming (James Bond adalah alter ego pada dirinya) pada tahun 1953. Bagaimanapun Bond sebenarnya lebih berjaya didalam filem dari buku yang menjadi inspirasinya.

Malah Fleming sendiri mungkin tidak akan dikenali sebagai penulis jika tanpa James Bond. Terence Young adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan James Bond di dalam filem pada tahun 1962 melalui Dr. No (dianggap antara filem James Bond yang terbaik).

Kemunculan James Bond di era 90-an pernah dipersoalkan relevannya. Suasana politik dunia yang berubah menyebabkan James Bond dikatakan menghadapi krisis identiti. Biarpun Bond sering dilihat berlaku wewenang dengan wanita, tetapi satu hal yang pasti Bond sentiasa dikuasai oleh wanita juga iaitu ketuanya M.

Selepas 35 tahun Bond di filem, kemunculannya masih menarik. Biarpun pernah dipersoalkan kehadiran watak yang hampir tidak berubah dengan jalan cerita dan formula yang sama tetapi anehnya peminat Bond masih menggemarinya. Dan untuk memastikannya, filem James Bond yang terbaru Tomorrow Never Dies masih mengekalkan formula yang sama, aksi yang hebat, gadget yang istimewa, wanita yang hebat dan musuh yang boleh memusnahkan dunia.

Untuk memastikan isu filem James Bond kali ini tetap relevan dengan persoalan dunia semasa, maka dalam Tomorrow Never Dies, musuh terbaru Bond ialah seorang raja media, Carver (Jonathan Pryce) yang mahu menguasai dan menentukan agenda dunia. Dia berpusat di Jerman. Tetapi operasinya dijalankan di Laut China Selatan dalam usahanya melibatkan pihak berkuasa China. James Bond perlu bertindak menyekat kegilaan musuh barunya ini dan untuk kali ini dia perlu bekerjasama dengan seorang perisik dari China iaitu Wai Lin yang dimainkan oleh Michele Yeoh (Bekas ratu cantik Malaysia, yang mencipta nama sebagai pelakon di Hong Kong).

Filem ini tidak akan bererti tanpa kekuatan aksi dan gadgetnya. Selaku pengarah, Roger Spottiswoode memastikan plotnya dijalin dengan aksi pantas dalam setiap adegan. Ceritanya memang sudah boleh dijangka. Jadi apa yang hendak ditonton adalah bagaimana James menewaskan musuh-musuhnya dengan aksi stun dan gadgetnya. Bagi kita di Malaysia pasti juga kita hendak melihat bagaimana Michele Yeoh, aktres kelahiran Ipoh ini muncul dalam filem James Bond kali. Dan ternyata kemunculannya tidak mengecewakan.

Sumber : Utusan Online 2/1/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001