Ulasan
Review
. .

Judul : No Problem
Tahun : 2001
Pengarah : Z. Lokman
Skrip : Z. Lokman
Pelakon : Opie Zami, Danny (X-Factor), Maya Karin, Zami Ismail, Rosnah Mat Aris, Shamsul Ghau Ghau, Abon, Zila Bakarin dan lain-lain

Pengulas : Akmal Abdullah


No Problem lawak 70-an

Jika penonton meminati gaya pengarahan Z. Lokman, filem terbaru arahannya, No Problem wajar ditonton. Ia sebuah filem yang menghiburkan. Dengan judulnya yang ringkas dan kelihatan relaks dengan maksud ‘tiada masalah’, filem ini masih mempunyai kekuatannya pada aspek tertentu meskipun bentuk komedinya perlambangan yang merimaskan.

No Problem saling tidak tumpah filem komedi Z. Lokman sebelumnya. Ia adalah cantuman cacamarba sebagaimana yang pernah ditonton menerusi karyanya terdahulu – Awang Spanar, Bas Kondaktor, Boss, Bujang Selamat, Cikgu Sayang, Cikgu Romantik, Sate, Penyu dan Janda Meletup.

Walaupun tidak mempunyai kekuatan dari segi cerita dan persembahannya tetapi filem ini masih mampu mengundang ketawa. Tidak banyak bezanya No Problem dengan filem lakonan Senario tetapi No Problem lebih ringan, mudah dan cerita yang ‘berselerak’ sementara filem Senario masih terarah jalinan ceritanya.

Z. Lokman masih dengan imej komedi slapstik, gerak laku watak yang klise dan corak persembahan ala zaman 70-an dan 80-an. Filem ini sekadar untuk bersantai dan tidak banyak yang boleh dikupas kerana motif kehadirannya sendiri dengan nawaitu untuk hiburan kosong.

Apabila sekadar untuk hiburan, maka persembahan dan ceritanya pun kelihatan cuma memenuhi selera kelompok penonton yang suka ketawa dalam pawagam. Persoalan sama ada hendak ketawa yang bagaimana, sama ada secara paksa, spontan atau sengaja, ia bergantung pada selera masing-masing apabila mengikuti filem ini.

No Problem mula ditayangkan di seluruh negara mulai 19 Julai lalu. Ia ditayangkan lebih 30 pawagam.

Sesingkat jadual penggambarannya iaitu cuma 18 hari, No Problem tampil bergaya dengan bentuk garapan yang memang diakui dihasilkan dalam masa pendek.

Kekuatan filem ini banyak bergantung pada watak pembantunya menerusi lakonan Zul Yahaya, Shamshul Ghau Ghau, Abon, Zami Ismail, Rosnah Mohd Noor, Zila Bakarin dan Anne Ishar. Mereka banyak memberi ‘nyawa’ dalam filem ini.

Persembahan lakonan watak pembantu dan ekstra lebih menyerlah, mantap dan mencipta komedi yang menarik berbanding penampilan tiga watak utamanya, Danny X-Factor, Maya Karin dan Opie Zami.

Lakonan Danny lemah dan kelihatan sedang berlakon di depan penonton. Dia tidak mampu menghayati wataknya sebagai Sidibijo untuk imej lebih bersahaja dan tenang sebagai pemuda yang cemburu dan berazam untuk membuktikan kebolehannya. Sebaliknya mimik muka Danny terlalu berlebihan dan ‘menunjuk-nunjuk’. Mungkin dia mahu memberitahu bahawa dia sedang berlakon.

Lakonan Maya Karin juga satu penampilan yang tidak memberi sumbangan besar dalam No Problem. Cuma, filem ini mengeksploitasi wajahnya yang dikatakan cantik. Maya gagal menghayati wataknya dan dia tidak berpotensi untuk memegang watak utama sebagai gadis kampung bernama Rosnah. Lakonan Opie adakalanya tersasar dan stereotaip namun pada babak tertentu dia masih dalam kawalan gerak lakon yang baik. Apabila dia menyebut dialog "No Problem punyooo..." tidak menampakkan sekelumit pun imej komedi pada Opie, malah mengundang jelak.

Apapun, beberapa babak yang didokong watak pembantu cukup menggelikan hati seperti babak Zul Yahaya terpaksa menyamar menjadi wanita kerana hendak mempersendakan Wak Jono lakonan Abon. Begitu juga watak Shamshul sebagai Malik yang kelihatan bersahaja sementara watak yang dibawa Zami dan Rosnah adalah kombinasi baik sebagai suami isteri bernama Pak Kidam dan Mak Nah.

Lakonan Zila walaupun tidak begitu lucu tetapi dia mampu menghantar wataknya dengan berkesan, malah kehadirannya pada setiap babak memberi mood pada penonton. Zila mampu pergi jauh jika terus diberi peluang lakonan dan didikan berdasarkan skrip bermutu.

No Problem mengisahkan kehidupan masyarakat kampung di sebuah pulau. Seorang pemuda, Awang menjadikan kerjaya mengait buah kelapa sebagai mata pencariannya. Dia bersikap periang serta betul bendul. Kelebihannya ialah menggunakan kapak bertali bagi memetik kelapa.

Awang kemudiannya bertukar kerjaya menjadi pekerja di sebuah hotel yang diuruskan Malik. Awang berkawan baik dengan seorang gadis bernama Rosnah.

Hubungan intim Rosnah dan Awang dicemburui pemuda yang bekerja sebagai juruelektrik bernama Sidibijo. Dia mencipta alat pemetik kelapa berkuasa laser bagi menandingi kehebatan Awang, semata-mata mahu memikat Rosnah.

Satu pertandingan memetik kelapa diadakan antara Awang dan Sidibijo. Dalam pertandingan itu, keputusan yang diperoleh adalah seri. Soalnya, siapakah yang dapat memiliki Rosnah?

Secara mesejnya, filem itu cuba meninjau aspek kemanusiaan supaya tidak mudah berputus asas. Anugerah kelebihan yang dikurniakan Tuhan bukan untuk dibanggakan, sebaliknya membantu membentuk pemuafakatan serta masyarakat penyayang.

Sumber : Berita Minggu 22/7/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001