Ulasan Review |
. | . |
Judul : Mimpi Moon
Tahun : 2000
Pengarah : Shuhaimi Baba
Lakon Layar : Shuhaimi Baba
Pelakon : Rashidi Ishak, Kavita Kaur, Ning Baizura, Jalaluddin Hassan, Afdlin
Shauki, Asha Gill dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Antara elemen yang agak ketara mahu ditampilkan oleh Shuhaimi Baba dalam filem-filemnya adalah gambaran masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, yang akrab dengan kehidupan urban, yang bersifat terbuka, berfikiran moden dan prihatin dengan permasalahan dunia.
Beginilah agaknya rupa sebuah filem yang dinamakan filem Malaysia. Di dalam Selubung, Shuhaimi memperlihatkan watak-wataknya yang prihatin dengan permasalahan dunia iaitu masalah penderitaan rakyat Palestin melalui kerja-kerja amal mereka.
Keprihatinan terhadap isu antarabangsa ini dilanjutkan lagi oleh Shuhaimi dalam filemnya yang terbaharu, Mimpi Moon. Sudah tentu isu yang dibawakan ini tidak salah, malah seharusnya membantu membentuk kekuatan sesebuah filem.
Di dalam Mimpi Moon, Shuhaimi menonjolkan penderitaan rakyat Kemboja akibat kancah peperangan sebagai subplotnya untuk membantu menggerakkan naratifnya.
Sayangnya subplot ini yang seharusnya ditangani dengan baik menjadi sama kacau dengan subplot yang menonjolkan watak Mirinda Cordova (Ida Nerina) wanita Latin yang muncul di Langkawi itu dengan misi rahsianya untuk membongkar usaha penyeludupan periuk api, tetapi akhirnya terlibat dengan persoalan minyak gamat yang mengakibatkan hal lain pula.
Shuhaimi Baba berhasrat untuk menjadikan Mimpi Moon sebuah filem komedi romantis dengan menonjolkan perhubungan yang rapat antara anak dua orang doktor di Batu Suara Langkawi, iaitu Moonir atau Moon (Rashidi Ishak) anak kepada Doktor Mansor (Jalaluddin Hassan) dan Vina (Kavita Kaur) anak kepada Dr. Anna (Asha Gill). Perbezaan kaum nyata tidak menjadi halangan untuk mewujudkan hubungan dan kemesraan antara mereka.
Tetapi kematian Dr. Anna kerana kecelakaan periuk api semasa membuat kerja sukarela di Kemboja, telah memisahkan hubungan antara Moon dan Vina. Vina meneruskan pelajaran ke luar negara dan Moon ke Kuala Lumpur bertugas sebagai jurutera bunyi di sebuah studio rakaman. Selepas 10 tahun berlalu, keadaan seperti tidak menjadi, Moon kembali ke Langkawi kerana industri rakaman menghadapi masalah cetak rompak dan putus hubungan dengan teman wanitanya (Sarimah Ibrahim), manakala Vina juga kembali ke Langkawi dari luar negara dan berpisah dengan teman lelakinya Mark (Iskandar Najmudin).
Dua sebab perpisahan yang mudah dan tidak jelas puncanya. Sebagaimana rapatnya keluarga Dr. Mansor dan keluarga Dr. Anna kerana minat mereka terhadap gamat sebagai bahan perubatan, maka gamat juga yang merapatkan kembali hubungan Moon dan Vina. Gamat menjadi ubat yang mujarab dan juga lambang yang mengubat kembali hubungan mereka.
Mimpi Moon sebenarnya cerita tentang kehidupan, kematian dan kemesraan, hubungan antara kaum dengan berlatarkan masyarakat kampung tradisi.
Moon dan Vina masing-masing menghadapi kehilangan dalam keluarga dan hubungan yang kemudian terpisah. Watak-watak pelbagai kaum dalam filem ini barangkali usaha pengarah untuk meyakinkan bahawa sebuah filem Malaysia seharusnya begitu.
Tetapi watak-watak dalam filem diwujudkan kerana keyakinan pada kepentingannya dalam pembinaan dan untuk menggerakkan plot cerita, bukan sekadar filem Malaysia seharusnya demikian, lalu mengambil mudah aspek kekuatan watak. Watak-watak daripada pelbagai kaum boleh sahaja menjadi elemen yang menarik asalkan sahaja ia disokong oleh olahan plot yang kuat dan meyakinkan.
Sayangnya, watak Moon dan Vina tidak dibina dengan cukup meyakinkan untuk menunjukkan kemesraan hubungan antara mereka. Malah, sebenarnya watak-watak Moon, Vina, Dr. Mansor, Nona (Ning Baizura) adik kepada Moon dan Sok Van (Afdlin Shauki) pemuda Kemboja yang cedera di kaki itu adalah watak-watak yang terasing dan kelihatan artificial, terpisah dengan penduduk kampung yang punya budaya yang tersendiri.
Bayangkan, mereka adalah terpelajar, lancar berbicara dalam bahasa Inggeris sesama mereka, loghat utara (Langkawi) mereka tidak meyakinkan, kegiatan sosial mereka tidak menunjukkan keakraban dengan aktiviti orang kampung di situ, sungguhpun mereka terlibat dengan gamat, sejenis ubatan tradisional Melayu.
Gamat di sini adalah lambang budaya dan kehidupan masyarakat kampung, seharusnya menjadikan watak-watak di sekelilingnya hidup dan turut bernafas dengan tradisi itu, bukan sekadar penyelidikan dan mencari keuntungan daripadanya.
Mimpi Moon menunjukkan apabila plot utama tidak diolah dengan meyakinkan, maka plot sampingan akan kelihatan menonjol tetapi tidak sebagai pelengkap.
Adegan sukarelawan yang membantu di Kemboja dan letupan periuk api (anehnya berlaku dikawasan permainan kanak-kanak), membangkitkan persoalan tentang sejauh mana penyelidikan dan pemahaman mereka tentang realiti di Kemboja. Begitu juga misi misteri Mirinda yang cuba hendak menimbulkan kejutan dengan misi anti periuk api kurang menjadi dan kelucuannya yang keterlaluan kerana kesan campuran gamat yang kononnya memberikan kesan yang jauh lebih hebat daripada Viagra.
Ida Nerina sedaya mungkin memberikan kekuatan pada watak wanita latinnya dengan slanga Latin yang tebal dan gerak lakonnya tetapi kelucuannya terasa mekanikal. Bukan salah Ida Nerina tetapi cara watak itu ditonjolkan yang mengacaukan.
Sebaliknya, watak Sok Van yang dibawakan dengan bersahaja oleh Afdlin Shauki dan humornya yang menghiburkan jauh lebih menarik dan berkesan. Sesekali dia dapat meraih simpati apabila dia terkenangkan kampungnya di Kemboja dan betapa dia juga rindu pada tempat dia dilahirkan.
Kekuatan lakonan Ida Nerina untuk watak Mirinda dan Afdlin untuk watak Sok Van yang jauh lebih berkesan telah menenggelamkan watak Moon dan Vina, dan gamat sekadar menjadi latar yang kurang berfungsi kerana peranannya yang tidak lebih untuk mempromosikan ubatan tradisional.
Bagaimanapun di sebalik segala kelemahannya, tema kemanusiaan dan kesedaran humanistik hingga menjangkau ke persoalan antarabangsa adalah usaha yang baik yang jarang mahu diungkapkan dalam filem-filem Melayu. Shuhaimi merintis dan mahu mewujudkan watak-watak yang mempunyai hubungan sosial dan pemikiran yang terkeluar daripada tradisi biasa filem-filem Melayu.
Tetapi sebuah filem bukan sekadar rupa dan bentuk luarannya, yang penting isi dan semangatnya. Sebuah filem yang baik, walau apapun bentuk dan label yang diberikan terhadapnya, biarpun dalam bahasa apapun, tetap akhirnya melihat pada kualiti dan kekuatan ceritanya bukan sekadar niat filem itu. Watak-watak dibangunkan tanpa pretensi, tetapi jujur pada persoalan kemanusiaan dan hubungan sosialnya. Itulah hakikat sebuah filem.
Tetapi Mimpi Moon mencipta manusia-manusianya dan hubungan sosialnya yang agak terasing dengan masyarakat sekelilingnya. Jika begitu, siapakah yang bermimpi dalam filem ini?
Sumber : Utusan Online 21/4/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |