Ulasan
Review
. .

Judul : No Problem
Tahun : 2001
Pengarah : Z. Lokman
Skrip : Z. Lokman
Pelakon : Opie Zami, Danny (X-Factor), Maya Karin, Zami Ismail, Rosnah Mat Aris, Shamsul Ghau Ghau, Abon, Zila Bakarin dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


No Problem ...inikah filem komedi?

Khabarnya Z. Lokman hanya memerlukan 18 hari untuk membuat pengambaran filem ini. Begitu cepat? Ramai yang kaget dengan kenyataan Z. Lokman itu. Barangkali ini merupakan rekod pembikinan filem yang paling cepat di Malaysia.

Tetapi benarkah masa yang menjadi penentu kualiti sesebuah filem. Barangkali kita tidak boleh lupa bagaimana filem The Blair Witch Project (Daniel Myrick & Eduardo Sanchez) disiapkan. Filem yang bermodalkan AS$30,000 dan mengambil masa hanya 13 hari pengambaran dan sebahagian footagenya hanya menggunakan pita video menjadi antara filem yang paling berjaya di dunia.

Filem ini memperoleh tidak kurang dari AS$141 juta. Apakah filem yang berbelanja rendah tidak mempunyai kualiti? Ingat filem El Mariachi (Robert Rodriguez) hanya bermodalkan AS$7,000, mendapat penghormatan dan sambutan di Festival Filem Sundance dan memungut lebih dari US$8 juta.

Kalau begitu apakah kita harus risau dengan cara Z. Lokman menghasilkan filem. Malah khabarnya El Mariachi memakan belanja lebih daripada AS$7,000 tetapi sengaja diuar-uarkan berbelanja rendah atas tujuan untuk mencipta strategi pasaran dan mencipta kekaguman bahawa sebuah filem yang sedemikian rendah belanjanya dapat dihasilkan di Amerika.

Apakah yang sebenarnya faktor yang menyebabkan filem-filem ini sangat berjaya, selain daripada strategi pemasarannya?

Z. Lokman telah menghasilkan sebanyak 22 buah filem antara pengarah filem tempatan yang paling banyak mengarah filem sekarang ini. Dia berbangga filemnya tidak pernah merugikan produser yang bertanggungjawab mengeluarkan modal.

Tetapi pada masa yang sama filem-filemnya juga jarang mendapat perhatian (malah sering mendapat cemuhan) daripada pemerhati dan pengkritik filem. Perlu diingat apakah yang menyebabkan filem-filem seperti El Mariachi, Sex, Lies and Videotape (Steven Sodervergh) dan The Blair Witch Project atau Return Of The Secaucus Seven (John Sayles) mendapat sambutan yang hebat.

Mereka adalah pembikin filem bebas, filem mereka menentang formula filem-filem arus perdana dan filem mereka berbelanja rendah. Apa yang lebih utama selain faktor-faktor ini semua bahawa filem-filem mereka bertolak dari olahan skrip yang baik dan bijaksana.

Z. Lokman adalah Z. Lokman. Filem No Problem adalah karya Z. Lokman walaupun panel penilai skrip Metrowealth turut bertanggungjawab mengolah skripnya. Filem No Problem adalah sebuah filem komedi.

Tetapi perlu diingat sebuah filem komedi bukan bermakna mudah dihasilkan. Sebuah filem komedi yang baik bertolak dari skrip yang baik, dan skrip yang baik pastinya tidak memperkecilkan kemampuan intelektual penontonnya. Begitu juga sebuah filem komedi yang baik memerlukan lakonan yang baik yang semestinya datang dari pelakon yang baik.

Di atas segalanya pastilah ia memerlukan kebijaksanaan dan sensitiviti pengarahnya dalam mengolah dan mengarahkannya.

Filem ini berkisar pada kisah seorang pemuda kampung Awang (Opie Zami) seorang pemetik buah kelapa. Kemudian dia bekerja di sebuah hotel tertarik dengan seorang gadis Rosnah (Maya Karin) anak seorang guru silat bernama Pak Kidam (Zami Ismail).

Rosnah turut digilai oleh seorang pemuda kacak, Sidibijo (Danny) anak murid Pak Kidam yang mempunyai kebolehan mencipta alatan elektrik. Sementara pada masa yang sama Wak Jono lakonan Abon telah tertarik hati dengan seorang janda muda lakonan Zila Bakarin yang turut digilai oleh Pak Kidam.

Dua plot ini berjalan serentak, tetapi kerana olahan yang lemah, maka kelihatan plot sampingan Wak Jono dan si janda muda menjadi lebih dominan dan menenggelamkan plot utama watak Awang, Rosnah dan Sibijo. Apakah cerita yang mahu disampaikan oleh Z. Lokman dalam filemnya ini? Subjeknya sederhana malah telah lama ketinggalan, tetapi sebuah komedi yang hebat juga tidak semestinya bertolak dari idea yang besar.

Begitu juga Z. Lokman tidak seharusnya membiarkan kualiti filem-filemnya terus berada di tahap yang lama. Pengalaman dan keupayaannya mampu menghasilkan filem yang jauh lebih hebat. Dia telah disokong oleh belanja yang semakin besar. Tetapi sayang Z. Lokman tidak disokong oleh skrip yang baik yang memungkinkan dia menghasilkan sebuah filem yang baik.

Ada kalanya kita mengagumi kesungguhan dan keupayaan Z. Lokman dalam menghasilkan filem. Setelah mengarahkan lebih daripada 20 buah filem, No Problem tidak seharusnya mengecewakan kita. Untuk menjadi sebuah filem komedi yang baik, No Problem tidak cukup dengan bersandarkan pelakon komedi terkenal, pelakon yang kacak dan jelita serta belanja yang besar, tetapi ia memerlukan lebih dari itu.

Sumber : Utusan Online 27/7/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001