Ulasan
Review
. .

Judul : What Lies Beneath
Pengulas : A. Wahab Hamzah


What Lies Beneath... tidak memberikan impak

Filem kecil The Sixth Sense (M. Night Shyamalan) telah meletakkan kedudukan filem genre seram moden pada kekuatannya yang tersendiri. Ayat yang disuarakan oleh pelakon cilik Haley Joel Osment "I see dead people" menjadi antara ayat yang paling diingati dalam industri filem tahun lalu. Kejayaan The Sixth Sense adalah membisikkan keseraman secara senyap dan bijaksana.

Bisikan dan ancaman seram ini cuba dikembali dan dimanipulasi oleh Robert Zemeckis dalam What Lies Beneath. Filem ini cuba membawa seram dan suspens dengan menggunakan pendekatan gaya dan plot filem-filem seram lama. Dengan mengambil inspirasi dari filem seram The Shining (Stanley Kubrick) dan The Rear Window (Alfred Hitchcock), Robert Zemeckis memberatkan filem ini dengan trauma, neurosis, misteri pembunuhan dan cerita-cerita hantu.

Ada waktunya Zemeckis cuba menarik perhatian penonton dengan kaedah lama filem seram seperti, rumah besar yang suram, pintu yang terbuka secara tiba-tiba, bayangan ngeri dalam kolah mandi dan bingkai cermin gambar yang jatuh dan pecah. Sayangnya, kesemua elemen ini sekadar cubaan untuk menarik perhatian penonton tanpa alasan dan plot yang kukuh.

Dengan menggunakan watak Claire Spencer (Michelle Pfeiffer) yang lemah dan rapuh, Zemeckis dan penulis lakon layar Clark Gregg membuka selapis demi selapis dosa-dosa masa lalu suaminya Norman Spencer (Harrison Ford) seorang saintis genetik yang berjaya dan terkenal.

Selepas anak tunggal mereka memasuki asrama di kolejnya, Claire lebih banyak mengisi kesunyian hidup dengan bersendirian di rumah besar di pinggir tasik, sementara Norman sibuk dengan tugas-tugas penyelidikannya. Pada masa yang sama Claire mula mengesyaki sesuatu yang aneh sedang berlaku pada jiran sebelah rumahnya dan dia mula mengintip jirannya dengan teropong.

Selepas itu Claire mula mendengar bunyi-bunyi yang bising tetapi tidak berapa jelas dan melihat bayangan imej wanita yang mengerikan pada cermin, di air dalam kolah mandi dan di permukaan air tasik. Neurosis dan kesan psikologi wanita yang bersendirian dan kesunyian mula mengganggu Claire.

Apabila pakar psikologi gagal membantu Claire mengatasi masalah yang dihadapinya, Claire cuba merungkaikan masalahnya sendiri. Dan selapis demi selapis dia mula menemui rahsia yang disembunyikan dan mengetahui apa sebenarnya yang pernah dilakukan oleh Norman Spencer terhadap seorang gadis muda Elizabeth Frank yang pernah dilaporkan hilang.

Plot filem ini tidak banyak membantu, malah adegan-adegan tertentu tidak diberikan elemen kewajaran, seperti bagaimana imej ngeri wanita yang kerap menjelma, hingga adegan akhir juga menjadi kabur, absurd dan anti-dramatik. Apa sebenarnya yang menyerlah hanyalah cebisan-cebisan adegan seram sedangkan keseluruhan filem ini tidak memberikan impak.

Tetapi moral yang hendak ditonjolkan oleh filem ini (sepertimana tradisi filem-filem Hitchcock), bahawa rahsia atau plot yang sengaja disembunyikan selalunya akan menjadi fakta yang amat menakutkan apabila realitinya mula terdedah.

Sumber : Utusan Online 25/8/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000