Ulasan Review |
. | . |
Judul : Perempuan,
Isteri dan ...?
Tahun : 1993
Pengarah : U-Wei Shaari
Cerita/lakonlayar : U-Wei Shaari
Pelakon : Sofia Jane, Nasir Bilal Khan, Zaidi Omar, Yusuf Mohamad
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : ***1/2
Filem ini cukup menguji kesabaran saya. Saya mengikuti setiap shot, gerak langkah dan adegan yang akhirnya memancarkan konflik dari segala kekacauan, kekecewaan dan resah rasa yang terpendam dalam diri watak-wataknya. Saya menunggu dan merasai tiap emosi yang terpancar dari tiap imej yang tercerna dalam setiap gerak fremnya.
Perempuan, Isteri dan ...? mengetengahkan erti maruah diri, kemusnahan nilai diri dan kemuncak dari segala kecamuk rasa dan kekecewaan.
"Saya hanya mahu bercerita, sekadar itu," kata U-Wei Shaari, Pengarahnya. Tetapi U-Wei mahu bercerita secara yang cukup sederhana dan sejujur mungkin. A film is an emotional reality. Maka biar sepahit mana kebenaran itu, realisme berusaha mencapai kebenarannya. Lalu fungsi imej adalah menampiaskan kehidupan itu sendiri, bukan memberi idea atau hujahan tentang kehidupan. Imej filem pada dasarnya adalah pemerhatian terhadap kehidupan dalam lingkungan masa, yang terbentuk selaras dengan pola kehidupan itu sendiri. Pemerhatian bersifat terpilih. Lalu apa yang tertera dalam filem adalah sesuai sebagai sebahagian dari keseluruhan imej. Imej menjadi authentic bila ia tidak sahaja bergerak dalam lingkungan masa tetapi juga masa turut berada bersamanya dalam setiap frem.
Kejujuran sebuah filem menghampiri kebenaran sebuah puisi. Filem lahir dari pemerhatian jujur pada kehidupan. (Bukankah ini yang dilakukan oleh Auguste Lumiere bila dia menghasilkan filem yang terawal di dunia, menggambarkan ketibaan kereta api di stesen. Situasi panik orang yang berkeliaran. Maka bukan sekadar teknik tetapi detik yang terakam melahirkan prinsip baru estetika. Pertama kali dalam sejarah seni, manusia menemui cara menanggap masa). U-Wei mahu kembali kepada fungsi asal sinema. Sepanjang sejarah seni filem, berbagai usaha mencipta konsep baru dalam filem tetapi yang pasti filem tetap berusaha sedekat mungkin pada realiti kehidupan, sejujur mungkin pada detik dan getir kehidupan.
Perempuan, Isteri dan ...? secara puitis merakamkan kehidupan getir, interaksi dan konflik, watak-watak, tanpa perlu menghujah perlakuan-perlakuan yang sedemikian bertentangan. Filem mempunyai peranan dan makna puitisnya yang tersendiri.
Simplicity inilah pendekatan yang telah dilakukan oleh U-Wei untuk menangani subjek Perempuan, Isteri dan ...?
Tidak ada pendekatan yang keterlaluan dengan segala simbolisme dan allegory. Filem yang puitis adalah yang benar dan merealisasikan masa, tidak cuma longgokan simbolisme, allegory atau seumpamanya, yang pantas menjadi pseudopoetic cinema dengan segala simbol tetapi kosong makna.
Perempuan, Isteri dan ...? menuntut sensitiviti pengarah yang benar-benar memahami medianya, berkeupayaan mentafsir dan menghubungkaitnya dengan dunia nyata dan tahap-tahap hubungannya. Bagaimana dia harus memilih yang akhirnya kehidupan yang dipancarkan lebih subjektif. Dengan subjek yang dibauri resah nafsu, kecurigaan dan kekecewaan, cerita yang sedemikian pastilah menjadikan filem ini nudah cenderung menjadi melodrama yang mementingkan sensasi, melankolik dan meraih simpati jika tidak ditangani dengan betul.
Filem ini bertolak dari kekuatan watak yang menggerakkan plotnya. Maka, filem ini menuntut kekuatan lakonan yang penuh sensitif, yang pastilah mencabar kewibawaan pelakon. Setiap gerak, setiap riak wajah bukan sekadar mengalirkan emosi, mencipta mood dan ritme tetapi adalah keupayaan mentafsir resah dan gelodak rasa dalaman perwatakan yang tersendiri. Maka setiap gerak dan reaksi dari interaksi setiap pelakon akan membentuk uniti dan keharmonian yang seharusnya memaknakan dan memperkuatkan keseluruhan filem ini.
Perempuan, Isteri dan ...? seakan dicipta untuk membuktikan keupayaan Sofia Jane. Dialah Zaleha yang telah melalui tahap-tahap kehidupan yang penuh getir, kekecewaan yang dibauri oleh harapan yang sekadar impian. Pada hari persandingannya yang kelihatan begitu meriah, Zaleha melarikan diri bersama seorang pemuda (Jamaluddin Kadir) yang memujuknya dengan janji-janji manis, lalu bernikahlah mereka di Golok. Tetapi tindakan Zaleha ini hanyalah titik tolak kepada urutan rasa dendam yang tidak terbatas. Pemuda yang baru sebentar menjadi suaminya ditembak mati oleh Amir (Nasir Bilal Khan) yang mahu melepaskan rasa kecewa dan rasa malu bila perkahwinannya terpaksa dibatalkan. Tetapi kemarahan dan dendam Amir tidak berakhir dengan mudah di situ, Zaleha diperkosa dan dipaksa menjadi pelacur dan tamat tempoh enam bulan kemudian Amir mengambil semula Zaleha lalu membawanya pulang ke Malaysia. Tetapi ketika singgah di sebuah hotel di Kelantan, mereka diberkas oleh Pegawai Agama (dari maklumat Zaleha sebenarnya), lalu dinikahkan. Zaleha yang mengikut Amir pulang ke kampungnya, memulakan episod baru dalam hidupnya sebagai isteri. Tetapi ternyata perkahwinan tidak bererti hidupnya lebih bermakna dan deritanya berakhir. Sebaliknya dia semakin tertekan dengan penghinaan dan sikap keras Amir terhadapnya.
Zaleha adalah watak yang menuntut kebijaksanaan lakonan dan sensitiviti pelakon. Rasa kecewa, terhina dan dendam berbaur dalam gejolak rasa dan konflik batin yang harus dilahirkan sesempurnanya oleh seorang pelakon. Setiap aksi adalah reaksi dari konflik dalaman yang terjelma tidak sahaja dari gerak marah (fizikal) tetapi yang penting dari pancaran riak dan mimik wajah yang dirakamkan oleh lensa kamera. Barangkali menyesali masa lepasnya, Zaleha mahu menjadi isteri yang baik dan mencari kebahagiaan dengan Amir. Dia rindukan sebuah rumah, katanya. Dan pertama kali mahu memasakkan makanan untuk suaminya. Tetapi dia dikecewakan malah menerima penghinaan yang berpanjangan. Kemuncak memendam rasa marah dan penghinaan, memaksa Zaleha memberikan 'nasi kangkang' untuk menundukkan suaminya.
Nasir Bilal Khan sebagai Amir memancarkan lakonan yang dinamik. Padanya mengalir rasa marah, kecewa dan dendam yang membara. Pada wajahnya tepancar bauran kekacauan. Lalu kita sentiasa melihat wajahnya yang tegang dan kusut, dan matanya memancarkan cahaya keletihan. Pengalaman teater dan bakat lakonannya banyak membantu Nasir membawakan watak Amir penuh ironi. Kesan kekecewaan yang diterimanya kerana kegagalan majlis perkahwinannya dulu menyebabkan emosinya sukar dikawal dan sentiasa rasa tertekan membuatkan dia sentiasa bengis dan marah bila berhadapan dengan Zaleha.
Sumber : Utusan Malaysia 28/8/1993
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |