Ulasan
Review
. .

Judul : Perempuan Melayu Terakhir
Tahun : 1999
Pengarah : Erma Fatima

Pelakon : Vanida Imran, Azri Iskandar, Eizlan Yusof dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Perempuan Melayu Terakhir sarat dengan syarahan

Perempuan Melayu Terakhir Saya percaya Erma Fatima menghasilkan Perempuan Melayu Terakhir (PMT) dengan niat yang baik, untuk menghasilkan sebuah filem yang dramatik, sudut estetikanya memikat dan tinggi nilai seninya. Judulnya sahaja mampu menggugah debat dan mengundang pemikiran yang lebih jauh.

Tetapi niat yang baik sahaja belum memungkinkan filem yang baik kerana apa yang akhirnya dinilai ialah apa yang telah siap dihasilkan. Filem yang baik bertolak dari struktur naratif yang baik, kekuatan lakonan, dukungan visual yang memikat dan suntingan yang berkesan.

Secara ringkas PMT bercerita tentang Heikal (Eizlan Yusuf) seorang pengarah teater yang kembali ke tanah air selepas tujuh tahun di London mendalami sastera Inggeris dan menggeluti drama-drama Shakespeare. Supaya dia dapat menemui kembali jati dirinya semula, maka Heikal bercadang mementaskan teater Melayu. Heikal sebenarnya seorang yang keliru selepas lama meninggalkan budaya Melayu, mengahwini budaya Inggeris dan wanita Inggeris.

Dia dianjurkan mencari subjeknya di Terengganu dan dia menemui Mustika (Vanida Imran) yang pada dirinya terpancar kononnya ciri-ciri kemelayuan itu. Mustika sendiri menghadapi dilemanya bila tunangnya Engku Leh (Azri) sekembali dari belajar di luar negara telah mengetuai kumpulan agama yang kelihatan ekstrem yang tidak bersetuju dengan Mustika yang gemarkan seni budaya Melayu tradisional, malah menentang bapanya sendiri Pak Engku (Ahmad Yatim) seorang tua yang kelihatan lebih waras dalam tindakan dengan setiap kata-katanya yang penuh pseudo-falsafah.

Filem ini kelihatan seperti sebuah drama yang sengaja diberatkan yang sarat dengan hujahan dan hipotesis tentang akar dan siapa itu Melayu, lengkap dengan gerak lakon yang sengaja diberatkan dan penuh emosi. Subjeknya mungkin baik, tentang pencarian diri, untuk mengenal kembali siapa itu Melayu.

Maka itu hampir keseluruhan filem ini kita mendengar khutbah dan syarahan tentang apa itu Melayu dari Mustika dan Pak Engku. Tetapi perlu juga diingat sebuah filem cereka bukanlah tempat untuk menghamburkan hujahan sedemikian, memantakkan segala mesej (yang sepatutnya ditulis sahaja di dalam buku) ke kepala penonton. Masa filem terlalu berharga untuk sekadar debat yang membosankan itu.

Kerana sibuk dengan hujahannya, Erma tidak berusaha memperkejapkan plotnya. Konflik dramatik tidak dibangunkan dari unsur motivasi yang kuat. Watak-watak tidak jelas latar belakang dan motivasinya. Umpamanya Engku Leh, apa tujuan dia dan kumpulannya berlatih senjata, sentiasa beratib dan meminggirkan diri ke tebing sebuah tasik.

Kelemahan yang cukup ketara PMT ialah aspek pengawalan masa. Masa adalah unsur yang cukup penting dalam filem, bagaimana ia disesuaikan melalui suntingan untuk membina struktur dramatik dan ritma filem. Suntingan bukan sekadar pemilihan syot dan membina adegan tetapi kawalan masa juga akan memberikan kesan psikologi dan emosi kepada penonton.

Itulah penting dan istimewanya masa dalam filem, malah filem adalah satu-satunya karya seni yang mampu bermain dan menanggap masa dengan berkesan. Tetapi masa dalam PMT jelas terabai secara fizikal dan dramatik. Malah terdapat juga pemilihan dan susunan syot yang membina adegan dilakukan secara tidak teliti dan difahami kesannya. Antara syot yang menunjukkan unsur agama kemudian cut ke syot seterusnya adalah shot di tepi pantai yang bertentangan nilainya. Suntingan bertentangan (cross-cutting) begitu boleh sahaja bertujuan untuk mempertinggikan kesan dramatik tetapi adegan di sini nyata bukan atas tujuan dramatik.

PMT boleh sahaja berakhir selepas adegan perpisahan antara Heikal dengan Mustika di depan hotel. Tetapi nyata Erma tidak menamatkan filemnya di situ sebaliknya meneruskan dengan adegan-adegan seterusnya yang terasa tidak perlu dan membazir.

Erma sebenarnya pernah menghasilkan karya yang baik seperti drama televisyen Jangan sebuah drama kritikan sosial yang cukup menarik. Dia pengarah yang berani dan berpotensi. Melalui PMT Erma bukan sahaja berbicara tentang Melayu sahaja tetapi mahu menunjukkan peranan penting wanita. Secara simbolik Erma mahu memberi tahu bahawa kelangsungan budaya dan orang Melayu juga terletak di tangan perempuan dengan watak keibuan Mustika. Di situ pentingnya Mustika dan simboliknya perkahwinan itu. Salahnya adegan-adegan yang dibina itu telah kehilangan kesan dramatiknya.

Mustika mungkin mempunyai sebahagian ciri-ciri wanita Melayu dengan kesopanannya, sesekali mempunyai rasa keghairahannya sendiri walaupun dia juga wanita moden dengan lulusan perniagaan. Vanida Imran nyata berjaya membawakan watak Mustika dengan berkesan.

Kalaupun pada adegan-adegan intim yang dilakukan dengan lembap (dilakukan beberapa kali hingga kesannya hambar) untuk menyarankan unsur dramatik dan emosional, itu bukan salahnya. Begitu juga Azri Iskandar telah menunjukkan mutu lakonan yang baik. Dia antara pelakon yang berpotensi. PMT dilengkapkan dengan kekuatan fotografi yang mampu memberikan mood dan kesan visual yang cantik.

PMT adalah penghasilan yang bersungguh dari Erma. Subjeknya menarik jika dimanfaatkan sebaiknya. Sayangnya antara niat dan subjek yang menarik itu, ia tidak diselarikan dengan struktur plot dan dramatik yang baik.

Sumber : Utusan Online 29/1/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000