Ulasan
Review
. .

Judul : Topsy-Turvy
Arahan : Mike Leigh
Lakonlayar : Gina Wendkos
Pelakon :
Jim Broadbent, Allan Corduner, Lesley Manville dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Topsy-Turvy ...kehidupan di belakang pentas

Anda mungkin menjangka filem ini membosankan kerana beberapa sebab. Antaranya, ia adalah filem British, keduanya, subjek filem ini adalah tentang opera, dan seterusnya sebab ketiga ialah filem ini adalah filem period.

Pengarah filem ini Mike Leigh (yang pernah memberikan kita antaranya filem Naked, Life is Sweet dan Secret and Lies), adalah antara pengarah filem British yang cukup dihormati.

Tetapi di tangan Mike Leigh filem Topsy-Turvy menjadi sebuah filem yang mencabar dan menghiburkan.Walaupun di sebalik subjeknya yang mudah membosankan, plotnya ditulis dengan baik, lakonan dan suntingan yang cemerlang dan unsur humor yang muncul dengan bijaksana tanpa berlebihan atau dangkal.

Filem ini adalah dedikasi dan analisis Mike Leigh terhadap kegigihan dua tokoh opera British yang popular penghujung abad ke-19 iaitu Gilbert (Jim Broadbent), penulis dan pengarah opera, dan Arthur Sullivan (Allan Corduner) seorang komposer.

Gabungan Gilbert dan Sullivan yang essentrik muncul dan popular dengan opera komiknya ketika kegiatan teater burlesque yang ekstravaganza melalui zaman kemerosotan popularitinya.

Dua tokoh yang hebat, tetapi mempunyai keperibadian yang berbeza ini telah melalui zaman kegemilangan. Tetapi klimaks kejayaan kreatif yang dicapai pada masa yang sama adalah juga bersifat antiklimaks yang membawa kemerosotan.

Mereka memerlukan sesuatu yang baru sebagai inspirasi. Dan inspirasi ini muncul apabila Gilbert dibawa oleh isterinya Kitty (Lesley Manville) melawat pameran kebudayaan Jepun di London, pameran yang bukan sahaja menunjukkan ritual Jepun dari minum teh hingga ke pedang samurai, tetapi pada masa yang sama pertunjukkan teater kabuki.

Pameran kebudayaan Jepun ini memberikan inspirasi untuk Gilbert menghasilkan opera The Mikado yang terkenal itu.

Mike Leigh membawa kita melihat ke belakang pentas usaha Gilbert dan Sullivan mementaskan The Mikado.

Realiti dan kesulitan pelakon dan permasalahan persiapan pementasan menjadi objek analisis Mike Leigh, pada masa yang sama memperlihatkan kekuatan dan keupayaan Gilbert sebagai pengarah.

Gilbert mahukan pelakonnya beraksi sedekat mungkin dengan watak-watak Jepun, hingga wanita Jepun terpaksa melatih para pelakon dan penari Gilbert.

Mike Leigh dengan berani merongkaikan The Mikado dan membinanya semula dengan memperlihatkan artifisialitinya dan elemen kejayaannya.

Pementasan muzikal The Mikado yang diselubungi dengan warna visual yang garang menjadi kontras kepada keseluruhan warna dan mood filem ini yang suram dan kelam.

Para pelakonnya adalah Inggeris yang dimekapkan wajah Asia, tetapi pengkritik teater melihat The Mikado lebih cenderung sebagai England di sudut lain.

Opera ini dipentaskan ketika British menerima berita kekalahan tenteranya di Khartoum. Topsy-Turvy dibuka dengan pementasan Princess Ida, 1884 dan berakhir dengan pertunjukkan The Mikado, 1885.

Selain kekuatan arahan dan lakon layar Mike Leigh yang menjadikan Topsy-Turvy cemerlang, lapisan emosional konflik dramatiknya memperlihatkan semangat, kekecewaan dan ketabahan para pelakon dan pengurusan teater ini.

Ia cukup menyerlah, faktor lain yang amat membantu filem ini adalah kekuatan lakonannya. Daripada penyanyi korus, penari hingga pelakon utamanya telah memperlihatkan komitmen lakonan yang cukup bertenaga, sungguhpun secara khusus lakonan Jim Broadbent sebagai Gilbert cukup cemerlang dan meyakinkan.

Filem ini seperti filem-filem Mike Leigh yang lainnya, akan melihat liku-liku dan sisi gelap satu era yang gemilang secara cukup personal dan mentafsirnya menjadi sebuah komedi gelap yang menggigit.

Sumber : Utusan Online 17/11/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001