Ulasan
Review
. .

Judul : Panas
Tahun : 1998
Pengarah : Nurhalim Hj. Ismail

Lakon Layar : Nurhalim Hj. Ismail
Pelakon : Aleeza Kassim, Yusuf Mohammad, Eizlan Yusuf, Shahrizan Ahmad (Abon), Omar Abdullah dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Sensasi dan provokatif?

Panas Seksual bukanlah subjek yang baru dalam filem Melayu. Cuma ia tidak menjadi subjek yang dibincangkan secara terbuka dan provokatif dengan judulnya yang diberikan nafas yang hangat.

Filem juga tidak mudah sebenarnya untuk mengolah persoalan seksual untuk tidak menjadi erotis, picis, luapan emosi dan mengacaukan, sekaligus menghasilkan sebuah filem yang sensitif, intelektual dan pada masa yang sama provokatif.

Kerana itu, dalam filem pertama arahan Nurhalim Ismail ini, kita mengharapkan olahan yang subtle, bertenaga, provokatif dan sekaligus intelektual.

Panas tidak harus menjadi sensasi dengan cara yang mudah, eksploitatif atau menjadi melodrama seperti di TV. Kerana Panas memungkin semua ini.

Panas, barangkali sepertimana judulnya, menarik dan menjadi panas kerana keberaniannya mengupas subjek yang sememangnya subjek taboo dalam filem-filem Melayu.

Subjeknya mudah mengundang kontroversi. Panas boleh sahaja diberikan tafsiran yang berbagai. Ia mungkin satu drama kehidupan yang tragik bagi tiga watak utamanya. Atau boleh dilihat sebagai satu komedi sahaja.

Penonton mungkin boleh memberikan reaksi kepada Panas sebagai cuba mengungkapkan konsep seksualiti dalam masyarakat Melayu atau sekadar melihat dua orang lelaki sakit dan seorang wanita yang menjadi mangsa.

Filem ini menumpukan kepada kemelut permasalahan seksual yang dialami oleh tiga watak utamanya. Dengan mengambil inspirasi daripada kitab Melayu lama "Tajul Muluk", Nurhalim mendepani dilema dan konflik seksual watak-wataknya.

Setiap seorang menghadapi konflik dalaman yang tersendiri. Paiman (Yusuf Mohammad) yang baru kematian isterinya dan juga baru dibebaskan oleh isterinya itu daripada "pasungan" menghadapi keghairahan seksual yang meluap-luap.

Sementara Sofiah (Aleeza Kassim) yang awalnya mentah dan begitu naif mula mengenal seks selepas berkahwin dengan Paiman menghadapi pula masalah seksual apabila berkahwin dengan Ariff (Eizlan Yusuf). Manakala Ariff pula berhadapan dengan masalah lemah tenaga seksual yang menyebabkannya bercerai dengan isterinya yang pertama. Perhubungan mereka dalam filem ini berjalan secara keras, menyakitkan dan adakalanya immoral.

Apakah yang mahu digambarkan oleh Panas sebenarnya? Panas bukanlah dalam landasan yang sama dengan filem Perempuan, Isteri dan ..... (PID) yang dihasilkan oleh U-Wei Hj Shaari. Baik PID atau Panas, kedua-dua buah filem ini menumpukan kepada watak wanita sebagai penggerak utama cerita dan juga sebagai tumpuan moral.

Filem PID memberikan gambaran feminisme baru wanita Melayu yang menggunakan fizikalnya untuk menundukkan dan melepaskan diri daripada kongkongan lelaki di sekelilingnya. Zaleha dalam PID adalah lanjutan watak Salina dalam novel karya A. Samad Said, yang panas, pendendam, memberontak dan memusnahkan.

Sejarah dan budaya musnah kerana kehadiran Zaleha. Manakala Sofiah adalah wanita lain dalam Panas. Setiap konflik dan gejolak rasa yang ditampilkan oleh Sofiah merupakan luapan emosinya.

Apa yang berlaku hanya melibatkan hubungan di antara Paiman, Sofiah dan Ariff. Bentuk hubungan yang hampir terputus dengan anggota masyarakat lain dan juga tidak diambil peduli oleh masyarakat sekeliling.

Panas sebenarnya memusatkan pada watak Sofiah yang berkembang dalam beberapa tahap, sedangkan watak-watak lain hampir tidak berkembang. Sofiah adalah watak yang menarik sebenarnya.

Tahap awalnya Sofiah adalah gadis kampung yang masih muda, mentah dalam banyak hal dan terpaksa berkahwin dengan Paiman yang membelanya sejak kecil sebagai anak angkat.

Perpindahan Paiman dan Sofiah ke Kuala Lumpur telah mendedahkan Sofiah dengan dunia yang berbeza. Hubungannya dengan Ariff iaitu majikannya telah mendedahkan dan memperkenalkannya kepada dunia serba canggih, glamour, materialistik dan kepura-puraan.

Kehidupan yang asing ini mula memberi perubahan kepada pandangan hidup Sofiah yang mula melihat kemewahan sebagai sebahagian daripada keperluan hidup. Dengan Paiman, dia dikelilingi oleh kesempitan hidup, persekitaran yang hapak, rumah yang kumuh dan terpaksa memenuhi keperluan seksual Paiman yang digambarkan penuh rakus dan kasar.

Transformasi watak Sofiah berkembang dengan pantas. Hingga ada waktunya tidak meyakinkan dan menggelirukan sekali.

Pada adegan tertentu Sofiah bersama Ariff, dia kelihatan begitu canggih dan licik, tetapi pada masa yang sama ketika dia bersama Paiman kelihatan Sofiah yang naif dan tertekan.

Perubahan begini menjadikan watak Sofiah tidak konsisten dan juga kurang meyakinkan. Aleeza Kassim memang berbakat.

Tetapi, selain keberaniannya dia harus diberikan arahan yang betul dalam mengendalikan luahan emosinya dan dalam membentuk perspektif lakonan yang lebih bijaksana. Suaranya yang kasar itu boleh dimanfaatkan dengan baik dalam filem ini.

Sebagai sebuah filem, Panas tidaklah dibina dengan struktur naratif yang kompleks. Plotnya mudah dan lancar. Dialog diberikan seminimum mungkin, tujuannya supaya cerita lebih disampaikan melalui visual.

Yang utama dalam filem ini adalah kekuatan lakonan. Kerana itu Panas menuntut kekuatan dan sensitiviti setiap pelakon dan kebijaksanaan melakonkan watak masing-masing.

Yusuf Muhammad sebagai Paiman berjaya memberikan dinamisme dan kekuatan pada wataknya. Biarpun dalam beberapa adegan gaya lakonannya keterlaluan hingga terasa merimaskan. Eizlan Yusuf sebagai Ariff tidak menghampakan dan dia berjaya membawakan wataknya dengan baik.

Bagaimanapun, kemunculan Sahar (Abon) pemuda kampung yang nakal berupaya memberikan "comic relief" yang diharapkan oleh penonton.

Biarpun jelas sengaja diselitkan, tetapi penampilannya membawa sedikit keceriaan di tengah-tengah ketegangan adegan.

Arahan fotografi dan kerja kamera filem ini wajar dipuji. Pemilihan sudut, komposisi dan kawalan cahaya menghasilkan imej yang berupaya memberikan visual yang menarik untuk filem ini.

Imej yang dihasilkan dapat membezakan antara dunia sempit dan kusam Paiman dan dunia Ariff yang mewah dan ceria.

Bagaimanapun, di sebalik penampilan visual yang cukup menarik itu, imej-imej yang dipaparkan lebih banyak bersifat luaran. Cebisan-cebisan luapan emosi daripada imej yang dipaparkan terasa hambar.

Begitu juga sorotan kameranya dalam beberapa adegan seharusnya lebih terkawal dengan cuba mengelak daripada menghasilkan imej-imej sensasi dan tidak perlu.

Panas, biarpun mampu mengetengahkan sedikit tentang permasalahan seksual dan dunia perubatan dalam budaya orang Melayu, sebaliknya garapannya yang agak kasar menganggu kesan yang seharusnya berjaya dipaparkan oleh filem ini.

Bagi karya yang pertama daripada Nurhalim, Panas tidaklah mengecewakan. Filem ini adalah percubaan yang menarik dari Nurhalim.

Dalam kelesuan industri filem Melayu sekarang ini, barangkali Panas dapat memberikan tenaga yang diharapkan. Mungkin sahaja Panas akan membawa trend tertentu dalam filem Melayu.

Keberanian dan sensasinya. Trend yang seharusnya terkawal dan pada masa yang sama tanpa meminggirkan kekuatan estetika seninya.

Sumber : Utusan Online 6/3/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000