Ulasan
Review
. .

Judul : Pasrah
Tahun : 2000
Pengarah : Yusof Haslam

Skrip/Lakonlayar : Yusof Haslam
Pelakon : Erra Fazira, Norman Hakim, Wilma Muhammad, Khairil Anwar, Latiff Ibrahim, Rosnah Johari, Abby Abadi, AC Mizal, Mazlan, Radhi Khalid dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Pasrah mentaliti pembikin atau penonton?

Pasrah

Saya kira Yusuf Haslam adalah antara pembikin filem yang cukup beruntung di negara ini kerana filem arahannya Pasrah merupakan filem Melayu yang pertama ditayangkan di abad ini. Yusuf juga beruntung kerana tayangan filemnya kali ini tanpa saingan daripada filem Melayu yang lain.

Yusuf juga antara produser dan pembikin filem yang bernasib baik kerana ketika filem-filem Melayu lainnya mengalami pungutan yang rendah di pasaran (tahun lalu hanya Senario The Movie yang berjaya mengatasi pungutan filem Bara arahan Yusuf), filem-filem Yusuf masih membawa pulangan yang menguntungkan.

Filem-filem Yusuf tampil dengan bentuk dan pendekatan yang sama, selain daripada pengaruh filem-filem Hindi yang ketara. Yusuf menggunakan personaliti dengan cukup berkesan dengan olahan naratifnya selalunya begitu hampir pada kehidupan sebenar personaliti tersebut.

Hal ini jelas dengan filem-filemnya yang lepas dan juga dengan filem Pasrahnya kali ini. Hubungan cinta tiga segi merupakan tema kegemaran Yusuf yang sama ada diganggu dan berakhir dengan perpisahan hanya kerana salah faham dan salah sangka.

Filem Pasrah masih mengekalkan tema yang sedemikian. Persoalan moral juga elemen penting dalam filem-filem Yusuf, tetapi perhitungan dan ukuran moral yang digunakan selalunya cukup mudah dan tanpa alasan yang kukuh.

Filem Pasrah membawakan kisah liku kehidupan bekas ratu cantik Malaysia Farah Diba (Erra Fazira) yang kini merupakan seorang model terkenal. Dengan pendapatannya sebagai model itulah dia membantu menyara kehidupan ibu dan adiknya Fiza (Abby) yang hanya bekerja sebagai pekerja kilang.

Populariti Farah membuatkan Natasha (Wilma) seorang lagi model yang juga bekerja di bawah agensi kepunyaan Affendi (Khairil Anwar) cemburu lalu membuat fitnah bahawa Farah bukanlah wanita yang baik dan mempunyai hubungan sulit dengan Datuk Osman (Latiff Ibrahim).

Fitnah tersebut membuatkan hubungan Farah dengan Hafsham (Norman Hakim) seorang usahawan muda yang telah berjalan selama enam tahun terputus dan Natasha berjaya menawan Hafsham dan kemudiannya berkahwin. Tetapi kemudiannya ternyata Hafsham menyedari bahawa Natasha bukanlah isteri yang baik kerana suka merokok, minum dan disko, lalu ingin kembali kepada Farah.

Sebuah cerita yang dibuat kesimpulan cukup mudah oleh Yusuf di sebalik persoalan yang cukup besar sebenarnya. Kehidupan sebenar dunia model yang penuh intrig, kehidupan seorang pekerja kilang yang mempunyai kakak yang lebih berjaya dalam hidup.

Tambahan pula menghadapi gangguan seks di tempat kerja, serta hubungan cinta seorang model yang telah berjalan selama enam tahun, sebenarnya sudah cukup untuk memberikan sebuah cerita yang mempunyai persoalan sosial yang menarik, tekanan psikologi, cerita yang penuh dramatik dan kompleks.

Tetapi, Yusuf rasanya tidak peduli tentang masalah pembinaan naratif dan plotnya yang lemah, dan hal ini turut dikongsi oleh sebahagian besar penontonnya.

Yusuf hanya berlegar di sekeliling personaliti yang melakonkan watak-watak yang dibentuk dengan mudah. Watak Farah Diba diolah sedekat mungkin dengan kehidupan peribadi sebenar Erra Fazira yang juga bekas ratu Malaysia dan model terkenal serta cebisan peristiwa dalam kehidupan peribadinya.

Siapa yang sebenarnya hendak ditonton oleh penonton, Farah atau Erra? Untuk menunjukkan Farah yang baik dan dengan moral yang suci maka ditunjukkan yang Farah adalah seorang yang setia pada kekasih, sembahyang, tidak minum dan merokok, tidak ke disko, mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan akhirnya bersedia untuk mengerjakan umrah ke Mekah.

Watak moral yang berbeza digambarkan pada watak Natasha. Kerana Farah Diba seorang yang baik maka pakaian Farah diberikan juga warna yang suci iaitu warna putih (lihat pakaiannya ketika bertembung dengan Hafsham yang sedang berasmara dengan Natasha) atau warna kuning serta bertudung. Hafsham adalah watak yang cukup mengelirukan kita.

Awalnya dia seorang moralis yang cukup memahami dan sering mengingatkan Farah betapa banyaknya godaan dalam kerjaya seorang model, anehnya dia sendiri mudah terpedaya dengan fitnah dan godaan Natasha lalu berkahwin, tetapi kemudian menyesali tindakannya itu.

Filem ini berjalan hambar dan hampir tanpa konflik dramatik yang kuat, kecuali dalam subplot yang menunjukkan bagaimana Ali (Radzi Khalid) cuba merogol Fiza setelah berkali-kali Fiza memperkecilkannya. Kemunculan Mazlan sebagai Mustapha teman baik Fiza dan Zamri berjaya memberikan suasana komik yang menghiburkan.

Dunia model dan keusahawanan yang digambarkan dalam filem ini membolehkan Yusuf mengekalkan nilai kelas menengah dan konsumerisme dalam filem-filemnya dengan gambaran kemewahan yang ditunjukkan melalui rumah yang besar, apartmen dan kereta mewah dan gaya kehidupan orang kaya.

Gambaran kemewahan merupakan fantasi keindahan zaman moden yang merupakan impian bagi sebahagian besar penonton dan mereka mengetahui bahawa mereka yang mewah juga menghadapi masalah dan kekecewaan sama yang boleh dikongsi. Satu hal yang menarik dalam filem-filem Yusuf ialah gambaran kemewahan dan kehidupan kelas menengahnya adalah gambaran kehidupan yang kosong dan dengan gaya hidup yang kelihatan superficial. Inikah gambaran sebenar masyarakat kelas menengah dan orang kaya baru Melayu?

Setelah lapan buah filem yang dihasilkan dan Yusuf masih mengekalkan bentuk dan formula yang sama, yang membuktikan bahawa kejayaan komersil selama ini memang tidak akan membenarkan pembikin filem cuba berubah dengan persoalan lain yang lebih relevan dan kreatif.

Atau memang filem-filem Yusuf berjaya menunjukkan hakikat sebenar cita rasa sebahagian besar penonton filem Melayu atau masyarakat Melayu. Bahawa mereka sudah cukup selesa dengan bentuk dan gaya filem-filem yang begini, tidak bosan dengan formula dan ulangan cerita yang sama tanpa persoalan yang menyentuh realiti dan permasalahan sosial sebenar mereka. Siapa sebenarnya yang tinggal dalam kepompong pemikiran yang lesu, pembikin filem atau masyarakat yang menonton? Selamat menonton filem Melayu pertama tahun 2000!

Sumber : Utusan Online 14/1/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001