Ulasan
Review
. .

Judul : Welcome Back Mr. McDonald
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Realiti... di sebalik drama radio Jepun

Bayangkan, bagaimanakah perasaan seorang penulis skrip apabila melihat karyanya diubah, dicincang dan diperlakukan sesuka hati oleh penerbit, pelakon dan krew di hadapan matanya sendiri? Sungguhpun namanya sebagai penulis masih diberikan kredit, tetapi wajarkah dia menerima kredit itu dengan mengetahui betapa karyanya itu telah diubah sedemikian rupa?

Di manakah kuasa seorang penulis dalam mempertahankan karyanya? Tetapi inilah dunia sebenar yang berlaku dalam sebuah produksi drama. Skrip akan diimprovisasikan untuk kesesuaian dan kelancaran persembahan.

Memang perubahan dan improvisasi yang dilakukan akan menyebabkan penulis merasa sebak dada, tetapi bukan sedikit improvisasi yang dilakukan ke atas skrip semasa persembahan membantu menjadikan drama itu lebih baik dan berkesan.

Welcome Back Mr. McDonald, sebuah filem komedi dari Jepun cuba melihat realiti dalam dunia penyiaran Jepun dan sekali gus menyindir keegoan karyawan dalam menghasilkan sebuah produksi. Sebuah stesen radio utama di Jepun menyiarkan sebuah drama radio secara langsung dalam program tengah malamnya.

Drama Nasib Seorang Wanita karya seorang penulis wanita Miyako Suzuki (Kyoka Suzuki), ini adalah skrip drama yang telah memenangi peraduan menulis skrip drama anjuran stesen radio tersebut. Bukanlah kerana skrip ini memang terbaik, tetapi kerana itulah sahaja satu-satunya skrip yang menyertai peraduan tersebut.

Setelah segala latihan dan persiapan dilakukan, dan hanya beberapa minit siaran akan bermula tiba-tiba Nokko Senbon (Keiko Toda) pelakon wanita utama dalam drama itu mahukan skrip drama itu diubah, jika tidak dipatuhi dia tidak akan berlakon dalam drama itu.

Nokko mahukan watak Ritsuko sebagai isteri nelayan di sebuah kampung terpencil di Jepun dalam drama itu ditukar namanya menjadi Mary Jane, diberikan karier yang lebih baik iaitu seorang peguam dan yang lebih hebat cerita itu berlaku di New York pula.

Suaminya daripada seorang nelayan berubah menjadi pilot sebuah roket angkasa lepas. Perubahan watak itu menyebabkan beberapa siri perubahan lain juga berlaku secara mendadak. Ini kerana petugas dan pelakon lain juga menuntut perubahan untuk menyesuaikan pada jalan cerita dan untuk menjadikannya lebih hebat.

Penulis asal skrip hanya dapat memerhati keegoan pelakon dan petugas yang terlibat, hingga akhirnya dia sendiri meledak di hadapan mikrofon menyatakan kekecewaannya.

Hasilnya, daripada sebuah skrip drama yang asalnya sebuah kisah romantis telah bertukar menjadi sebuah epik yang hebat, penuh aksi, thriller dan suspens, tetapi masih berdasarkan sebuah kisah cinta yang romantis. Skrip asal yang ditulis oleh Miyako Suzuki telah berlaku banyak improvisasi hingga ia menjadi kacau dan bercelaru, sudah hilang arah dan hujung pangkalnya.

Tetapi di sebalik kekacauan dan kegilaannya itu, drama ini sebaliknya menjadi begitu menghiburkan dan penuh kelucuannya yang tersendiri. Dan tidak siapa menjangka di sebalik kegilaan dan kekacauan drama itu yang hampir menjadi absurd jalan ceritanya, drama itu meninggalkan kesan emosi yang begitu hebat kepada seorang pemandu lori yang terus datang ke studio lalu menangis menyatakan kekagumannya.

Welcome Back Mr. McDonald bukanlah sebuah filem yang mengimbau kenangan tentang zaman kegemilangan sebuah drama radio, di mana penonton sekarang lebih tertumpu kepada drama televisyen. Tetapi berbanding drama TV atau filem, nyata sebuah drama radio memberikan daya imaginasi yang lebih tinggi sama seperti mana kesan imaginasi yang diberikan oleh sebuah novel.

Efek yang digunakan memerlukan kreativiti untuk mencipta dan meninggalkan kesan mendalam biarpun ia hanya dihasilkan dari bahan atau alat biasa yang di luar jangkaan. Filem ini secara sinis dalam kelucuannya cuba menyindir karyawan, pelakon, penerbit dan krew yang cuba mempertahankan keegoan masing-masing dalam penghasilan sebuah drama dengan berusaha mengubah jalan cerita mengikut kesesuaian sendiri tanpa mahu menghormati pendirian penulis.

Akhirnya apa yang perlu difahami, sebuah drama yang baik hanya dapat dihasilkan melalui kompromi dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat.

Filem ini adalah hasil arahan pertama Koki Mitani, pengarah muda yang cukup mengagumi Juzo Itami, pengarah veteran Jepun yang terkenal dengan filem-filem komedi sosialnya. Koki Mitani bermula sebagai seorang pengarah teater dan mempunyai kumpulan teaternya sendiri iaitu Tokyo Sunshine Boys yang banyak menghasilkan drama-drama komedi.

Filem Welcome Back Mr. McDonald ini adalah berdasarkan drama Radio Time yang dihasilkan oleh Mitani dan telah pernah dipentaskan oleh kumpulan Tokyo Sunshine Boys pada 1993. Filem ini telah memenangi beberapa anugerah penting di beberapa buah festival filem antarabangsa yang penting.

Mitani menangani filem ini seperti mana dia mengarahkan teaternya, berlatih selama dua minggu dan kemudian selama tiga hari mereka berlatih di atas set persis seperti mana adegan yang difilemkan. Hasilnya filem ini yang hampir keseluruhan adegan berlaku dalam studio radio kelihatan seperti sebuah pementasan teater komedi, tetapi suntingan dan fotografi menjadikannya sebuah filem.

Sumber : Utusan Online 14/7/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000