Ulasan Review |
. | . |
Judul : Mimpi Moon
Tahun : 2000
Pengarah : Shuhaimi Baba
Lakonlayar : Shuhaimi Baba
Pelakon : Rashidi Ishak, Kavita Kaur, Ning Baizura, Jalaluddin Hassan, Afdlin
Shauki, Asha Gill dan lain-lain
Pengulas :
Bagi peminat yang setia mengikuti perkembangan pengarah wanita berwibawa, Shuhaimi Baba pastinya mereka sentiasa mengharapkan pengarah itu menghidangkan resipi-resipi yang menarik dalam setiap filem sentuhannya.
Filem-filem arahannya sebelum ini seperti Layar Lara, Ringgit Kasorrga dan Selubung telah membuktikan kehebatannya sehingga menempa nama di peringkat antarabangsa.
Malangnya, kali ini Shuhaimi gagal menyempurnakan sebuah resipi yang baik menerusi filem terbaru arahannya Mimpi Moon.
Shuhaimi dikenali ramai sebagai seorang yang cukup kreatif dan berinovasi tetapi dalam Mimpi Moon, dia bagaikan sedang bermimpi. Warna mimpinya pula kabur dan berterabur.
Sudahlah agak lama filem itu terperap di studio kerana pelbagai masalah yang tidak selesai, penggarapannya pula seolah-olah tidak menggambarkan peribadi Shuhaimi yang sebenar.
Menonton Mimpi Moon menyebabkan kita sukar mempercayai ia adalah kerja tangan seorang pengarah yang sudah memahat nama yang kukuh dalam dunia pengarahan filem Melayu.
Mengapakah ini terjadi Shuhaimi?
Kesilapan Shuhaimi yang paling utama ialah apabila dia memilih Rashidi Ishak dan Kavita Sidhu sebagai pelakon utama filem ini.
Bukan menidakkan kemampuan mereka sebagai pelakon, tetapi Shuhaimi harus mengakui antara kedua-dua artis itu tiada keserasian. Mereka bukan hero dan heroin seperti pinang dibelah dua, tetapi seperti pinang digelek trak.
Watak Moon yang dipegang oleh Rashidi dan juga Vina (lakonan Kavita) kelihatan begitu kaku. Mereka berlakon dalam keadaan tidak bermaya, tiada tenaga.
Di dalam Mimpi Moon, Rashidi dan Kavita tidak dilihat sebagai pasangan yang ideal.
Kala menontonnya, penonton dapat merasakan Rashidi dan Kavita tidak menterjemahkan emosi mereka ke layar perak.
Hubungan kasih sayang yang terjalin antara mereka juga dibuat-buat. Shuhaimi selaku pengarah gagal menarik perhatian penonton kepada hubungan cinta yang sedia terjalin antara Moon dan Vina.
Cinta dalam Mimpi Moon bukan cinta antara Moon dan Vina. Ia sebenarnya lebih dikawal oleh cinta Shuhaimi terhadap gamat emas yang menjadi subjek utama filem itu dari awal hingga ke akhir.
Begitu mengganggu subjek itu hingga membuatkan kita tertanya-tanya, apakah Shuhaimi mahu menjual gamat atau menjual percintaan Moon dan Vina?
Watak Moon dalam filem itu begitu kabur dan cara Shuhaimi mengembangkan watak itu menunjukkan Shuhaimi tidak menitik beratkan soal logik.
Bayangkan Moon daripada seorang komposer ternama yang mencipta nama di Kuala Lumpur, tiba-tiba membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Batu Suara di Pulau Langkawi dan kembali menjalani kehidupan sebagai anak desa.
Sebaik sahaja membuat keputusan itu, dia menemui rakannya dan menyatakan hasrat untuk menjual motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya.
Biasalah, tujuannya untuk mendapatkan wang lebih dan kembali ke kampung halaman.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki di kampung halamannya, tiba-tiba sahaja Moon sudah memiliki sebuah motosikal baru. Bolehkah anda bayangkan logik dalam watak ini?
Shuhaimi nampaknya lalai sedikit.
Moon sebenarnya merupakan seorang anak yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang begitu mementingkan hubungan kekeluargaan.
Ayah Moon, Dr. Mansor (lakonan Jalaluddin Hassan) merupakan seorang yang ternama kerana kehebatannya melakukan penyelidikan tentang ubat-ubatan tradisional. Moon juga mempunyai seorang adik iaitu Nona Mansoor (Ning Baizura).
Namun sebaik sahaja tiba dari Kuala Lumpur, Moon mengambil masa berhari-hari sebelum pulang menemui ayah dan adiknya yang memang sudah lama merindui Moon.
Apa yang menjadi kepentingan kepada Moon pada situasi ini ialah teman-temannya. Dia banyak menghabiskan masa di Kau Tim Cafe milik teman rapat Moon, Sook Van (lakonan Afdlin Shauki) seorang yang berbangsa Siam-Kemboja.
Di sini sahaja, Shuhaimi barangkali tidak menyedari bahawa hubungan kekeluargaan yang pada mulanya digarap sebagai suatu yang penting dalam keluarga Dr. Mansor sudah tercemar.
Terdapat beberapa adegan yang tidak sempurna dan meninggalkan tanda soal dalam filem ini yang dikatakan menelan belanja yang agak besar.
Paling ketara ialah sewaktu Sarimah Ibrahim dalam keadaan seperti orang yang marah dan kecewa. Tiba-tiba sahaja dia datang mengutip barang-barang di dalam rumah Moon.
Walaupun banyak kelemahan dalam filem ini, kita harus memberi kredit kepada Afdlin dan Ida Nerina (bintang undangan) yang melakonkan watak Miranda, wanita latin yang datang ke Langkawi untuk menyelesaikan satu misi yang diamanahkan kepadanya.
Mereka sebenarnya ialah orang menyelamatkan filem Mimpi Moon yang sakit.
Afdlin dengan bersahaja mampu membuatkan penonton mahu duduk dan menghabiskan filem itu manakala Ida pula dengan gelagat 'gatal' dan 'miang' membuatkan wataknya cukup menonjol.
Apapun, sebagai manusia kita harus maafkan Shuhaimi kerana setiap manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.
Tetapi kita juga harus sedar bahawa kesilapan tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pengarah sepertinya yang percaya bahawa dirinya berbakat besar.
Sumber : Mingguan Malaysia 16/4/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |